Tuesday, February 19, 2013

Imam Mudaku Romantik! 15


BAB 15
TAN SRI Kamarul keluar dari bilik air di kamar tidurnya. Sempat dia mengerling ke arah muka jam yang tergantung pada dinding. Kepalanya terangguk-angguk sendiri selepas itu.
Sejadah yang terlipat kemas di dalam almari dikeluarkan lalu dibentang mengikut arah kiblat. Hari ini dia tidak akan berputus-asa! Dia tetap akan mencuba!
Songkok disarung. Seketika kemudian, takbiratul ihram kedengaran. Seminit, dua minit, lelaki berada itu masih tidak kalah. Solat zuhurnya tetap diteruskan.
Pintu bilik dikuak dari luar tiba-tiba. Seketika kemudian, susuk tubuh seorang wanita masuk ke dalam.
Namun, baru saja wanita bernama Puan Sri Lydia itu hendak meneruskan langkah, dia terloncat sedikit ke belakang, terkejut dengan apa yang sedang berlangsung di depan matanya!
“Assalamualaikum warahmatullah.” Salam pertama kedengaran lalu diikuti dengan salam kedua. Tan Sri Kamarul menyapu wajah. Alhamdulillah, selesai juga ‘misinya’! Walaupun dia sebenarnya sudah terlupa banyak tentang cara-cara hendak bersolat, tetapi yang penting, dia perlu memulakan langkah pertama!
Puan Sri Lydia masih melongo di depan daun pintu. Tidak berkedip dia memandang ke arah suaminya yang kini sedang menadah tangan berdoa kepada-NYA itu. Kelopak matanya terpejam. Nampak khusyuk sungguh!
“Amin,” ucap Tan Sri Kamarul lalu menyapu wajah sebagai penutup kepada doanya.
Puan Sri Lydia masih tegak berdiri. Entah apalah yang membuatkannya terpana sangat agaknya?
“Eh, kenapa dengan awak Lydia? Ha, dah solat belum?” Tan Sri Kamarul menegur sebaik terperasankan isterinya yang sudah tercegat di dalam kamar mereka.
Berkerut seribu kening Puan Sri Lydia. “Awak ni kenapa, Tan Sri Kamarul? Tak pernah-pernah tanya soalan macam tu!”
“Sebab saya tak pernah tanyalah, saya tanya sekarang ni. Ha, soalan saya awak tak jawab lagi!” Tan Sri Kamarul tergelak sinis melihat wajah pelik isterinya itu. Sejadahnya dilipat lalu disimpan semula di dalam almari.
Puan Sri Lydia tidak mengendahkan soalan itu. Rengusan kasarnya dilepaskan lalu langkahnya dibuka menuju ke birai katil dan duduk di situ. “Abang saja nak kenakan saya kan?”
“Lahhh… bila masa pulak saya kenakan awak? Saya tanya seriuslah!” Tan Sri Kamarul pula yang mengerutkan dahi. Tidak faham kenapa perlu isterinya menganggap yang dia main-main pula.
“Hmmm… apa-apa ajelah. Awak pun, kenapa dah separuh abad baru nak sembahyang? Kenapa sebelum ni tak sembahyang?” Puan Sri Lydia membalas dengan kenyataan yang benar, tetapi agak pedas juga kedengaran. Balas ‘dendam’ agaknya.
Tan Sri Kamarul tetap tersenyum dengan kerenah si isteri. Nampak gayanya soalan panas daripada isterinya langsung tidak menggugah emosi dan jiwanya. “Sebab baru sekarang pintu hati saya terbukak! Alhamdulillah, walaupun umur saya dah banyak tapi ALLAH masih sudi bukak pintu hati saya. Sebab itu saya solat. Lagipun, sampai bila kita nak jadi macam ni? Entah esok, entah lusa kita kena jemput, siapa tahu?” Panjang lebar dia menjawab pertanyaan Puan Sri Lydia.
“Hmmm… alasan abang aje tuh! Selama ni pun abang mesti tahu kan yang abang orang Islam? Dah tahu orang Islam, memanglah kena solat. Mana ada alasan-alasan bagai!” Puan Sri Lydia tetap tidak mahu kalah ‘berdebat’ dengan suaminya.
“Memang saya Islam. Tapi Islam dalam IC saja! Saya mengaku saya Islam, tapi saya tak buat apa yang Islam suruh. Ya, memang salah saya. Sepatutnya sebagai orang Islam, saya perlu tahu tanggungjawab saya. Saya tahu saya dah berdosa, tapi… ALLAH kan Maha Pengampun?” Bidas Tan Sri Kamarul. Turun naik dadanya menahan rasa yang sukar hendak digambarkan. Sedih, kecewa, kesal mengenangkan kealpaannya sebelum ini sebagai seorang yang hanya bergelar hamba…
“Tan Sri Kamarul, rasanya kita ni taklah melampau lagi. Kita tak buat apa yang Islam larang. Kita tak minum arak, kita tak makan benda haram, kita tak main judi! Kita selalu bersedekah lagi adalah! Zakat pun kita bayar! Sekali kita berzakat bukan sikit-sikit, tan sri. Orang yang banyak sembahyang pun agaknya tak berzakat banyak macam kita berzakat! Lagipun, ramai lagi orang Islam yang tak sembahyang, bukan kita aje. Tak kisah pun. Janji kita buat baik sudah.” Ada saja hujah Puan Sri Lydia hendak mematahkan kenyataan suaminya. Walau sebenarnya… hujahnya itu menyerlahkan lagi betapa jahilnya dia dalam agama.
Tan Sri Kamarul memicit dahi. Sesak dadanya mendengar jawapan dari si isteri. “Lydia, awak tahu tak solat tu rukun Islam yang kedua lepas syahadah? Awak tak terfikir ke, apa jadi pada amalan baik kita selama ni sedangkan kita tak solat? Memang kita ada buat baik, tapi perkara baik yang utama dan yang diwajibkan kita tak buat! Jadi, awak tak rasa ke amalan baik kita selama ni sia-sia aje?”
“Huh, sudahlah, bang! Susahlah cakap dengan abang ni. Dulu abang tak macam ni. Kenapa sekarang baru nak cakap pasal solatlah, pasal rukun Islamlah? Hmmm… dahlah. Penat cakap dengan abang ni. Saya turun dulu. Tengok TV lagi bagus!” Puan Sri Lydia mengangkat punggung dari birai katil. Malas hendak terus bertegang urat. Buat pening kepala saja melayan suaminya yang mungkin buang tebiat itu!
“Saya memang ikhlas nak berubah, Lydia. Saya tak nak tengok masa silam lagi. Cukuplah! Lagipun, tak lama lagi kan anak kita, Khalisah nak kahwin. Siapa lagi yang akan jadi wali kalau bukan saya? Selagi saya tak solat, selagi tu saya ni fasiq. Saya tak mahu Khalisah berwalikan orang fasiq macam saya. Sebab itu saya kena berubah dari sekarang sebab pernikahan tak sah dengan berwalikan wali fasiq.” Kata-kata akhir Tan Sri Kamarul membuatkan Puan Sri Lydia yang sudah pun membuka pintu untuk keluar berhenti seketika di situ.
Namun, akhirnya Puan Sri Lydia melangkah keluar juga dari bilik itu dengan wajah yang kelat.

KERETA mewah Tan Sri Kamarul terus meredah jalan dengan kelajuan sederhana. Adakalanya perlahan pula. Bergantung pada pemahamannya terhadap alamat di dalam kertas yang berada di tangannya itu.
Tiba di satu persimpangan, Tan Sri Kamarul memberhentikan seketika keretanya di tepi jalan. Kertas alamat yang diperolehnya daripada seorang hamba ALLAH di Masjid As-Salam itu diteliti satu per satu butirannya.
Sah, dia tidak silap jalan! Alhamdulillah… ALLAH telah mempermudahkan urusannya.
Brek kereta diturunkannya. Namun ketika keretanya hampir saja tiba di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat, matanya tertancap pada sebuah Mini Cooper yang amat-amat dikenalinya, tidak jauh daripada rumah teres itu!
BMW Tan Sri Kamarul berhenti lagi. Tidak boleh jadi…
“Adriana! Kamu buat apa kat sini?” Tan Sri Kamarul menyergah wanita yang sedang duduk termenung di dalam kereta itu.
Wanita yang sedang mengelamun itu terperanjat serta-merta. Dadanya bergelombang laju dijerkah tiba-tiba tanpa sebarang isyarat! “Hah! Errrr… pak ngah! Pak ngah buat apa kat sini???” Tidak berkelip matanya memandang lelaki yang entah macam mana boleh muncul di tepi keretanya itu tiba-tiba!
“Humhum… pak ngah tanya kamu, kamu tanya pak ngah balik!” Tan Sri Kamarul menggeleng perlahan. Kemusykilannya terhadap keberadaan anak saudaranya itu di tempat ini masih belum berjawab oleh wanita itu.
“Errrr… saya… saya…” Adriana kecelaruan. Apa yang harus dijawabnya? Memang, dia sedang mengintip lelaki bernama Faqih itu. Tapi… takkanlah dia hendak memberitahu pak ngahnya begitu pula?
“Kamu nak jumpa Faqih ya?” Tan Sri Kamarul menjawab dulu.
Adriana terangguk-angguk pula. “Ha! Ya. Saya nak jumpa Faqih. Hehe…” Ada sengihan yang tidak diketahui maksudnya kelihatan di bibir wanita itu. Macam orang bersalah pun ada…
“Kamu kenal Faqih?” Tan Sri Kamarul masih tidak mahu menamatkan sesi soal jawab.
“Ya, pak ngah. Saya kenal Faqih. Haritu kan saya datang rumah pak ngah?”
“Owh, tak perasan pun.” Tan Sri Kamarul meramas-ramas tengkuknya.
Adriana menjatuhkan kening. Teruk betul pak ngahnya ini! Boleh pak ngahnya mengatakan tidak perasan yang dia datang ke rumah lelaki itu? Walhal pak ngahnya itulah yang rancak berborak dengannya ketika dia datang ke rumah bapa saudaranya itu tempoh hari! Nama saja ahli perniagaan, tapi pelupa!
Sempat Adriana mengutuk-ngutuk bapa saudaranya itu dalam hati.
Tan Sri Kamarul mengeluh kecil. Jam tangannya dilihat. “Jom!”
“Jom apa?” Adriana kepelikan lagi.
“Jomlah jumpa Faqih!”
“Hah, pak ngah pun nak jumpa Faqih?”
“Yalah, habis buat apa aku datang sini?”
Adriana menelan liur. Terasa berpasir pula. Namun, ah… dia sudah terperangkap! Dia bukannya hendak berjumpa dengan ‘Ustaz Driver’ itu pun. Dia cuma mahu mengintip lelaki itu!
“Hmmm…” Akhirnya, dengan keluhan yang agak panjang Adriana keluar dari kereta. Fikirannya buntu sekarang ini. Apa alasan yang akan diberitahunya kepada Faqih kerana hendak berjumpa dengan lelaki itu?
‘Alah… kau cakap ajelah yang kau teman pak ngah kau!’ Kepala otaknya tiba-tiba memberi idea.
Adriana tersenyum-senyum sendiri. ‘Betul juga. Habis cerita!’
“Kamu senyum pada siapa, Adriana?” Tan Sri Kamarul yang sudah membuka langkah berpusing tubuh balik ke belakang.
Adriana tersentak. ‘Aduh, aku senyum ke tadi?’
“Errr… saya… saya senyum kat Faqih! Tu Faqih!” Adriana terloncat-loncat kecil dengan jari telunjuk menghala ke muka pintu rumah teres itu. Eh, Faqih memang sudah berada di situ rupanya!
‘Fuhhh… nasib baik! Aku main cakap saja tadi!’ Adriana mengurur-urut dada, lega!
“Ha, jomlah!” Tan Sri Kamarul meneruskan langkahnya lagi. Menghampiri pagar rumah teres dua tingkat itu.
Melihatkan kedatangan bosnya itu, Faqih jadi tertanya-tanya seketika. Namun, lekas dia menghampiri pintu pagar dan membukanya. “Tan sri? Tan sri buat apa kat sini?”
“Faqih, saya ada hal nak bincang dengan kamu,” ucap Tan Sri Kamarul sebaik huluran salamnya dengan pemandunya itu bertaut.
“Errr… hai, ustaz! Eh, hai, Faqih!” Muncul tiba-tiba seorang wanita berambut panjang beralun di sebelah Tan Sri Kamarul. Siap boleh tersasul lagi!
Berkerut dahi Faqih memandang wanita itu pula. “Adriana! Awak pun ada kat sini?”
Adriana tidak menjawab, sebaliknya dia hanya menyeringai menampakkan barisan giginya yang tersusun. Sebiji muka orang bersalah!
“Kamu sibuk ke, Faqih?” Tanya Tan Sri Kamarul.
Faqih menggeleng. Wajahnya kembali tenang. “Tak, saya tengah free sekarang ni. Errrmmm…” Kata lelaki itu sambil kepalanya tertinjau-tinjau memandang ke arah jalan. Ada lagi perkara yang membuatkannya kepelikan.
“Kenapa, Faqih?” Tan Sri Kamarul turut ikut memandang ke seberang jalan yang tidaklah lebar mana itu.
“Tan sri memandu sendiri ke?” Soal Faqih, itulah yang mengganggu fikirannya sebenarnya. Setahunya, Tan Sri Kamarul tidak tahu memandu!
Tan Sri Kamarul tergelak. “Ya, saya memandu sendiri. Kenapa? Tak percaya?”
“Errr…” Faqih menggaru-garu lehernya. Bertambah pelik!
“Humhum… untuk pengetahuan kamu, Faqih, saya sebenarnya boleh memandu. Cuma semenjak terlibat dengan kemalangan yang boleh dikatakan agak ngeri jugak tujuh tahun lepas, saya tak berani dah nak memandu. Saya trauma nak memandu. Sebab itu saya pakai driver.
Faqih terlongo seketika. Lah, begitu rupanya! Mati-matilah selama ini dia fikir yang Tan Sri Kamarul tidak ada lesen memandu! Itulah yang membuatkan dia pelik ketika pertama kali berjumpa dengan majikannya itu. Pelik kerana seorang tan sri yang sudah semestinya banyak duit, tidak mempunyai lesen memandu!
“Habis, macam mana tan sri boleh memandu sampai ke sini pulak? Macam mana tan sri boleh tahu rumah saya?” Faqih tidak sabar-sabar mencamurkan kebingungannya yang lain.
“Sebab saya betul-betul nak jumpa kamu, Faqih. Saya gagahkan jugak diri ni bawak kereta. Pasal tempat tinggal kamu, saya tahu dari seseorang. Adalah hamba ALLAH tu,” jelas Tan Sri Kamarul lalu menepuk-nepuk bahu pemandunya yang kebingungan itu.
“Hmmm… masuklah, tan sri,” pelawa Faqih.  Dalam kepalanya, ‘siapalah agaknya Hamba ALLAH itu?’
Seketika kemudian, ketiga-tiga mereka masuk ke dalam rumah. Mata Tan Sri Kamarul dan Adriana meliar seketika di dalam rumah itu. Serta-merta timbul keanehan dalam benak fikiran mereka.
Di atas sofa panjang, seorang lelaki yang tidak berbaju, sedang tidur tidak ingat dunia diiringi dengan dengkuran yang agak kuat. Faqih yang menyedari hal itu terus menjerkah gerangan yang sedang lena benar itu.
“Kimi! Kimi! Bangun! Bos aku datang!” Faqih menggoncang-goncang agak kasar bahu lelaki itu. Dia tahu, bukan mudah hendak membawa rakannya yang sedang tidur itu kembali ke dunia nyata!
“Arghhh… kau nak apa?” Hakimi terduduk setelah agak lama juga Faqih menggoncang bahunya. Terpisat-pisat mata lelaki itu.
Adriana yang hanya memerhati dari tadi mengetap bibir dengan mata yang membulat. Ah, kenapa mamat sewel ni lagi? Oh, tidak!!!
Hakimi menggosok-gosok matanya. Cuba mengecamkan kelibat seorang lelaki dan seorang wanita yang berdiri di hadapannya itu. Hah!
“Kau minah sengal tu kan? Wei, kau buat apa kat dalam rumah aku ha?” Hakimi terberdiri terus sebaik mindanya mengecamkan wanita yang kini tertunduk-tunduk malu itu. Arghhh, macam mana pulalah minah sengal ini boleh muncul tiba-tiba ketika dia membuka mata?
Faqih menepuk bahu rakannya itu. “Kimi, sudah! Ni bos aku dan yang ini anak saudara dia, Adriana. Kau nak tidur pergi masuk dalam! Kami ada hal sikit.” Agak keras Faqih menegur Hakimi. Memang kena begitu kerana dia tahu, Hakimi masih ‘berdendam’ dengan wanita yang digelarnya ‘minah sengal’ itu!
Hakimi menunjukkan jari telunjuknya ke wajah wanita itu, bagai hendak mencari gaduh. Jelas dadanya yang bidang, tidak bertutup apa-apa itu turun naik. Marah lagi ke, cik abang?
Adriana tunduk. Tidak mampu hendak membuat serangan balas. Dia malu! Malu sungguh melihatkan penampilan lelaki itu walaupun hatinya sudah memberontak-rontak untuk membuat serangan balas! ‘Arghhh, mamat sewel gedik! Ingat dada kau six pack aku cair ke? Kirim salamlah!’ membentak-bentak hatinya.
Tan Sri Kamarul yang hanya berdiri di sebelah anak saudaranya itu terus membatu. Dia tidak faham dengan apa yang berlangsung di depan matanya sekarang ini!
“Astaghfirullah, Kimi, sudah! Tolong masuk dalam sekarang, Kimi! Please…” Faqih cuba menahan emosi rakan serumahnya itu daripada terus bergelojak. Semakin keras suaranya dikeluarkan.
Hakimi merengus kasar. Tanpa banyak kata, mungkin sudah termalu sendiri melihat ada lelaki lain di sebelah ‘minah sengal’ itu, terus dia menghilang ke dapur. Seketika kemudian, kedengaran bunyi pintu bilik di dapur ditutup agak kasar. Marah betul dia nampaknya…
“Hmmm… saya minta maaf tan sri, Adriana. Kawan saya memang macam tu. Saya minta maaf sangat-sangat.” Faqih memohon maaf. Sungguh dia agak kesal dengan perlakuan rakan serumahnya yang agak tidak patut itu.
Tan Sri Kamarul menggeleng. Wajahnya nampak keletihan. “Tak apalah, Faqih. Orang bujang memang macam tu. Saya faham. Hmmm… saya ingat kamu tinggal sorang diri.”
“Taklah, tan sri. Saya kongsi dengan dua orang lagi kawan saya. Yang tadi tu dengan sorang lagi, belum balik kerja. Ha, tan sri duduklah dulu. Saya buat air.”
“Eh, tak payah, tak payah! Saya nak cakap dengan kamu sekarang.” Tan Sri Kamarul pantas menepuk bahu anak muda itu, menghalang langkahnya.
Faqih mengangguk. “Duduklah, tan sri.”
Seketika kemudian, ketiga-tiga mereka mengambil tempat duduk di sofa ruang tamu yang agak empuk itu.
“Faqih… saya sebenarnya… nak belajar solat dengan kamu.” Terus Tan Sri Kamarul memberitahukan tujuan asalnya menemui pemandunya itu tanpa kiasan-kiasan.
Faqih tergamam.
Adriana membulatkan mata. Pak ngahnya nak belajar solat?
Nafas dalam diambil. Faqih memandang lantai seketika sebelum tersenyum kembali memandang majikannya itu. “Boleh, tan sri. Insya-ALLAH. Errmmm… Adriana?”
Adriana yang masih melayan rasa peliknya itu terpinga-pinga. “Hah? Errr… saya pun nak belajar solat!” Spontan saja ayat itu keluar dari mulutnya. Oh, tidak!!!
Kali ini Tan Sri Kamarul pula yang membulatkan mata.
Faqih tertawa kecil. Seketika kemudian, dia mengangguk-angguk. “Insya-ALLAH, saya cuba apa yang termampu.” Tenang saja suaranya beralun.










Sunday, February 17, 2013

CERPEN: SAYA SEBENARNYA SAYANGKAN AWAK!


#Cerpen pertama untuk tahun 2013...

SAYA SEBENARNYA SAYANGKAN AWAK!
RANCANGAN televisyen yang sedang ke udara tidak langsung menarik perhatianku. Puas sudah aku menekan-nekan punat remote controller, namun akhirnya aku menyedari yang aku hanya membuang masa!
Punat merah kutekan juga. Serta-merta skrin televisyen plasma di hadapanku berubah malap. Ah… tutup TV lagi bagus!
“Wardah, kenapa tutup TV tu? Akak nak tengok Cinta Akhir Hayat lepas ni! Episod last bai!” Pekik kakakku, Kak Wafa dari arah dapur.
“Haishhh… cerita tu pukul enam petang nanti, kak! Sekarang baru pukul lima, lima puluh lima minit petang!” Aku turut memekik.
Tidak lama kemudian, Kak Wafa muncul dari dapur. Laju saja langkahnya menghampiriku lalu dengan tanpa sebarang amaran atau isyarat, selamba saja dia merampas remote controller dari tanganku. Cait!
“Akak ni, sebab Cinta Akhir Hayat tu sanggup buat Adah macam ni! Eiii… apalah ada pada cerita poyo tu? Menyampah!” Aku mengomel tidak puas hati.
“Eh, yang kau sensitif sangat ni kenapa? Bukan kau tak tahu pun yang akak ni penonton setia cerita tu setiap petang!” Balas Kak Wafa sambil bercekak pinggang. Geram wajahnya memandangku.
Aku menjuih bibir. Meluat! Meluat! Meluat! Apalah yang Kak Wafa ni gila sangat pada drama cinta poyo itu? Ada ke patut sudah terlanjur boleh pula ikat janji setia sampai ke syurga? Euwww… apa jenis itu?
Yang lebih membuat aku tidak faham ialah cerita tersebut bukan saja digilai oleh Kak Wafa, malah boleh dikatakan mendapat sambutan yang agak meletop dari setiap penjuru negara. Hingga beberapa minggu juga hashtag Cinta Akhir Hayat menjadi trend di Twitter!
Hei… tak faham aku!
“Kau tak tengok dari awal cerita memanglah kau tak tahu! Dah, kau jangan nak banyak cakap. Sekarang giliran akak pulak nak ‘berasmara’ dengan TV ni! Tepi, tepi!” Kak Wafa sudah memukul-mukul bahuku dengan remote controller di tangannya.
Aku menggigit bibir, geram! Melampaulah Kak Wafa ni sampai ‘menghalau’ aku semata-semata kerana Cinta Akhir Hayat dia tu! Arghhhh!
“Ishhh… akak ni tak baiklah! Ha, tengoklah. Tengok! Tengok puas-puas! Adah tak heran pun dengan cerita kerek macam tu! Pirahhh!” Hamburku. Akhirnya aku terpaksa mengalah, bangun juga dari sofa. Malas hendak ‘bersubahat’ dengan Kak Wafa untuk menonton drama entah apa-apa itu.
Kak Wafa tersenyum puas. Segera dia melabuhkan punggung di tempat dudukku tadi bersama-sama semangkuk popcorn di tangannya.
“Huh, nak tengok drama pun siap berpopcorn bagai!” Gerutuku, masih tidak puas-puas meluahkan rasa tidak senang hati kepada Kak Wafa yang sudah kritikal fanatiknya terhadap drama Cinta Akhir Hayat itu.
“Syhhh… diamlah!” Kak Wafa pantas meletakkan jari telunjuknya ke bibir sambil merenung tajam ke arahku.
Wajahku berkerut-kerut macam nenek kebayan tidak semena-mena. Pandanganku terarah seketika pada kaca televisyen… huh, baru nak masuk intro! Takat lagu OST Cinta Akhir Hayat itu pun sudah suruh aku senyap ke? Heh!
Akhirnya, aku meninggalkan juga Kak Wafa yang semakin asyik melayan perasaannya dengan Cinta Akhir Hayatnya itu. Agak laju aku membuka langkah, menaiki anak tangga untuk ke tingkat atas rumah teres dua tingkat yang didiami oleh anak-anak arwah Haji Latif ini… siapa lagi kalau bukan Kak Wafa dan aku? Ya, kami memang anak yatim piatu!
Masuk saja di dalam bilik, aku melekapkan belakang badanku ke daun pintu. Pelan-pelan, sebuah keluhan dilepaskan…
Setelah termenung agak lama, barulah aku bergerak menuju ke birai katil lalu mencapai sebuah buku kecil yang berada di meja berdekatan. Petang-petang begini, daripada melayan perasaan lebih baik baca Al-Ma’thurat!

KEDAI Buku Tak Berapa Nak Popular, tempat aku mencari rezeki semenjak secara rasmi bergelar graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dua bulan lepas. Sepatutnya orang ‘berpelajaran’ macam aku ni, carilah kerja yang elok sikit bukan? Tapi sudah aku bahagia dengan apa yang aku buat sekarang, maka aku tidak kisah sangat walau cuma bekerja sebagai cashier. Ah, hentam sajalah Labu!
“Itu novel-novel baru you susun depan cermin ni. Sikalang ah, novel-novel Melayu banyak dapat sambutan ohhh. Itu sebab produser manyak bikin filem dari novel,” kata Madam Ching, tauke kedai buku yang tidak ubah aku anggap seperti ‘mak’ aku sendiri itu.
Aku yang sedang menyusun novel-novel Melayu yang baru tiba tadi hanya tersengih. Lucu pula mendengar pelat Cina Madam Ching yang agak pekat serta asli lagi tulen itu. Kalau tidak betul-betul, memang sungguh kau takkan faham apa yang dia bebelkan!
“You kalau penat, you kasi rehat dulu. Patutnya Lita yang buat ini kerja semua,” lanjut Madam Ching.
Aku hanya mengangguk saja. Serta-merta aku teringatkan si Rita, atau ‘Lita’ seperti sebutan Madam Ching! Perempuan itu pun bekerja satu bumbung dengan aku. Cuma hari ini dia cuti, maka akulah yang terpaksa mengambil alih kerja-kerjanya memandangkan hanya kami berdua saja pekerja Madam Ching.
Sedikit sebanyak juga, aku terharu dengan ‘keprihatinan’ Madam Ching. Wei, mana nak cari majikan yang boleh pula offer pergi rehat kalau penat? Oleh sebab itulah aku masih setia menjadi pekerja di Kedai Buku Tak Berapa Nak Popular Ini! Gaji belakang kira… janji aku bahagia!
Lagipun, apa salahnya aku ‘menimba ilmu’ perniagaan dari Madam Ching dahulu? Mana tahu ada rezeki nanti, aku pula yang jadi tauke Kedai Buku Yang Agak Popular. Hah! Ada jugalah faedahnya…
“Waldah, saya mahu pergi keluar itu bank dulu. You jaga kedai!”
Hampir saja ketawa aku tersembur mendengar susunan ayat Madam Ching yang agak tunggang-terbalik itu. Sudahlah itu, nama aku yang cun melecun itu pula tidak semena-mena bertukar daripada Wardah kepada Waldah!
Apa-apa sajalah. Bukan aku tidak biasa pun dengar Madam Ching panggil aku macam tu… tapi tidak tahulah kenapa aku masih tak mampu nak sorokkan rasa geli hati aku.
“Okey, madam!” Aku lantas bangun, membuat tabik spring dengan wajah yang gerenti boleh diletakkan kepercayaan sepenuh jiwa. Ceh!
Madam Ching tersenyum lebar. Mungkin gembira kerana mempunyai pekerja yang boleh dibanggakan seperti aku! Tidak lama kemudian, wanita berusia awal lima puluh-an itu keluar dari kedai buku miliknya ini.
Aku meneruskan kerjaku. Setelah beberapa minit menyusun atur novel-novel yang baru sampai di tempat yang telah ditetapkan, aku bergerak menuju ke kaunter. Fuhhh… keluhan lega dilepaskan.
Buat masa sekarang, belum ada lagi pelanggan yang masuk ke kedai ini semenjak setengah jam tadi. Hah, seperti biasa… inilah peluang aku untuk bersantai-santai sambil membaca novel!
Novel cinta setebal lima ratus muka surat itu kucapai semula dari atas meja kaunter. Lantas aku melabuhkan punggung pada kerusi lalu menyelak-nyelak helaian novel tersebut, hinggalah tiba di muka surat yang aku tandakan.
Senyumanku meleret-leret ada ketikanya. Biasalah... aku memang mudah termasuk ke ‘dunia’ lain bila sudah mula ralit dengan novel. Terutamanya novel cinta. Ahhh… aku selalu berangan kalau kisah cinta aku juga berlaku seperti kisah cinta dalam novel! Oh, syoknya!
“Ehemmm…” Teguran suara itu menerjah pendengaranku.
Aku tersentak. Tidak pasal-pasal ‘dunia imaginasiku’ hancur lebur. Pelan-pelan aku mengangkat muka. ‘Oh My English!’ Hatiku juga ikut menjerit.
“Awak tak nak kirakan ke buku-buku yang saya ambil ni? Ke awak nak bagi free?” Sinis lelaki yang kini berdiri di depan meja kaunter itu sambil menghalakan tapak tangannya kepada beberapa buah buku yang sudah pun diletakkan di atas meja.
Aku mengetap bibir. Mak datuk… bila pula lelaki ini masuk? Kenapa aku tak perasan langsung? Lagipula, kedai Madam Ching ini sudah pun dilengkapi dengan loceng jika ada pelanggan yang menguak pintu masuk. Boleh pula aku tak dengar? Ya ALLAH… dahsyatnya aku berangan!
“Errr… sorry, sorry. Saya tak perasan!” Aku bingkas bangun. Hish, baru tadi berangan jadi pekerja yang boleh dibanggakan, sekejap saja sudah lalai!
“Hmmm… awak pun baca novel ni ya? Tak sangka,” gumam lelaki itu disusuli dengan tawa kecil.
Aku yang sedang menekan-nekan mesin kira mengerling lelaki muda itu sekilas dengan kening yang senget sebelah. Aih, apa yang tidak sangkanya?
“Biasa yang saja jumpa, perempuan-perempuan bertudung labuh macam awak ni cuma layan novel-novel Islamik atau buku-buku agama. Tak sangka awak pun layan novel cinta ya?” Lanjut lelaki muda itu sambil membelek-belek novel yang kubaca tadi.
“Apa yang peliknya? Perempuan bertudung labuh pun manusia jugak. Bukan malaikat!” Balasku, agak keras sambil memasukkan buku-buku lelaki muda tersebut ke dalam plastik. Yang sebenarnya, hatiku agak ‘tergarit’ mendengar kata-kata lelaki itu. Pada pemahamanku, lelaki itu seperti meletakkan perempuan bertudung labuh itu ‘berbeza’ dan ‘aneh’ daripada perempuan-perempuan lain! Kurang asam gelugor!
Sekurang-kurangnya kami cuba memenuhi kehendak ALLAH, tahu? Kehendak ALLAH! Jangan main-main! Berbanding kebanyakan perempuan semasa yang terlalu mengagungkan peredaran fesyen yang makin lama, makin entah apa-apa!
“Opsss… maaf. Saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak. Cuma…”
“Semuanya seratus lima belas ringgit!” Pekikku, memintas kata-kata lelaki tersebut yang belum pun dihabiskan. Ah, aku tidak mahu mendengar apa-apa lagi! Yang penting, lelaki muda yang berwajah tenang ini sudah pun ‘merendah-rendahkan’ aku!
Lelaki muda itu tidak terkata apa. Hanya senyuman nipis yang entah kenapa boleh pula terukir di sudut bibirnya. Lantas dia mengeluarkan beberapa helai not ringgit lalu dihulurkan kepadaku.
“Terima kasih!” Ucapku, jelas sangat tidak ikhlasnya. Ikhlas apanya kalau sudah menaikkan suara ya, kak?
Lelaki tersebut menggeleng kepala. Senyuman yang entah apa maksudnya masih setia terukir di ulas bibir itu.
Adeh, kenapa lelaki ni? Seram-sejuk juga aku dibuatnya!
Plastik yang berisi buku-buku itu lalu diambil oleh lelaki berwajah tenang tersebut. Ketika aku hendak duduk kembali dan menyambung baca novel, ekor mataku terperasankan yang tangan lelaki itu sedang mencapai telefon pintarku yang diletakkan di atas meja kaunter. Lalu dengan selamba badaknya dimasukkan ke dalam beg plastik yang berisi buku-bukunya.
“Woi! Penyamun! Telefon aku pun kau nak kebas ke?” Aku mencampakkan saja novel cinta yang baru hendak kulayan ke lantai. Tidak menyempat-nyempat aku bangun hendak mengejar lelaki itu yang boleh pula berlari semula ke arah rak-rak buku yang terdapat di dalam kedai ini.
‘ALLAH! Ujian apa ini?’ Hatiku mula tidak keruan. Aku terus berlari mengejar lelaki yang entah kenapa seperti hendak bermain ‘kejar-kejar’ denganku itu. Sekejap dia ke rak sana, sekejap dia ke rak sini… namun apa dayaku sebagai seorang wanita?
Dalam asyik mengejar, tanganku sempat mencapai sebuah buku tebal yang bersusun di atas rak. Lalu dengan lafaz takbir seperti hendak pergi ke medan perang, aku mengejar langkah lelaki yang masih ‘relaks’ itu bersungguh-sungguh! ALLAHUAKBAR!
“Aduh!” Jerit lelaki itu apabila buku tebal yang kusempat capai tadi terhempuk juga ke kepalanya.
“Ohhh… kau nak rompak telefon aku ya? Nah, rasakan! Padan muka! Huarggh!!!” Aku yang terlalu geram tahap tidak terkata apa saat ini terus-menerus memukul kepala dan apa saja bahagian tubuh lelaki itu yang boleh kuhempuk. Tidak boleh jadi… penyamun seperti ini perlu diajar cukup-cukup! Sabarku juga sudah hilang!
“Nah… nah… ambil balik!” Lelaki itu mengeluarkan juga telefon bimbitku dari dalam beg plastik yang dijinjitnya lalu diletakkan saja di atas lantai.
Nafasku bergelombang. Menggigil-gigil tanganku menahan amarah yang entah sampai tahap apa kini.
Namun, belum sempat aku membuat apa-apa ‘serangan’ yang lain, lelaki itu pantas berlari keluar dari kedai buku milik Madam Ching ini.
Aku terduduk ke lantai dengan nafas yang masih termengah-mengah. Ya ALLAH…

KULIYAH muslimat pada pagi jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Bakar itu berakhir setelah dua jam berlalu. Selesai sudah pengajian dua buah kitab iaitu kitab Sairus Salikin dan Bahru Al-Mazi yang menjadi ‘silibus’ mingguan bagi kuliyah muslimat di masjid itu.
Aku menguap kecil. Lekas kedua-dua buah kitab tersebut kusimpan ke dalam beg jinjit untuk bergerak pulang. Jujur, dua jam yang dihabiskan untuk mengaji kitab tersebut sudah cukup membuatkan aku terpaksa ‘berperang’ dengan rasa mengantuk tambah letih tambah kebosanan, hasil hasutan syaitan. Ah, bukan aku seorang saja. Kebanyakan kaum muslimat yang terdiri daripada golongan pencen di situ lebih kurang juga macam aku!
Walau apapun, inilah rutin aku semenjak bergelar graduan. Bila cuti daripada bekerja di kedai Madam Ching saja, aku akan menyibukkan diri mencari ilmu agama. Okeylah kan daripada duduk tidak ketahuan di rumah tu? Lagipula, Kak Wafa yang bekerja sebagai guru itu bukannya ada di rumah pun!
Tidak mengapalah… demi ilmu, aku redha. Ceh! Ayat skema lapar sepuluh pinggan penumbuk!
“Wardah, mak cik nak cakap sekejap boleh?” Bahuku ditepuk dari belakang.
Aku yang baru hendak membuka pintu kereta Vivaku sedikit tersentak. Pelan-pelan, aku memusing tubuh. “Eh, Mak Cik Sue! Boleh, boleh. Nak cakap apa, mak cik?”
Mak Cik Sue yang turut sekali mendalami ilmu agama dengan aku itu menguntum senyuman. “Wardah nak kahwin tak?”
What the…!!!” Ha, kau! Nasib baik tidak kusambung ayat itu! Mahu ada yang kena lempang mulut tu karang!
Aku terlongo. Biar betik sikit Mak Cik Sue ni? Apahal tiba-tiba tanya aku nak kahwin ke tak ni? ALLAH…
Mak Cik Sue mengurut-urut dada menerima reaksi spontan aku. Terperanjat orang tua ini nampaknya!
“Humhum… tak apalah, Wardah. Mak cik bagi kamu masa ya? Fikir baik-baik tau!” Mak Cik Sue yang sudah boleh menenangkan diri kini menepuk-nepuk kembali bahuku, memberikan peluang.
Aku pula masih di ‘awang-awangan’. Aiyarkkk… baru keluar dari majlis ilmu sudah ada yang masuk meminang? Huishhh, murah juga ‘rezeki’ orang yang menuntut ilmu ini rupa-rupanya!
“Ha, tu… anak mak cik dah sampai. Mak cik balik dulu ya?” Mak Cik Sue meminta diri, sambil telapak tangannya menunjuk ke arah sebuah Toyota Camry yang semakin menghampiri kami.
Ketika Mak Cik Sue masuk ke dalam kereta anaknya, sempat aku mencuri-curi pandang kepada gerangan driver yang duduk di sebelah. Aku pasti, itulah dia anak Mak Cik Sue yang hendak dikahwinkan dengan aku kerana apa yang pernah aku dengar, Mak Cik Sue hanya mempunyai seorang anak lelaki saja!
Dan… ah! Aku terpegun. Terpegun menerima senyuman daripada anak lelaki Mak Cik Sue yang turut ‘mengambil peluang’ menjengahku.
Aku tidak keruan serta-merta. Ya ALLAH… jujur, wajah lelaki itu cukup tenang beserta senyuman manis yang terukir di bibirnya! Sungguh, tak tipu ni!
“Astaghfirullahalazim!” Aku cepat-cepat mengkalihkan pandangan. Ah, gila! Berdosanya aku kerana tidak menjaga pandangan mata dan hati ini!
Ya ALLAH… bantulah aku mengawal perasaan ini! Hatiku berdesis memohon kepada-NYA. Tidak, aku tidak mahu hati ini dicemari dengan perkara seperti ini!
“Mak cik balik dulu, ya. Wardah fikir baik-baik tau! Assalamualaikum,” tutur Mak Cik Sue, memberi ‘peringatan’ lagi sebelum menutup pintu kereta.
“Waalaikumussalam…” Jawapan salam itu hanya berbalas ketika Toyota Camry anak Mak Cik Sue sudah pun hilang dari pandangan.
Aku terus terkaku di situ. Kaku dengan ‘peristiwa’ tadi…
Ya ALLAH… sungguh hatiku bergetar! Namun, bila diingat-ingatkan balik… serasanya aku pernah melihat lelaki berwajah tenang itu. Cuma aku tidak pasti di mana dan bila…

“AKAK tak nak kau tunggu lama-lama lagi, dik. Bila kau dah kahwin, barulah lega hati akak,” ucap Kak Wafa. Lembut saja nadanya memujukku.
Aku yang sudah terduduk tidak mampu menahan esak tangis lagi. Terinjut-injut bahuku. “Kenapa, kak? Akak dah tak sanggup hidup dengan Adah lagi? Akak kejam! Sepatutnya akak tanya dulu pada Adah!” Rintihku.
“Wardah, bukan macam tu. Akak bukan tak nak hidup dengan Adah lagi, malah akak sedih sebenarnya nak lepaskan Adah. Tapi Adah… Adah kena kahwin. Biar ada suami yang boleh jaga Adah betul-betul. Akak dah tak ada sesiapa lagi, dik. Akak cuma ada Adah aje sekarang ni! Percayalah, apa yang akak buat semuanya terbaik untuk Adah!” Kak Wafa memegang bahuku, ‘rintihannya’ juga disuarakan penuh mengharap agar aku mengerti.
Namun… bagaimana hendak aku mengerti setelah apa yang Kak Wafa ‘lakukan’ padaku? Sungguh hanya ALLAH yang tahu betapa ‘pananya’ duniaku tatkala Kak Wafa memberitahu yang dia telah pun menerima pinangan Mak Cik Sue untuk anak lelakinya! Ya, Kak Wafa menerima begitu saja tanpa langsung berbincang denganku…
Hati siapa yang tak sakit?
Ini kehidupanku. Sepatutnya aku yang buat keputusan!
“Akak percaya yang Adah akan bahagia dengan Muaz,” getus Kak Wafa lalu melingkarkan lengannya pada bahuku.
Aku terkebil-kebil. Heh? Nama lelaki yang ingin mencuri telefon pintarku yang tak berapa nak pintar tempoh hari itu Muaz? Oh, barulah aku tahu!
Ya, setelah cuba ‘mengerah’ kepala otakku buat beberapa hari, akhirnya aku berjaya mengingati semula di mana aku pernah berjumpa dengan anak tunggal Mak Cik Sue itu sebelum ini. Ya, anak lelaki Mak Cik Sue itulah ‘penyamun’ yang cuba mencuri telefon bimbitku di kedai buku tempoh hari!
Oh tidak… takkanlah aku kena berkahwin dengan dia kut?
“Akak! Dia tu sebenarnya penyamun tau, kak! Dialah yang nak curi telefon Adah masa di kedai hari tu! Takkanlah akak nak Adah kahwin dengan lelaki macam tu???” Aku meninggikan suara, menyatakan kebenaran. Biar Kak Wafa ‘buka mata’ untuk menilai siapa lelaki yang bernama Muaz itu!
“Haisshhh, Adah kalau tak suka pun janganlah tuduh dia bukan-bukan! Dia tu CEO, Adah. CEO syarikat arwah bapak dia. Heh, tak ada kerjalah dia nak ambil telefon bingai Adah tu! Setakat telefon macam Adah tu, beratus-ratus biji dia boleh belikan untuk Adah sorang aje tau!” Bidas Kak Wafa.
Aku tergamam. Bulat mataku memandang Kak Wafa… ‘Penyamun’ itu CEO???
Tapi… tiada apa yang mustahil pun kerana tempoh hari ketika aku hendak pulang dari masjid, lelaki itu memandu Toyota Camry. Kereta mewah tu!
Tapi kenapa… kenapa pula lelaki itu hendak mencuri telefon bimbitku tempoh hari? Teruk juga badan dia aku bantai dengan kamus dewan yang sempat aku capai pada ketika itu!
“Terimalah Muaz, Wardah. Dia bukan lelaki biasa. Rajin berjemaah di masjid. Insya-ALLAH, dia boleh bimbing Adah sebaik mungkin.” Kak Wafa terus memujukku. Tiada lagi kedengaran suara kasarnya seperti selalu.
Aku tunduk. Tidak tahulah kenapa… aku sedih sangat. Sangat-sangat sedih!

PADA dhuha yang agak nyaman itu, dengan sekali lafaz saja aku telah sah bergelar isteri kepada jejaka bernama Muhammad Muaz Affan bin Umar. Wajahnya tenang saja ketika menyambut ijab daripada tok kadi… tidak langsung mengerling ke arahku.
Sementara aku… entahlah. Hanya ALLAH yang mengerti perasaanku kini. Aku sendiri tidak pasti apa yang membadai hatiku terhadap perkahwinan ini. Cuma yang aku rasakan… hanyalah masa terlalu pantas berlalu.
Setelah menunaikan solat sunat nikah berimamkan si ‘dia’, Muaz yang kini sah bergelar suamiku itu meletakkan telapak tangannya ke ubun-ubunku.
Sayup-sayup, aku dapat mendengar suaranya berdoa…
“Ya ALLAH aku mohon kepada-MU kebaikannnya dan segala kebaikan yang ENGKAU ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung daripada-MU keburukannya dan segala keburukan yang ENGKAU ciptakan pada dirinya.”

TETAMU semakin beransur pergi setelah selesai majlis doa selamat bersempena dengan pernikahan aku dan Muhammad Muaz Affan. Begitu juga dengan ibu mertuaku… Mak Cik Sue dan Kak Wafa. Mereka semua pulang meninggalkanku dengan Muaz… di rumah teres berkembar milik lelaki itu.
Aku agak janggal juga. Namun, semua ini sudah dirancang oleh Mak Cik Sue yang kini kupanggil ‘mak’. Mengikut apa yang kami pernah menuntut di kuliyah agama sebelum ini, walimatul urus afdhal diadakan setelah pasangan yang baru bernikah tersebut melakukan persetubuhan…
Dan itulah yang dirancangkan. Seminggu lagi barulah walimatul urus untuk meraikan pernikahanku diadakan.
Namun… memandangkan perasaan aku yang masih tidak menentu terhadap perkahwinan ini, sanggupkah aku ‘bersama’ dengan si dia?
Aduh… gawat! Aku belum bersedia!
Tapi, salah aku, kah? Sedangkan aku bukannya nakkan sangat pun pernikahan ini pada mulanya! Ini semua ‘salah’ Kak Wafa…
Lagipula… ada ‘sesuatu’ sebenarnya yang membuatkan aku marah dan berkecil hati dengan Muaz sehingga kini. Ya, aku memang masih ‘terguris hati’ dengan suamiku sendiri!
Dengan dada yang agak berdebar-debar, aku memulas juga tombol pintu bilik. Sebelum masuk, aku menjengulkan dulu kepalaku dari balik pintu… melilaukan bola mata ke segenap ruang kamar tidur yang kini berhias indah seperti kamar tidur pengantin itu.
Ah, wanginya! Dalam pada itu, deria bauku menghidu aroma bunga mawar yang menusuk hidung. Agak-agaknyalah, berapa tong minyak wangi yang dia gunakan? Baunya memang mengancam semacam!
Lafaz basmalah meniti bibirku, mengiringi langkah kaki yang akhirnya digagahkan juga untuk masuk ke dalam kamar tidur tersebut. Huh, lelaki itu tidak ada di depan mata pun aku rasa jantung ni nak meletup, macam mana kalau dia ada? Terbarai isi perut aku agaknya!
Langkahku terhenti sebaik tiba di birai katil. Katil bersaiz queen yang disarungkan dengan cadar berwarna merah itu kuperhati dengan muka yang terkulat-kulat…
‘Erm, nak tidur ke tak? Aku dah mengantuk ni!’ Hatiku berbelah bahagi. Memanglah katil ini ‘secara rasmi’ menjadi katil aku juga pada saat ini, namun… aku masih ragu-ragu. Bermacam-macam fikiran buruk melintas di benakku…
“Errr… Wardah?” Suara garau itu menegur.
Mukaku pucat lesi serta-merta. Walaweh, dia sudah datanglah! Oh tidak… patutkah aku keluar dan lari balik ke rumahku? Argghhh… mana boleh! Nanti jadi kes nusyuz lagi naya! Belum apa-apa sudah ‘derhaka’ pada suami…
Dengan tubuh yang agak terketar-ketar aku mengangkat muka. Serta-merta pandanganku ‘terkunci’…. hanya pada lelaki itu.
Muaz atau suamiku itu sudah pun lengkap berpakaian tidur berwarna merah hati. Lelaki itu turut memandangku… namun tiada senyuman. Sepertinya lelaki itu juga masih ‘canggung’ dengan aku.
Elehhh… hari tu selamba badak aje tersengih-sengih pada aku apahal boleh? Sekarang sudah sah bergelar suami kenapa jadi kayu pula tiba-tiba ni?
Walau apapun, aku tak nafikan… yang Muaz Affan aka suamiku ini memang kacak dalam penampilan sebegini!
“Wardah? Awak okey?” Tegur Muaz, sekali lagi melihatkan aku masih seperti anak patung tidak bernyawa.
Aku mengetap bibir. Laju kepalaku menggeleng…
“Saya…”
Belum pun sempat Muaz menyambung ayatnya, aku yang semakin gelabah tahap burung unta ini terus menyelak selimut dan merebahkan tubuh di atas katil. Lalu seperti orang yang baru terserempak dengan Ju On, aku menyelubungi seluruh tubuhku dengan selimut tebal tersebut. Seram-sejuk tubuhku tidak usahlah diceritakan…
Arghhh… aku nak balik!

KELETIHAN yang ditanggung semalaman terasa lenyap begitu saja. Pelan-pelan aku membuka kelopak mata. Namun… entah kenapa aku rasa duniaku masih gelap!
Beberapa saat kemudian, aku menyedari yang wajahku masih berselindung di bawah selimut. Lalu apa lagi… terkocoh-kocoh aku menolak selimut tersebut dan terduduk di atas katil.
Aku bertambah tidak tentu arah apabila menyedari yang aku kini bukannya berada di dalam bilikku… tetapi bilik suamiku! Lekas-lekas aku meraba-raba kepalaku… mengusap-usap tubuhku.
Lengkap. Semuanya lengkap. Tiada satu pun pakaianku yang ‘terlucut’. Malah, tudung labuh di kepalaku masih elok tersarung. Sarung kaki, sarung lengan dan jam tangan juga masih kemas di tubuhku.
Alhamdulillah… aku mengurut-urut dada. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Sepertinya, Muaz Affan aka suamiku tidak menyentuh langsung diriku malam tadi. Yehaaa!
Dalam ‘kegembiraan’ aku meraikan yang diriku masih suci dalam debu, mataku terperasankan susuk tubuh seseorang sedang sujud di atas hamparan sejadah bersebelahan dengan katil.
Ya, itu Muaz aka suamiku. Dan dia sedang bersolat…
Aku mengerling sekilas permukaan jam yang tergantung tinggi pada dinding… pukul tiga setengah pagi. Satu saja kesimpulanku, suamiku ini pasti sedang melakukan solat-solat sunat.
Wah, rajinnya dia! Jujur, aku sendiri tidak mengamalkan solat sunat malam begini. Yang aku mampu istiqamah ialah solat sunat dhuha. Itu pun nasib baik Madam Ching faham yang aku akan dapat pahala lebih kalau buat solat sunat.
‘You sembahyanglah. Bikin pahala manyak-manyak, kasi masuk syulga! Saya tarak mau halang!’ Terngiang-ngiang ungkapan Madam Ching yang pekat loghat Cinanya itu dalam kepala otakku. Itulah yang akan dikatakannya kepadaku setiap kali aku ingin menunaikan solat di kedai. Malah, siap disediakannya telekung dan sejadah lagi di satu ruang di dalam kedai itu untuk aku bersolat.
“Wardah, tak nak solat dengan abang sekali ke?” Muaz yang entah bila selesai memberi salam itu menegur.
Senget keningku. Heh? Aku tidak silap dengar, kah? Dia bahasakan diri dia abang?
“Errr… Nak solat apa ni?”
Solat Tarawih! Hah, bodohnya cara aku bertanya! Itulah… sudah gelabah, entah apa-apa benda keluar dari mulutku yang tidak pernah menyertai mana-mana skim insurans ini!
Muaz tertawa kecil. “Abang baru selesai Tahajud. Ni nak buat taubat, hajat dan witir. Wardah nak ikut sekali jadi makmum abang?”
Aku meneguk liur. Aisehmen… cair pulak aku dengar dia sebut pasal ‘imam-makmum’ bagai ni! Tapi, satu saja yang buat aku lemah sendi otot…
“Memang kena buat semua tu ke, errr…. awak?” Aku masih dalam dilema untuk memanggil suamiku ‘abang’.
“Seeloknya ya. Masa nilah kita nak dating dengan ALLAH ketika kebanyakan manusia lain sedang tidur,” ujar Muaz. Ada ketenangan pada wajahnya.
Aku mengherotkan bibir. Sedikit sebanyak, aku ‘meleleh’ juga mendengar suara gemersiknya.
Namun… ah, kerana ‘amarahku’ dan ‘kecil hati’ ini masih belum pulih, wajahku kelat kembali.
“Tak apalah. Terima kasih!” Aku pantas menarik selimut lalu menyelubungi tubuhku semula.

“UNTUNGNYA kau dapat kahwin dengan orang kaya! Hensem pulak tu! Eiii… jeles aku!” Luah Rita dengan muka yang ketara cemburunya memandangku.
Aku mengacau-ngacau jus limau yang kupesan dengan straw. Ketawa kecil meletus di bibirku. “Untung? Entahlah. Aku sebenarnya…”
“Sebenarnya apa?”
“Hmmm… tak ada apa-apalah.” Aku pantas menggeleng. Seteruk-teruk aku pun, aku tak adalah sanggup nak cerita masalah rumah tangga pada orang kan? Eh, tapi bila masa pula aku ada masalah rumah tangga ni? Bukan aku sendiri ke yang buat masalah tu?
“Hish, nak berahsia pulak minah ni!” Rita bersandar kembali pada badan kerusi. Kecewa mungkin kerana tidak berjaya mengorek ‘cerita’.
Aku menggeleng lemah. Puas mengacau, akhirnya aku menyedut juga jus limau itu. Gelagat pelanggan yang keluar-masuk di kafe tempat aku melepak dengan Rita sekarang ini pula tidak langsung menarik perhatianku.
So, lepas ni kau dah tak kerja dengan Madam Ching lagilah?”
“Erm, nampaknya tak. Suami aku suruh aku berehat aje kat rumah,” balasku. Ada keluhan panjang menyusul.
Ya, Muaz tidak membenarkan aku bekerja lagi. Katanya pendapatannya sebulan bukan saja cukup untuk menyara diri aku, malah boleh menyara lagi sepuluh orang anak-anak kami!
Amboi, amboi… anak kami???
Hish! Merapu! Aku menampar pipi. Macam manalah boleh terbabas jauh ni?
“Hmmm… ‘angaulah’ nanti Madam Ching tu pada kau. Yalah, kau kan pekerja kesayangan dia. Apapun, hujung minggu ni kenduri kahwin kau kan? Kau jemput tak aku?”
“Eh, mestilah! Bukan dah berbuih ke mulut aku jemput supaya kau datang?”
Rita tersengih-sengih macam kepah busuk.

“ABANG nak ke masjid ni. Wardah jaga diri baik-baik ya?” Muaz seperti biasa, menghulurkan tangannya.
Aku yang masih teragak-agak hendak menyentuh kulitnya itu terpaksa juga mengagahkan diri. Salam itu kusambut lalu telapak tangan itu kukucup.
Arghhh… sudah empat hari bergelar isteri pun aku masih kekok berhadapan dengan suami sendiri!
Senyuman nipis kulemparkan sebagai isyarat ‘ya’. Suka atau tidak… aku tetap sudah bergelar isteri yang sah kepada Muhammad Muaz Affan!
Muaz membalas senyumanku, manis! Sepertinya, senyuman lelaki itu tampak lebih ikhlas berbanding senyumanku yang jelas sekadar hendak ‘menjaga hati’ saja.
Akhirnya, Muaz hilang dari pandanganku sebaik masuk ke dalam perut keretanya. Toyota Camry itu kemudiannya meluncur pergi meninggalkan perkarangan rumah teres berkembar dua tingkat ini.
Aku yang masih berdiri di muka pintu bercekak pinggang. Berkerut-kerut dahiku memikirkan perihal Muaz aka suamiku itu…
Penyamun? Entahlah… aku masih tidak pasti kenapa Muaz hendak mencuri telefon bimbit aku ketika di kedai buku dahulu. Namun, bukan itu masalah besarnya. Hanya ada satu ‘hal’ saja yang membuatkan aku terasa hati sampai saat ini…
Alahai… kenapa susah benar aku hendak ‘memaafkan’ suamiku sendiri?
Walau apapun, sepanjang empat hari bersekedudukan dengan Muaz, aku akui yang lelaki itu bukanlah ‘penyamun’ seperti mana yang selalu aku labelkan semenjak kejadian dia hendak mencuri telefon bimbit aku itu. Sungguh, peribadi lelaki itu tidak kujangka…
Benar apa yang Kak Wafa pernah katakan… Muaz bukan ‘lelaki biasa’. Sungguh, suamiku itu sangat-sangatlah santun orangnya. Sudah itu, rajin pula berjemaah di masjid. Kaki solat malam dan juga pencinta Al-Quran. Walaupun sibuk dengan urusan bisnesnya, Muaz akan sedaya upaya menatap juga mushaf Al-Quran dan membaca walau sehelai muka. Selepas itu, lelaki itu akan membelek pula kitab tafsir untuk meneliti maksud ayat-ayat yang telah dibaca.
Ah, terasa aku pula yang ‘kerdil’! Hendak bangun subuh pun terpaksa guna khidmat jam loceng, apatah lagi solat malam!
Namun… ya ALLAH, sampai bila aku perlu memendam rasa hati ini?
Tidak… aku tidak boleh menipu lagi. Dalam masa empat hari ini, aku rasa sudah cukup ‘tewas’ dengan keadaan yang sebenar. Sepatutnya aku bersyukur… bersyukur kerana dijodohkan dengan lelaki seperti Muaz!
Pelan-pelan… senyuman meleret di bibirku. ‘Saya sebenarnya sayangkan awak… Abang Muaz!’
Buat pertama kalinya, aku mengakui akan gelaran ‘abang’ itu pada jejaka bernama Muaz Affan.
Keluhan lega dilepaskan. Dengan perasaan ‘indah’ yang entah bagaimana tiba-tiba saja menerpa hati ini, aku masuk ke dalam rumah.
Tiba di dalam bilik, aku segera bergerak ke atas sejadah yang sudah terbentang. Sekarang aku mahu menunaikan solat Isyak dahulu. Sementara hatiku pula kian memasang ‘azam’ untuk mengubah ‘segala-galanya’ pada malam ini…
Namun ketika hendak menyarung telekung, mataku tertancap pada sekeping sampul surat berwarna merah jambu di atas meja kerja Muaz. Tidak tahu apa yang begitu mendorongku, laju saja aku menghampiri meja kerja yang terletak di suatu sudut kamar tidur itu. Lalu sampul surat berwarna merah jambu itu kuambil dan kutarik keluar isinya…
Walimatul urus.
Muaz dan Shahira.
Terdiam tidak berkutik aku serta-merta. Beberapa kali aku cuba mengeja nama si pengantin perempuan yang tertaip pada permukaan kad jemputan perkahwinan itu. Sah, ini bukan nama aku!
Aku Wardah Humaira! Bukan Shahira!
Namun… mengapa di sini nama pengantin perempuannya Shahira?
Segera aku melihat tarikh berlangsungnya walimatul urus tersebut. Sebulan lagi???
Sedangkan… walimatul urus aku dan suamiku hujung minggu ini.
Hatiku luluh serta-merta. Segala ‘azamku’ untuk mengubah segala-galanya pada malam ini berkecai, hilang dibawa tiupan bayu kecewa.
Kecewa dengan lelaki bernama Muhammad Muaz Affan! Baru empat hari berumah tangga denganku sudah jadi begini? Kenapa dia tidak berikan aku peluang langsung? Kenapa mudah benar dia berpaling tadah?
Luka di hatiku terasa makin membengkak. Ya ALLAH… ujian apa lagi ini?

AKU tidak mampu menyorok kekecewaan pada raut wajah ini. Semenjak malam tadi aku tidak tersenyum langsung setiap kali bertemu pandang dengan Muaz. Aku tahu dia perasan akan perubahanku… cuma, dia tidak pula bertanya apa sebabnya.
Hah! Jelas! Dia bukan ambil kisah sangat pun pasal diriku. Sudah ketara wajahku cemberut begini pun, dia masih dengan ‘egonya’ untuk buat-buat tidak tahu saja akan hal diriku.
“Mak telefon malam tadi. Dia nak hantar baju kahwin kita petang ni,” beritahu Muaz ketika sedang mengenakan butang baju di dadanya untuk bersiap ke office selepas ini.
Aku tidak membalas. Hanya mengherotkan bibir. Suaraku terlalu ‘mahal’ untuk dikeluarkan pada ketika ini…
“Abang pergi dulu,” ucap Muaz setelah mengemaskan ikatan tali lehernya. Lalu tanpa menghulurkan tapak tangannya seperti selalu, terus saja lelaki itu keluar dari kamar tidur ini.
Pandanganku masih tajam menghala ke muka pintu. Aku tahu… Muaz memang perasan ‘kebengangan’ yang terserlah pada wajahku. Sebab itulah dia tidak menghulurkan tangannya untuk aku sambut salamnya seperti selalu!
Aku bergerak ke birai katil lalu terduduk di situ. Tidak tahulah kenapa… kali ini memang benar-benar sedih. Sedih tak terucap!
Sedang asyik melayan air mata, tiba-tiba aku terperasan pula sekeping nota terletak di atas meja kerja Muaz yang sentiasa kemas itu. Lalu seperti sebelum ini, aku terdorong untuk mendekati meja kerja itu dan meneliti apa pula isi pada sehelai nota berwarna biru tersebut…
Jumpa abang di kafe tempat Wardah lepak dengan Rita hari tu pukul dua belas nanti
-Muaz
Aku pantas menyeka air mata dengan tapak tangan. Berkali-kali aku menatap isi nota tersebut dengan perasaan yang bercampur-baur pula tatkala ini!

SEPERTI yang telah ‘dijanjikan’, tepat pada pukul dua belas tengah hari, keretaku sudah pun tiba di lorong yang akan membawaku ke kafe tempat aku melepak dengan Rita tempoh hari.
Brek diangkat. Pelan-pelan aku menghela udara lalu dihembus… cuba mencari ‘kekuatan’. Memandangkan dadaku semakin berdebar-debar kini, ditambah pula dengan pelbagai persoalan yang semakin mendesak untuk sebuah jawapan!
Apa sebenarnya yang Muaz sudah rancangkan???
Itu sajalah yang berlegar-legar di benakku. Yalah, kalau sudah sampai hendak bertemu di luar begini, takkanlah perkara itu tidak penting kan? Kut ya pun, tak boleh ke buat di rumah saja?
Namun, aku tidak mahu membuang masa. Segala-galanya perlu dibongkar segera!
Langkahku yang semakin laju tidak sabar-sabar, terhenti semena-mena sebaik mataku tertancap ke suatu arah… ya, ke arah kafe tempat yang telah dijanjikan.
Muaz sudah menunggu di situ… namun, dia tidak keseorangan. Ada seorang wanita lain berada bersama-samanya. Rancak dan mesra sungguh mereka berbual…
Mataku buntang. Melihatkan ‘kemesraan’ antara mereka sudah cukup membuatku melakukan kesimpulan bahawa… mereka adalah pasangan kekasih!
Hancur… ya, hatiku hancur!
“Awak!”
Muaz yang sedang berbual mesra dengan ‘wanita asing’ itu agak terperanjat. Perhatian mereka serta-merta beralih ke arahku.
“Ha, Wardah! Datang pun awak. Kenalkan, ini Shahira…” Muaz segera bangun, memperkenalkan ‘wanita asing’ yang kemudiannya tersenyum memandangku itu.
Aku mengetap bibir. Buku lima kugenggam erat … kecewa. Aku sungguh kecewa!
Sanggup Muaz melakukan aku sebegini? Tergamaknya dia tidak mempedulikan apa yang sedang meriak di wajahku kini? Sungguh… dia sangat kejam! Kejam!
Air mataku sudah tidak dapat ditahan. Pecah dari pelupuk mata lalu mengalir deras membasahi pipi. “Awak kejam, Muaz! Awak kejam!!!” Pekikku.
Biarlah. Biarlah dunia sekalipun yang mendengar jeritan batinku kini!
“Astaghfirullahalazim… Wardah! Kenapa ni?” Muaz yang agak terkejut dengan respon aku itu terpinga-pinga.
Hah, sudahlah! Berpura-pura baik konon!
“Cukuplah! Saya tak nak dengar apa-apa lagi! Awak memang kejam! Kejam! Kahwinlah dengan perempuan ni! Ceraikan saya!!!” Tempikku tidak tentu hala lagi. Kesabaranku sudah tidak tahu ke mana hilangnya. Hanya ALLAH yang mengerti…
Beberapa orang yang berada di dalam kafe itu turut terkesima dengan ‘drama’ yang sedang berlangsung kini.
Muaz pula yang membuntangkan mata kali ini… sepertinya dia lebih-lebih terkejut sebaik mendengar tempikanku. “Wardah, dengar sini!” Bahuku dipegangnya lalu dicengkam agak kuat.
Pandangan tajam Muaz menembusi juga anak mataku yang berkaca-kaca.
“Saya dan Shahira tak mungkin berkahwin, Wardah! Itu tak mungkin! Tak mungkin kerana kami haram berkahwin buat selama-lamanya!” Jerkah Muaz, turut menaikkan suaranya beserta dada yang turun naik kencang.
Aku terkedu. Dengan tubuh yang menggigil-gigil, mindaku tiba-tiba saja dihempap dengan pelbagai persoalan dan kebingungan… ya, aku bingung!

NAFAS dalam kuhela lalu dilepas tenang, cuba mencari kekuatan. Agak lama juga aku termenung di situ sebelum menolak daun pintu pelan-pelan. Lalu kepalaku dijengulkan seketika, memerhati ke segenap ruang kamar tidur itu.
Ya, dia berada di situ… sedang khusyuk ‘menelaah’ komputer riba di meja kerjanya.
‘Ya ALLAH, tenangkanlah!’ Sekali lagi hatiku berdesis dengan doa. Doa agar ditenangkan hati yang penuh perasaan yang tidak menentu ini…
Namun yang pasti, aku cukup bersalah. Cukup bersalah dengan si dia!
“Errr… aw… awak…” Terketar-ketar bibirku menegurnya dari belakang.
Muaz yang sedang ralit memandang komputer ribanya menegakkan duduk serta-merta sebaik mendengar suaraku. Kerusinya dipusingkan ke belakang. “Wardah?”
Aku tunduk. Ah, bagaimana harus aku mulakan?
Muaz terus menunggu. Tiada reaksi yang boleh dibaca pada wajahnya. Tidak tahulah aku sama ada dia masih marah atau sudah memaafkan segala ‘kesalahanku’…
Ya ALLAH!
“Saya… saya nak minta maaf. Saya bersalah pada awak…” Aku menggagahkan juga diri untuk bersuara. Dalam pada itu, aku dapat rasakan yang tanganku terketar-ketar.
Senyap.
Tanganku yang terketar-ketar, berhenti serta-merta. Berhenti sebaik telapak tangan lelaki bernama Muaz merangkap suamiku ini menyentuh lalu menggenggam kedua-dua belah tapak tanganku.
“Wardah tak salah. Sepatutnya abang yang jelaskan dulu pada Wardah,” getus Muaz lalu berdiri menghadapku.
Aku meneguk liur. Genggaman erat tangan Muaz terasa agak hangat pada telapak tanganku yang terketar-ketar ‘kesejukan’.
Muaz tertawa kecil. “Abang minta maaf sebab tak berterus-terang dengan Wardah pasal Shahirah, adik tiri abang. Masa kita nikah hari tu dia masih berada di Australia, that’s why abang tak teringat nak cerita pasal dia pada Wardah.”
Aku mengangguk pula. Ya, itulah sebab mengapa aku rasa bersalah sangat pada suamiku ini tentang kejadian siang tadi!
Rasa bersalah kerana telah berprasangka buruk dan menuduh yang bukan-bukan terhadap lelaki bernama Muaz juga suamiku ini!
Namun, salah Muaz juga. Siapa suruh tidak beritahu aku awal-awal tentang wanita bernama Shahirah yang merupakan adik tiri sebapanya itu? Nah, kan tak pasal-pasal aku dah ber ‘drama’ dalam kafe tadi?
Sudah itu, boleh pula dia letakkan kad jemputan kahwin si Shahirah yang bakal berkahwin dengan lelaki bernama Muaz juga itu di atas meja kerjanya tanpa menerangkan apa-apa pada aku! Memang patutlah aku salah sangka…
Aduh, keras juga hati aku ni rupanya!
“Awak, saya…”
“Syhhh… abang-Wardah. Bukan awak-saya.” Jari telunjuk Muaz tegak mengatup bibirku yang tidak sempat menghabiskan bicara.
Aku terkesima lagi. Terkesima dengan permintaan suamiku ini… namun, sebagai isteri layakkah aku menolaknya?
“Tak sangka dalam ‘tak suka’ Wardah pada abang, Wardah tetap cemburu ya? Humhum…” Gumam Muaz disusuli tawanya, sinis.
Aku membulatkan mata. “Memanglah! Kan… errr… abang suami Wardah. Memanglah Wardah cemburu. Errr… Wardah… Wardah minta maaf sebab ‘tak suka’ abang.”
Muaz menggeleng perlahan. Ketawa kecilnya masih meletus… tidak pastilah apa yang melucukan sangat. “Boleh abang tahu kenapa Wardah tak suka abang?”
Aku menarik nafas dalam. Nampaknya jangkaan aku selama ini benar… Muaz memang perasan yang aku tidak begitu ‘menyukainya’. Namun, perlukah aku berterus-terang sekarang?
“Sebab… sebab abang dah kecilkan hati Wardah,” getusku, tidak berterus-terang dahulu.
Muaz mengangkat sebelah kening. “Apa yang abang dah buat pada Wardah?”
“Hmmm… abang ingat lagi tak masa di kedai buku tu? Kan abang kata abang tak sangka yang perempuan bertudung labuh macam Wardah layan jugak novel cinta!” Mendatar suaraku memberi penjelasan. Tidak tahulah dia faham ke tidak…
Namun yang pasti, aku masih tidak berani bertentang mata dengannya lagi. Kepalaku terus menunduk.
“Errr… abang tak faham. Apa yang ada pada kata-kata abang tu sampai buat Wardah kecil hati dengan abang?”
Tepat seperti yang disangka. Muaz tidak memahami maksudku. Serasanya… mungkin aku yang sudah tersalah tafsir kata-katanya itu.
“Daripada kata-kata abang tu, Wardah rasa macam abang anggap perempuan bertudung labuh ni berbeza dari perempuan lain. Maksudnya dengan tudung labuh Wardah, seperti tak ‘melayakkan’ Wardah buat apa-apa yang perempuan biasa lain buat. Lebih kurang gitulah…” Berbelit-belit juga aku nak menerangkan kepadanya. Mana tidaknya, aku sendiri tidak tahu hendak memberitahukan bagaimana. Cuma aku harap dia dapat memahami apa yang aku cuba sampaikan…
Muaz pula tunduk. Wajahnya kembali kosong tidak bereaksi…
Aku menggigit bibir. Aduh, kenapa dengan dia? Marahkah dia dengan pengakuanku?
Tapi, memang itulah yang sebenarnya…
Muaz menghembus nafas lembut, setelah berdiam agak lama. Pelan-pelan wajahnya diangkat semula, beserta senyuman manis yang sudah tersungging di sudut bibirnya. “Wardah dah salah faham. Abang cuma nak beritahu Wardah yang perempuan bertudung labuh ni istimewa. Ya, memang abang pandang perempuan bertudung labuh ni ‘berbeza’, berbeza daripada yang ‘biasa’. Mungkin bukan semua perempuan bertudung labuh tu baik, tapi perempuan baik pasti akan sedaya upaya ikut perintah ALLAH kan?”
Lagi sekali aku terpempan. Ah… malunya aku! Malunya aku kerana terlalu bersangka buruk dengan lelaki ini!
Nampaknya lepas ini aku kena belajar lagi untuk mendidik hati…
“Errr… tapi… tapi kenapa abang nak curi telefon Wardah masa tu?” Aku tetap tidak mahu ‘kalah’.
Muaz membulatkan kedua-dua matanya pula. Lalu dia ketawa lagi. “Humhum… sebenarnya mak abang dah lama berkenan pada Wardah. Jadi dia suruh abang ‘intai-intai’ Wardah. Masalahnya abang tak tahu nak mula macam mana. Tapi akhirnya, abang dapat idea nak ‘kenakan’ Wardah waktu tu. Bukannya apa… sengaja nak tengok apa reaksi Wardah. Hehe… tak sangka pulak yang Wardah nak bantai abang macam tu sekali!”
Aku terkebil-kebil. Heh? Ada pula macam tu? Ya ALLAH… sungguh tidak semenggahnya idea lelaki aku ini!
Kan… tak pasal-pasal dapat ‘hempukan maut’ dari aku! Padan muka!
“Hmmm… Wardah Humaira. Bunga mawar yang putih kemerah-merahan. Abang percaya bunga mawar abang ni bukan bunga mawar yang dah layu atau yang tak berduri, tapi bunga mawar yang ALLAH kurniakan pada abang untuk menjadi penyejuk di mata dan penawar hati abang. Hingga ke syurga-NYA, insya-ALLAH,” ungkap Muaz, gemersik suaranya menerpa gegendang telingaku.
Aku tunduk. Seketika kemudian, dapat kurasakan kedinginan dari ulas bibirnya melekap pada dahiku…
Ya ALLAH… sungguh, aku tidak tahu hendak mengucapkan rasa ini!
“Abang… Wardah… Wardah sebenarnya sayangkan abang!” Ucapku, lalu tanpa berfikir apa-apa lagi, meluru saja lenganku memanjang lalu merangkul tubuhnya.
Biarlah… biarlah aku menzahirkan segala-galanya pada saat ini. Tiada salahnya lagi kerana aku sudah pun bergelar isteri… isteri kepada seorang suami bernama Muhammad Muaz Affan.
Muaz tersenyum ke sudut bibir, lalu membalas rangkulanku. “Abang pun sayang dan cintakan Wardah.”
Aku mengangguk, dengan kepala yang masih terbenam ke dadanya. Sungguh, rasa kekok atau janggal tiada lagi menjadi masalah. Mungkin ALLAH telah menarik semua perasaan itu lalu menggantikannya dengan rasa bahagia… ya, aku dapat rasakan itu!
“Errr… Wardah, dua hari lagi walimatul urus kita,” getus Muaz.
“Ya, bang.”
“Hmmm… rasanya belum terlambat lagi kan kalau kita buat apa yang ‘afdhal’ dulu sebelum walimatul urus kita?” Bisik Muaz, tepat ke cuping telingaku.
Aku terdiam seketika. Namun tidak lama kemudian… pelan-pelan secebis senyuman tertarik ke sudut bibirku.
Anak mataku dan dia bertemu.
Lalu aku mengangguk tidak teragak-agak lagi, mengerti apa yang disampaikannya.
Ya ALLAH… terima kasih atas segala-galanya. Walau kisah cintaku tidak seperti fantasi novel yang selalu aku idam-idamkan, namun aku mengerti kini kenapa ALLAH mentakdirkan semua ini…
Ya, kerana ALLAH itu Maha Tahu akan apa yang terbaik buat diriku!

TAMAT J