Monday, September 2, 2013

Special Last Entries : Imam Mudaku Romantik Bab 22 & 23

Alhamdulillah , setelah sekian lama saya menyepi . Saya minta maaf sangat2 sebab tinggalkan IMR mcm tu aje... salah satu sebabnya saya semakin sibuk sekarang (kini berada di asasi sains uitm) dgn final exam tak lama lagi... fuhhh.. maaf sangat2...
Nah, memandangkan IMR dah lulus utk penerbitan, saya hadiahkan dua bab terakhir yg akan saya post di blog ini sebelum IMR terbit dlm bentuk fizikal. Apapun , saya berterimaaaaa kasihhhh pada awak semuaa ! Sayang awak !

Selamat menghayati !

BAB 22
TAN SRI Kamarul masih leka menelaah buku tentang panduan bersolat di sofa ruang tamu rumahnya. Sesekali kelihatan kepalanya terangguk-angguk, mungkin sebagai isyarat memahami apa yang sedang dibaca. Walau apapun, dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Cukuplah dia sudah terlalu banyak menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam ruang lingkup kejahilan selama ini!
“Abang ni, asyik baca buku tu aje beberapa hari ni! Saya tengok tak adalah tebal mana pun. Sehari pun boleh habis.” Kemunculan Puan Sri Lydia bersama-sama dengan bebelannya sedikit sebanyak menggugah kekhusyukan lelaki berada itu.
Tan Sri Kamarul menurunkan sedikit kaca matanya. “Saya bukan baca kosong, Lydia. Saya baca sambil menghafal dan memahami.”
“Hmmm… siapa suruh hafal? Menyusahkan diri aje!” Puan Sri Lydia mencebir lalu menyambar senaskhah majalah berbahasa Inggeris dari atas meja kopi di depannya.
Tan Sri Kamarul menggeleng. Lalu menumpukan semula perhatian pada pembacaannya. Malas hendak bertekak dengan si isteri yang tidak pernah membukakan hati untuk menerima nasihatnya selama ini.
“Ini semua sebab budak tulah kan?” Getus Puan Sri Lydia, menyedari Tan Sri Kamarul tidak mengendahkan omelannya tadi.
“Budak mana pulak awak ni?”
“Hei, buat-buat tak tahu pulak! Tu, bekas driver abang tulah!” Puan Sri Lydia tidak jadi meneruskan pembacaannya. Dicampak kembali majalah Inggeris itu ke meja.
Tan Sri Kamarul mengerutkan dahi. “Itulah yang awak tak tahu selama ni. Budak Faqih yang awak cakapkan tu bukan sembarangan budak, Lydia. Dia ustaz, dah hafal Al-Quran, imam masjid depan kawasan rumah kita ni.”
Puan Sri Lydia melongo seketika. “Habis, yang dia jadi driver tu kenapa?”
“Entah. Abang malas nak tanya tujuan dia buat semua tu. Biarlah… yang penting sekarang, dia guru abang.  Dia yang ajar abang kembali balik pada agama,” ujar Tan Sri Kamarul.
“Hmmm… pelik betul! Dah namanya ustaz, jadi ustazlah. Sibuk-sibuk pulak nak jadi driver. Agaknya terdesak nak cari kerja kut. Maklumlah, dengan kelulusan dia tu bukannya boleh buat kerja apa pun! Duduk masjid ajelah.” Wanita berada itu masih belum puas ‘merendah-rendahkan’ anak muda yang pernah berkhidmat sebentar dengan suaminya itu. Ada saja yang keluar dari mulutnya.
Tan Sri Kamarul beristighfar panjang. “Tak baik awak cakap macam tu, Lydia. Awak pandang rendah pada dia, entah-entah dia lagi ‘mulia’ dari kita ni. Ingat sikit, dunia ni bukannya kekal. Dah mati nanti, habis macam tu ajelah. Ilmu agama yang dia ada dan yang awak pandang rendah sangat tulah yang boleh tolong dia kat akhirat nanti. Kita ada apa? Ni, nasib baik saya ada kesedaran nak belajar pasal agama. Kalau tak, hmmm… entah apalah yang saya bawak bila mati nanti? Alat-alat kain kapan aje agaknya.” Panjang-lebar lelaki itu membidas ‘tohmahan’ daripada isterinya yang terlalu memandang rendah pada jejaka tersebut.
“Yalah, awaklah yang betul. Belajarlah elok-elok ya, sampai jadi ustaz macam dia jugak!” Perli Puan Sri Lydia. Nampak meluat benar dia dengan kata-kata suaminya itu.
“Saya bukanlah belajar sampai nak jadi ustaz, Lydia. Tapi saya belajar sebab nak penuhi tanggungjawab saya untuk agama. Hmmm… saya tak fahamlah dengan awak ni. Salah ke saya belajar agama?” Persoal Tan Sri Kamarul. Ingin mengetahui apa pemikiran isterinya itu yang sebenar.
Puan Sri Lydia memeluk tubuh. “Taklah salah. Tapi, saya pelik kenapa semenjak budak tu datang kat rumah ni, baru awak nak berubah?”
Tan Sri Kamarul tersenyum nipis. “Hidayah ALLAH boleh datang bila-bila masa dan pada sesiapa pun, Puan Sri Lydia. Ia boleh datang secepat kilat dan boleh jugak pergi sepantas cahaya. Tak ada apa-apa yang nak dipelikkan.”
Wanita berada itu tidak terkata apa lagi. Bercakap dengan suaminya itu hanya menambah sakit hatinya. Ada saja jawapannya!
“Awak, awak ingat lagi tak cara mandi wajib? Kalau dah tak ingat, baik awak belajar cepat-cepat. Takut amal ibadat yang awak buat selama ni tak sah pulak kan?” Tan Sri Kamarul mengingatkan isterinya akan hal itu. Sungguh, itulah hal yang paling menghantuinya sehingga kini… kerap meninggalkan mandi wajib dengan sengaja bila tiba keadaan yang memerlukannya untuk berbuat begitu sehingga terlupa bagaimana caranya!
Puan Sri Lydia mengherotkan bibir. “Sudahlah. Malas nak layan awak!”
Tan Sri Kamarul memicit dahi. Tiada apa yang mampu dilakukannya selain berdoa agar isterinya itu dibukakan pintu hati untuk menerima hidayah!
“Khalis,” panggil Puan Sri Lydia sebaik menyedari anak lelakinya itu muncul di anak tangga untuk turun ke bawah.
“Ya, ma?” Sahut Khalis yang sedang mengusap-usap kepala Aaron Aziz, iguana kesayangannya itu.
“Adik kamu buat apa kat atas?”
“Khalisah? Entah!” Senang Khalis menjawab sebelum terus bergerak menuju ke pintu rumah.
“Eh, kamu nak pergi mana?” Soal Puan Sri Lydia.
“Khalis nak keluar kejap. Jumpa kawan,” beritahu lelaki itu sebelum keluar saja dari pintu rumah. Tidak menunggu apa-apa respon daripada mamanya itu.
Puan Sri Lydia merengus. Acuh tidak acuh saja si anak melayan pertanyaannya!
“Tulah. Kalau kita didik dia betul-betul dengan agama dari kecik dulu, agaknya dia tahulah hormat kita ni sikit.” Tiba-tiba saja Tan Sri Kamarul bersuara setelah agak lama juga senyap tadi.
Puan Sri Lydia tidak membalas. Ada-ada saja suaminya itu semenjak sudah menjadi ‘baik’ sekarang ini! Semuanya hendak dikaitkan dengan agama!
“Lepas ni Faqih datang nak ajar saya solat. Awak tak nak join sekali ke?” Agak sinis nada Tan Sri Kamarul. Walau jauh dari sudut hatinya, dia terlalu mengharapkan suatu jawapan yang akan menyenangkan hatinya daripada si isteri.
Namun… harapan itu sepertinya hanya angan-angan. Puan Sri Lydia langsung tidak menunjukkan riak senang pada wajahnya. Malah, rasa meluatnya menjadi-jadi pula!

“KAU datang sini kenapa? Bukan kau dah tak kerja dengan bapak aku ke?” Terus saja si Khalis membuat ‘serangan’ sebaik motosikal kapcai itu memasuki perkarangan rumahnya.
Faqih menanggalkan topi keledarnya. Wajah anak bekas majikannya itu dipandang kosong. “Tan Sri Kamarul yang suruh saya datang sini.”
“Hmmm… apa lagi yang bapak aku nak?” Khalis terus menunjukkan riak tidak senangnya akan kehadiran lelaki itu.
“Saya ada janji dengan dia. Nak join?” Faqih tergelak. Sinis.
Khalis mengerutkan dahi. Janji? “Hmmm… sudah-sudahlah kau ‘kencing’ bapak aku. Aku tahulah kau tu bukannya jujur sangat pun. Orang bawahan macam kau ni memanglah terhegeh-hegeh nak dapatkan perhatian orang macam bapak aku tu! Heiii… menyirap aku!”
Faqih menggeleng perlahan. Nafas kecil dilepaskan. “Sudah-sudahlah tu. Jangan takbur sangat. Saya tak hairan pun dengan semua kemewahan ni. Saya cuma jalankan tanggungjawab saya pada orang yang memerlukan pertolongan saya.”
“Perlukan pertolongan kau? Eh, apa yang orang bawahan macam kau ni boleh buat eh? Bodek bapak aku tahulah kut!” Khalis meninggikan suara. Jari telunjuknya betul-betul menghala ke wajah Faqih.
“Terpulanglah pada awak nak anggap saya macam mana pun. Janji saya tahu apa yang saya buat.” Faqih turun dari motosikalnya. Malas hendak melayan orang yang sebegini. Kerana dia tahu, orang seperti ini bukannya ‘sengaja’ dengan kata-kata mereka, cuma… mereka belum diberi petunjuk.
“Tunjuk baik konon! Pandailah kau nak racun otak bapak aku!” Ejek Khalis.
“Terima kasih sebab tuduh saya macam-macam. Apapun, saya minta diri dulu ya? Assalamualaikum.” Faqih terus saja berlalu ke pintu rumah, meninggalkan lelaki yang terlalu sombong dengan kata-katanya itu.
Khalis merengus kasar. Keningnya jatuh… mengiringi rasa panas yang membakar hatinya. Kurang ajar!
“Abang, kenapa cakap dengan dia macam tu?” Jerkah satu suara, kedengaran seperti tidak berpuas hati setelah kelibat Faqih menghilang ke dalam rumah mewah tersebut.
Khalis tidak menjawab mahu pun memusing tubuh. Amarah mengatasi segala-galanya.
Khalisah mengeluh. Lantas dia bergerak ke hadapan, menghadap abangnya itu. “Abang ni, tak habis-habis dengan sombong abang tu! Berubahlah, bang. Jangan terlalu pandang rendah pada orang!”
“Heh, kau diam boleh tak? Jangan masuk campur!” Khalis bertempik, betul-betul ke muka adiknya itu.
Khalisah tersentak. Namun, bukan dia tidak biasa dengan sikap panas baran abangnya itu! “Macam mana Lisa tak nak masuk campur? Abang hina orang sesuka hati abang aje! Abang, siapa kita nak hina orang macam tu?”
“Ah, diamlah!” Khalis menolak kasar tubuh adiknya itu sebelum menghidupkan enjin motosikal mewahnya dan berlalu pergi meninggalkan rumah banglo itu.
Khalisah yang sudah terduduk ke lantai akibat tolakan kasar abangnya tadi, tidak terus bangun. Sebaliknya, dia melutut di situ, melayan pedih hati yang kembali meracuni jiwanya.
 ‘Ya ALLAH… berikanlah mereka petunjuk!’ Pelan-pelan hatinya berdoa.

IZHAM melangkah masuk ke dalam rumah itu sebaik dipelawa oleh Puan Sri Lydia. Seperti biasa, matanya melilau ke segenap ruang rumah itu. Mencari wanita yang bernama Khalisah semestinya.
“Auntie percaya ke apa yang Lisa cakap?” Soal Izham dengan muka yang boleh tahan suci sebaik melabuhkan punggung di sofa itu.
Puan Sri Lydia menggeleng lemah. “Auntie tak tahulah macam mana nak cakap dengan Khalisah tu. Kesian kamu.”
Izham tertawa kecil. Ya, kesian dia! “Tak apalah, auntie. Dah orang tak suka saya. Saya tak boleh paksa.”
“Hmmm… mana boleh macam tu. Tak lama lagi kau orang nak kahwin! Walau macam mana pun, Khalisah kena jugak terima kamu,” ujar Puan Sri Lydia, gusar. Gusar memikirkan hal anak perempuannya, Khalisah. Lebih-lebih lagi memikirkan cerita yang telah disampaikan oleh anak perempuannya itu tempoh hari!
“Saya sayang sangat pada Khalisah, auntie. Dia dah jadi tunang saya. Tak mungkin saya nak menduakan dia senang-senang,” ucap Izham. Penuh perasaan… walau dalam hatinya, hanya TUHAN yang mengetahui apa yang di sebaliknya.
“Auntie faham, Izham. Ya, auntie percaya kamu. Cuma… yalah, auntie harap kamu boleh bersabar dengan Khalisah. Auntie tetap akan pujuk dia nanti,” lanjut Puan Sri Lydia. Sungguh, cerita anaknya tentang Izham yang dikatakan telah curang di belakangnya itu amat sukar hendak dipercayai! Tambahan pula, Khalisah memang tidak sukakan Izham.
“Ambiklah masa, auntie. Saya sanggup tunggu.” Izham memicit-micit telapak tangannya. Lakonannya sangat-sangat menjadi hingga terpancar riak bersalah pada wajah wanita berada itu.
Seketika kemudian, bunyi lagu Inggeris dari telefon bimbit Puan Sri Lydia kedengaran rancak, minta diangkat. Terkocoh-kocoh wanita itu menyambar telefon bimbitnya dari atas meja kopi di depan lalu menjawab panggilan tersebut.
“Oh, ya? Okey-okey. I datang ambik sekarang.” Puan Sri Lydia menamatkan perbualan lalu bangun dari duduknya. “Auntie ada tertinggal barang dekat salun tadi. Auntie pergi ambik kejap ya? Kamu duduklah dulu.”
Izham membulatkan mata. Seketika kemudian, dia hanya mengangguk.
Puan Sri Lydia bergegas menuju keluar dari rumah. Nampak mustahak benar.
Suasana sepi. Izham mengangkat bahu. Secawan air yang sudah tersedia di atas meja dari awal ketibaannya tadi dicapai lalu dihirup perlahan.
Seketika kemudian, matanya tajam merenung anak tangga... untuk menuju ke tingkat atas.

BADANNYA dihempuk ke permukaan tilam. Serta-merta keletihan yang ditanggung oleh tulang belakangnya tadi terasa lenyap serta-merta. Dua jam duduk di kerusi, menghadap komputer ribanya untuk menyelesaikan sedikit kerja tanpa henti. Aduh… seksa juga!
Sambil berbaring, Khalisah mengambil peluang menyemak telefon bimbitnya. Manalah tahu ada mesej-mesej masuk yang dia tidak perasan. Kerana ketika membuat kerja tadi, dia mengaktifkan mod senyap pada telefon bimbitnya.
Bam!
Pintu biliknya ditolak kasar dari luar tiba-tiba.
Khalisah terduduk tidak semena-mena. Tersentak!
Wajah lelaki itu sedang tersenyum memenuhi ruang matanya. “Marahkan I lagi, sayang?”
Khalisah kaget. “Izham! Apa yang you buat dalam bilik I? Keluar! Keluar!!!” Tidak tentu hala wanita itu bertempik. Tubuhnya menggigil-gigil kini. Bagaimana lelaki ini boleh masuk ke biliknya begitu saja?
Ya ALLAH… tolong!
“Heh, baik you diam! I kata diam!” Izham tiba-tiba meluru ke arah Khalisah yang masih terduduk di atas katil. Lalu menekup mulut wanita itu… kasar!
Khalisah sedaya upaya melepaskan dirinya daripada cengkaman lelaki itu. “Mama! Papa! Tolong!!! Tolong!!!” Anak tekaknya terus menjerit walau terasa pedih. Dia tidak mahu semua ini…. Dia tidak mahu!
Pap!!!
Tapak tangan lelaki itu betul-betul mendarat di pipi Khalisah. Dan… tamparan itu sudah cukup melemahkan tenaga wanita itu daripada terus menjerit. Hanya kesakitan yang bersilih ganti…
“Selama ni you sakitkan hati I ingat percuma saja? You salah, Khalisah. I akan tuntut ‘bayaran’ I! I akan tuntut!”
Khalisah tidak mampu berbuat apa-apa. Dia mahu menjerit… tetapi suaranya bagai hilang tiba-tiba. “Izham… jangan buat I macam ni! I merayu! Tolong, Izham!”
“Ah, I kata diam!!!” Lagi satu tamparan mendarat di pipi Khalisah. Sungguh, lelaki itu bagai sudah tidak berkelakuan seperti manusia lagi. Syaitan sudah menguasai emosi dan jiwanya!
“Izham…” Khalisah semakin tidak berdaya. Dia tidak pasti apa yang telah terjadi pada tubuhnya ketika ini.
“Mama!!! Papa!!! Tolong!!!” Namun, entah dari mana kekuatan itu datang, Khalisah menjerit lagi. Menjerit sekuat-kuat hati walau anak tekak seperti sudah tiada lebihan suara lagi untuk dikeluarkan.
“Woi! Tak guna!!!” Suara seorang lelaki asing hadir menjengah pendengaran mereka pada kekalutan itu.
Izham memusing wajah. Namun, belum sempat dia berbuat apa-apa, gerangan yang tiba-tiba saja muncul di dalam bilik itu datang menghampiri lalu melepaskan buku lima ke wajahnya.
Izham terduduk ke lantai. Namun, dia masih tidak mengalah. Segera dia bangun, turut melepaskan tumbukannya pada lelaki asing itu.
Lelaki asing itu lebih pantas membaca pergerakannya lalu mengelak buku lima lelaki itu daripada terkena wajahnya. Pergelutan itu semakin sengit.
Khalisah kembali terduduk di katilnya beserta air mata… juga dengan pandangan yang sudah berpinar-pinar. Matanya tertancap pada kesan koyak di lengan bajunya lalu segera menutup tubuhnya dengan selimut. Cecair jernih berderai dari bening matanya… berderai membasahi pipi, beserta esakan yang tidak mampu dikawal lagi. Ya ALLAH…
“IZHAM! FAQIH! CUKUP!” Tempikan jantan Tan Sri Kamarul menggegarkan ruang kamar tidur tersebut.


BAB 23
BAYANGAN peristiwa semalam terus mengganggu jiwanya. Sesekali bila perasaan itu rasa sudah tidak tertanggung, bibirnya pantas meluncurkan istighfar. Ya ALLAH… semoga ‘gangguan’ ini tidak menjadikan makhluk bernama syaitan sewenang-wenangnya merajai emosinya!
Nafas dalam dihirup lembut lalu dilepaskan perlahan. Khalisah memejam rapat matanya, merasai tiupan lembut bayu yang menghala ke jendela biliknya itu.
“Khalisah, mama buatkan hot chocolate. Minum dulu, sayang.” Suara lembut itu menegur dari belakang.
Khalisah terbebas dari menungannya. Sentuhan lembut pada bahunya itu membuatkannya berpaling sedikit ke kanan. “Mama… terima kasih,” ucapnya lalu menyambut huluran dari tangan mamanya itu.
Puan Sri Lydia tersenyum. Rambut panjang anak daranya itu diusap-usap, penuh rasa bersalah. “Mama minta maaf, sayang. Mama dah silap selama ni.”
“Ma, mama tak silap. Lisa tahu mama cuma nakkan yang terbaik untuk Lisa,” bidas Khalisah. Sungguh, sekalipun perkara yang terjadi itu sangatlah perit untuk diterima, namun dia tidak akan sesekali meletakkan kesalahan itu pada mamanya.
Puan Sri Lydia mengetap bibir. Seketika kemudian, dia mengekor langkah Khalisah  menuju ke sofa di dalam kamar itu. Apabila anaknya itu sudah duduk, barulah dia melabuhkan punggung di sebelah.
Khalisah menghidu seketika aroma coklat panas di dalam mug itu. Lalu kemudian, perlahan-lahan bibir cawan itu disua ke bibirnya. Nikmat terasa…
“Mama tak sangka yang dia tu ada niat tak baik pada Lisa. Bodohnya mama tak percayakan anak sendiri selama ni.” Puan Sri Lydia berterusan menyalahkan dirinya sendiri. Sememangnya apa yang telah berlaku kepada anak perempuannya cukup membuatkannya kesal tidak sudah!
“Ma, sudahlah ya? Lisa tak salahkan mama. Lagipun, Lisa tak apa-apa kan? Hmmm… kalau boleh, Lisa tak nak ingat lagi semua tu, ma.” Khalisah memeluk bahu mamanya itu. Nampaknya dia pula yang ‘memujuk’ mamanya kali ini setelah dia yang puas dipujuk oleh wanita itu semenjak semalam.
Puan Sri Lydia tersenyum tawar. “Nasib baik Faqih ada semalam. Kalau tak, memang mama takkan maafkan diri mama sendiri!” Getusnya, mengimbau kembali apa yang telah berlaku.
Khalisah terdiam. Namun, kata-kata mamanya itu tetap mengundang senyuman kecil di sudut bibirnya. Ya, dia bernasib baik kerana jejaka bernama Faqih itu muncul sebagai ‘penyelamat’ ketika Izham sedang rakus hendak meratah tubuhnya. Pergelutan antara kedua-dua orang lelaki tersebut berlangsung agak dahsyat sehinggalah papanya muncul, diikuti dengan mamanya.
Ah, dia tidak mahu lagi mengingatkan semua itu. Sungguh, malunya sangat menebal terhadap Faqih gara-gara peristiwa itu!
Namun, dia tetap bersyukur. Alhamdulillah, ALLAH telah mendatangkan pertolongan-NYA… melalui jejaka itu.
“Khalisah,” panggil Puan Sri Lydia, menyedari keadaan tiba-tiba menyepi.
“Ya, ma?”
“Lepas ni, mama tak nak paksa-paksa Lisa lagi. Apa yang Lisa rasa akan buatkan Lisa bahagia, mama turutkan. Lisa buatlah pilihan sendiri, mama tak kisah. Mama pun tak nak buat kesilapan lagi,” ujar Puan Sri Lydia, jujur dari hatinya yang paling dalam. Kini barulah dia menyedari yang Khalisah sudah dewasa, berhak untuk menentukan keputusan sendiri.
Khalisah menggeleng, perlahan. “Ma, bukan semua perkara Lisa boleh tentukan sendiri. Ada masanya Lisa mesti perlukan mama untuk menilai apa yang terbaik buat Lisa. Sebab mama yang lebih ‘faham’ tentang selok-belok kehidupan ni berbanding Lisa.” Lembut dia bertutur. Baginya, walau apapun yang telah berlaku, peranan mamanya sebagai ‘penasihat utama’ tetap tidak akan ditolak tepi. Dia tahu, mamanya cuma mahukan kebahagiaan buat dirinya.
“Hmmm… tapi kalau ada yang Lisa tak puas hati, Lisa cakap tau!”
Tergelak kecil Khalisah mendengar ‘amaran’ mamanya. Mungkin, itulah tawanya yang pertama semenjak semalam. “Baiklah, ma.”
“Errr… Lisa, mama turun dulu. Kalau Lisa nak apa-apa, panggil aje mama ya?” Puan Sri Lydia sudah mengangkat punggung dari sofa tersebut.
Khalisah mengangguk. “Okey, ma. Urmmm… papa mana, ma? Dari tadi tak nampak dia!” Soalnya. Tiba-tiba terlintas pula wajah papanya dalam kepala.
“Ada. Pagi-pagi tadi pergi main golf. Lepastu balik, duduk terperap dalam bilik bacaan tu. Tengah menghafal lagilah agaknya,” beritahu Puan Sri Lydia yang sudah pun menguak daun pintu.
“Hafal? Papa menghafal apa pulak, ma?” Kepelikan seketika Khalisah mendengar jawapan mamanya itu.
Puan Sri Lydia tersenyum. “Dia menghafal cara-cara nak bersolat. Sebab itu kebelakangan ni dia asyik berkepit aje dengan buku yang si Faqih bagi tu!”
“Faqih bagi buku?”
“Ya, Lisa. Tak cukup dengan mengajar, dia bagi buku pulak pada papa kamu. Adriana pun sibuk nak tumpang belajar,” lanjut Puan Sri Lydia.
Khalisah membulatkan mata. Adriana? Aik, wanita itu pun sama-sama belajar solat dengan jejaka itu juga, kah? Tetapi, kenapa sepupunya itu tidak menceritakan apa-apa pun kepadanya selama ini?
Daun pintu ditutup semula setelah Puan Sri Lydia keluar dari kamar tidurnya. Khalisah terus tercengang di atas sofa sambil memegang cawan berisi coklat panas yang masih separuh bersisa. Hanya wapnya saja yang semakin menipis.

SEMANGAT Tan Sri Kamarul dan Adriana hendak menuntut ilmu agama pada malam itu sungguh berkobar-kobar. Ketika Faqih tiba di rumah mewah itu setelah berjemaah di masjid, bekas majikannya dan wanita itu sudah pun bersiap-siap dengan mushaf Al-Quran, pen dan buku latihan di atas meja. Macam hendak pergi sekolah pula.
“Faqih, minumlah dulu. Dahaga kamu agaknya baru balik dari masjid,” pelawa Tan Sri Kamarul sebaik Faqih melabuhkan punggung di meja makan tetamu, merangkap meja belajar mereka pada malam itu.
Faqih tidak menolak. Air teh yang sudah terhidang di depan mata dijamahnya dahulu. Kebetulan, dia memang haus.
“Ustaz, hari ni kita belajar Al-Quran aje kan?” Soal Adriana, yang duduk bertentangan dengan ‘tok guru’. Dari tadi, satu perlakuan Faqih pun tidak terlepas daripada perhatiannya.
“Ya, hari ni kita belajar Al-Quran pulak. Kita betulkan bacaan-bacaan dalam solat, terutama Al-Fatihah,” balas Faqih sebaik selesai menghabiskan secawan teh.
Adriana mengangguk, senyumannya makin lebar memandang wajah tenang itu.
Sementara, Tan Sri Kamarul mengambil tempat duduk bersebelahan dengan anak saudaranya.
“Hmmm… bagus. Dah ada Al-Quran sekali,” getus Faqih, melihatkan dua mushaf Al-Quran sudah tersedia di atas meja. “Tapi sebelum tu saya nak tanya sikit. Errr… huruf hijaiyah kenal tak?” Tanya Faqih lalu memandang kepada wajah-wajah yang menghadapnya itu, menanti jawapan.
Tan Sri Kamarul menyapu-nyapu dahi.
Adriana mengetap bibir.
Seketika kemudian, kedua-dua mereka berpandangan sebelum berpaling semula ke arah Faqih. “Errr… apa huruf hijaiyah tu?” Serentak soalan itu meluncur di bibir mereka.
Faqih membulatkan sikit matanya. Namun dia hanya tersenyum selepas itu. “Huruf hijaiyah tu huruf arab, huruf yang digunakan dalam Al-Quran.”
“Owh, saya pernah belajar. Tapi lima puluh tahun lepas masa kecik-kecik. Sekarang dah lupa.” Jujur pengakuan Tan Sri Kamarul. Malu? Sememangnya. Tapi apa nak buat? Takkanlah hendak berpura-pura tahu kut!
Adriana mengetap bibir. Agak lama juga dia hendak menjawab soalan itu. “Errr… saya, saya tak tahu, ustaz. Saya hafal bacaan dalam solat yang ustaz bagi tu pun guna tulisan rumi yang ada kat bawah tu.”
Faqih menghela nafas lalu dilepas perlahan. Matanya kini memandang pada permukaan meja, membuat lagak berfikir. Berat juga kerjanya…
“Macam nilah, Al-Quran ni simpan dulu. Saya mulakan dari awal,” putus Faqih lalu mula menyelongkar beg kerja yang dibawanya.
Tan Sri Kamarul dan Adriana terus berdebar menanti. Mengenangkan nasib mereka yang agak ‘lewat’ mendapat hidayah. Sungguh, malu usah diceritakan!
“Ha, ni dia. Kebetulan saya bawak lebih. Kita mulakan dengan qiraati jilid satu.” Faqih mengeluarkan dua naskhah buku yang tidaklah tebal mana lalu diletakkan di atas meja. Sebenarnya, dia memang sudah bersedia awal-awal lagi dari rumah untuk membawa buku panduan asas belajar Al-Quran itu. Nyata, persediaannya tidak ‘sia-sia’.
Tan Sri Kamarul menjongket kening. “Ini sama macam muqaddam ke?”
“Lebih kurang. Tapi qiraati ni dah dipermudahkan lagi, kiranya sesiapa yang baru nak kenal asas dalam Al-Quran senang fahamlah. Cepat lancar pun ya,” terang Faqih.
“Ni bukan budak tadika ke yang guna?” Soal Adriana. Jelas nampak keningnya senget sebelah.
Faqih meletuskan tawa kecil. “Sesiapa pun boleh guna, Cik Adriana. Disebabkan awak baru nak belajar mengenal huruf, terpaksalah kita gunakan dulu qiraati ni. Kita belajar satu per satu dari awal. Bila dah kuasai yang asas, barulah boleh kita baca Al-Quran dengan betul. Ingat, Al-Quran ni bukan macam novel, majalah atau surat khabar. Boleh main belasah aje nak baca macam mana. Ini kata-kata ALLAH, kalamullah, jadi nak membacanya kena penuh tertib dan tartil.” Panjang lebar jejaka itu memberikan penerangan, tapak tangannya turut bergerak-gerak semasa bercakap. Sudah terbiasa begitu.
Adriana hanya mengangguk. Redha sajalah…
Seketika kemudian, sesi pengajaran pun bermula. Disebabkan kedua-dua pelajarnya itu baru hendak mengenal huruf arab, maka bagi senang cerita, sekali-sekala Ustaz Muhammad Faqih akan menyanyi lagu ‘Alif Ba Ta’. Lagu yang memang popular dalam kalangan kanak-kanak tadika terutamanya dalam usaha untuk menghafal huruf-huruf hijaiyah.
Walaupun Tan Sri Kamarul dan Adriana merasakan mereka betul-betul kembali ke zaman kanak-kanak riang semula, namun apakan daya? Hendak berubah bukan senang!
Dari balik dinding dapur, wanita itu terus memerhati. Tidak culas langsung.
Khalisah tersenyum. Entahlah… jujur, hatinya kini diulit oleh satu rasa yang sukar hendak dikatakan. Tetapi yang pasti, rasa itu sungguh membahagiakan hatinya.
Gelagat si ustaz yang sedang mengajar ‘anak-anak muridnya’ itu sekali-sekala mengundang tawa perlahan Khalisah, yang masih bersembunyi. Dia tidak mahu mereka semua perasan akan keberadaan dirinya di situ. Dia hanya mahu terus memerhati…
Muhammad Faqih… tenang sungguh lelaki itu memberikan tunjuk ajarnya.
Satu jam berlalu, akhirnya tamatlah ‘kelas pengajian’ di rumah Tan Sri Kamarul.
“Ustaz, terima kasih banyak-banyak tau! Mulai malam ni, saya akan berusaha keras untuk hafal lagu ‘Alif Ba Ta’ tu!” Kata Adriana penuh bersemangat ketika dia sudah bersiap-sedia bangun untuk pulang ke rumahnya yang berdekatan saja dengan rumah Tan Sri Kamarul.
“Alhamdulillah. Latihlah menyanyi lagu tu kalau awak rasa dengan lagu tu lebih membuatkan awak senang dan cepat hafal huruf-huruf hijaiyah. Bila dah kenal huruf, barulah senang nak pergi jauh,” balas Faqih, mengiakan saja.
Adriana hanya tersenyum lebar mendengar bicara jejaka bergelar ustaz itu.
“Ha satu lagi, lain kali kalau boleh pakai tudung ya masa kita belajar?” Tegur Faqih ketika wanita itu sudah pun membuka langkah untuk keluar dari pintu rumah tersebut.
Adriana mengetap bibir, tercengang juga seketika mendengar ‘permintaan’ ustaz itu. “Errr… boleh, ustaz.”
Faqih tersenyum. Seketika kemudian, dia hanya memerhati wanita itu menghampiri muka pintu untuk keluar.
By the way, ustaz. Suara ustaz sedap sangat! Hihi…” Ucap Adriana, sebagai penutup bicara sebelum keluar dari rumah tersebut tanpa menunggu reaksi si ustaz.
Faqih terkedu. Tidak sangka pula dengan ‘pujian’ yang tiba-tiba saja diterimanya itu.
“Ustaz, lusa macam mana? Sebab esok saya ada hal,” pertanyaan Tan Sri Kamarul membawa semula Faqih ke dunia nyata.
Faqih lantas memberikan perhatian kepada lelaki berada itu. “Insya-ALLAH, boleh. Esok pun saya ada hal sebenarnya.”
“Tak apalah kalau macam tu. Hmmm…” Ada keluhan panjang menyusul pada akhir ayat Tan Sri Kamarul. Wajahnya juga tiba-tiba kendur, tidak seceria tadi.
“Tan sri?” Faqih sedar akan perubahan pada raut wajah itu.
Tan Sri Kamarul yang menunduk, lantas mengangkat muka memandang anak muda itu. Bahu Faqih ditepuk-tepuknya. “Terima kasih sebab semalam.”
“Errr…” Faqih tidak terlepas kata. Peristiwa semalam terus terbayang di minda. Nauzubillah… hanya ALLAH saja yang tahu betapa bergelodak ‘amarahnya’ saat melihat wanita itu hampir-hampir saja dicabuli kehormatan oleh tunangnya sendiri.
Ketika kejadian, Faqih yang sebenarnya baru selesai sesi pembelajaran dengan bekas majikannya itu sudah pun berada di atas jalan untuk pulang. Manakala Tan Sri Kamarul hilang entah ke mana. Menyedari yang barangnya sudah tertinggal, cepat-cepat Faqih kembali semula ke rumah tersebut setelah mendapat izin dari Tan Sri Kamarul. Namun, masuk-masuk saja jeritan Khalisah menggegar ke segenap ruang rumah yang kosong ketika itu. Apa lagi… sebaik melihat adegan tersebut, tanpa berfikir panjang, terus saja dia melepaskan tumbukannya pada wajah lelaki yang kini bekas tunang Khalisah itu.
Sungguh, hatinya terbakar benar melihat kejadian itu. Amarahnya terlalu mendalam terhadap apa yang lelaki itu telah cuba lakukan kepada Khalisah!
“Kalau tak ada ustaz, tak tahulah apa jadi pada Khalisah,” luah Tan Sri Kamarul, kecewa.
Kening Faqih bertaut. “Khalisah macam mana, tan sri? Dia okey?” Tiba-tiba timbul pula kerisauannya terhadap anak dara bekas majikannya itu, sehingga dia terdorong untuk bertanya.
“Alhamdulillah, dia dah okey. Tapi muram ajelah memanjang. Trauma lagi agaknya.”
Terangguk-angguk perlahan Faqih mendengar jawapan tersebut. Memang, dia memang risau akan hal wanita tersebut. Tetapi… kenapa? Kenapa pula dia perlu risau sangat?
“Saya doakan Khalisah cepat-cepat pulih, tan sri. Kalau boleh, suruh dia amalkan surah Al-Insyirah, bagi tenang hati.” Sempat si Faqih menyelitkan ‘nasihatnya’. Serius saja raut wajahnya. Memang nampaknya lelaki itu tidak main-main.
Tan Sri Kamarul tiba-tiba tergelak kecil, tidak tahulah di mana yang lucu. “Insya-ALLAH, ustaz. Saya sampaikan. Errr… apapun, saya nak mintak maaf jugak. Sebab kejadian semalam, ustaz dapat lebam.” Kekesalan itu ada di penghujung katanya.
Faqih mengherotkan sedikit bibirnya. Ya, ada kesan lebam di penjuru bibirnya akibat pergelutan dengan lelaki yang cuba memperkosa Khalisah itu semalam. Walaupun dia banyak mengelak ketika lelaki itu melepaskan tumbukan, tetapi satu atau dua tetap terkena juga.
Lebam itu tidak jelas, tetapi tetap terasa bisanya. Dan disebabkan lebam itu jugalah, ramai yang ‘risau’ akan dirinya ketika di masjid tadi. Berpusu-pusu soalan menghempapnya. Namun jawapan yang terlintas di fikirannya hanya satu… ‘Saya mengigau tengah tidur. Tak sedar tertumbuk bibir saya sampai lebam!’
Huh, sungguh tidak masuk akal! Berkerut-kerut juga muka pak cik-pak cik yang bertanya itu mendengar jawapannya.
“Tak apalah, tan sri. Sikit aje ni. Baiklah nanti.” Faqih menyentuh kesan lebam di bibirnya. Serta-merta wajahnya berkerut seribu. Aduh, bisanya!





9 comments:

Anonymous said...

rindunyaaa citer nie... lama dah tunggu.. aperpon.. best n3 nie.. xsabar kat tunggu buku nie nanti..

lee jee joong said...

rindunya kat faqih ni ... :)

Nur Farhana Rakow Abdullah said...

agaknya bila buku ni publish ek?

izzahaneefa said...

InsyaAllah bulan 2 tahun depan :)

Anonymous said...

bab 23 ni bukan bab akhir ye?

izzahaneefa said...

bukan bukan. ada sambungan dlm novel fizikal

@zhar said...

Ahh..camne ni.. Nak teruskn baca tapi takleh nak beli bukunya. Saya takde kat Malaysia.. Kalau teruskn post entri boleh ke? Hihi mesti payah kan. Takpelah, ada rezeki nanti baca lagi. Anyway, very nice and interesting story. Sangat bermanfaat :)

nazimannaim said...

Bestnye dpt one college dgn penulis buku ni ...nk tau spe izzah punye favorite author?

Izzah Haneefa said...

fav author sy Tuan Bahruddin Bekri :)