Monday, July 21, 2014

Imam Mudaku Romantik (Raya) - A Special Episode

Assalamualaikum. Wah, bersawang dah blog ni. Maaflah sebab saya sekarang tumpu pada manuskrip terbaru sampai tak ada kekuatan nak update blog angan-angan ni. Haha... poyoss u olss!

Okey. Maybe some of you, who are Imam Mudaku Romanti-kian notice that IMR dah lama ada di pasaran since this year February. Alhamdulillah, banyak kali masuk carta Bestseller Popular, MPH, Kinokuniya, IluvNovel, Hassani... Allahu, can't thank Him enough!

Tak lupa buat you allsss yang menyokong. Yang beli, yang sanggup baca. Despite all the negative feedbacks, im just okay with that coz i know there are lots more IMR-kian like all of you... terharu :')

Jazakumullahu Khayran Kathira kpd awak semuaaa. Sayang awak! Muahhhh.

So here is the special episode of IMR from me to you. Teruskan menyokong Izzah Haneefa yeee.  

Selamat Hari Raya!

Enjoy!!!

*Oh, before that. Now im working on my latest manuscript. The Title is KDH... guess what does it stand for?
Haha. Okay. Nanti dah siap i inform you alls... lebiuuu .





IMAM MUDAKU ROMANTIK (RAYA)
BEBERAPA orang lelaki dan wanita keluar dari bangunan bercat merah jambu. Mereka mengatur langkah menuju ke kenderaan masing-masing yang terparkir di bawah gelap malam, hanya disinari cahaya bulan dan lampu jalan. Sesekali kelihatan ada yang menguap besar. Keletihan mungkin.
“Terima kasih, ustaz. Alhamdulillah, banyak ilmu yang kami dapat hari ni,” ucap wanita yang tampak masih bersemangat. Bibirnya yang dioles dengan sedikit gincu kelihatan manis tersenyum.
“Alhamdulillah. Harap-harapnya bermanfaatlah untuk kita semua. Hummm… Eh, suami Puan Laila, Ustaz Faqih apa khabar?” Soal lelaki berusia awal empat puluhan yang memakai kopiah di kepala itu.
“Oh! Alhamdulillah. Suami saya pun sihat. Cuma sekarang dia dah tak run company Dato’ Farhan lagi. Kata dia, jiwa dia tak ada kat situ. Dia lebih senang tumpu pada Ar-Raudhah dengan kerja-kerja dakwah macam sebelum ni,” terang wanita manis bernama Laila Khalisah, terperinci.
Lelaki berkopiah itu mengangguk-angguk. “Hmmm… yalah. Eh, saya balik dululah. Kirim salam pada Ustaz Faqih ya.”
“Insya-Allah. Apapun, terima kasih sebab sudi datang ke butik kami, Ustaz Fadhil. Oh ya… selamat berpuasa. Ramadhan kareem, ustaz.”
Allahuakram. Yalah… selamat berpuasa juga. Saya balik dulu. Assalamualaikum,” ucap Ustaz Fadhil. Lalu membuka langkah, keluar dari tingkat dua butik PINKWEARS, tempat dia diundang untuk mengimamkan solat tarawih dan memberikan tazkirah kepada para pekerja di situ.
Laila Khalisah melepaskan keluhan. Wajahnya yang tadi nampak bersemangat beransur-ansur terserlah keletihan. Jam tangannya dilihat.
Sepuluh empat puluh lima minit malam.
“Baliklah, kak. Dari tadi Nita tengok akak dah letih sangat. Tapi akak yang pura-pura kuat.” Anita, salah seorang pekerja butik PINKWEARS yang masih setia menemani bosnya menegur.
Khalisah tertawa kecil. “Tak ada apalah, Nita. Akak kuat lagi ni ha.” Penumbuknya diangkat ke udara.
“Yalah, kak. Akak tu kena banyak berehat. Kerja, kerja jugak. Kesihatan kena jaga. Ustaz Faqih dengan kembar comel akak tu masih perlukan khidmat akak tau!” Beria-ia Anita mengingatkan bosnya. Prihatin sungguh.
“Eh? Hahaha. Yalah, mak menek. Terima kasih sebab ambik berat pasal akak ni,” ajuk Khalisah. Lucu pula dengan lagak Anita yang tak ubah macam penasihat peribadi tak berbayarnya.
“Haishh! Akak ni kan! Tak baik tau!” Anita mencebir.
“Alalala, ngajuk pulak dia. Sorry, okey? Akak gurau aje.”
“Hmmm… yalah.”
Khalisah geleng kepala. “Cepat benar ngajuk! Macam mana nak kahwin ni nanti?”
Mata Anita membulat. Mendengar perkataan kahwin menguncikan mulutnya.
“Hehehe… merah pipi dia. Apa khabar tunang awak tu?” Khalisah mengusik. Dia tahu Anita tersipu-sipu. Maklumlah, tak lama lagi pekerjanya itu akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang majistret yang merupakan pilihan ibu bapanya.
“Errr… kak, jomlah balik!”

SETELAH dua puluh minit perjalanan, Volkswagen Passat yang dipandu selamat tiba di perkarangan rumah teres dua tingkat tempat tinggalnya. Keluar saja dari kereta, Khalisah yang semakin kerap menguap terus mendapatkan pintu rumah.
Sungguh, dia dah letih. Hanya bantal, tilam dan selimut yang terbayang-bayang dalam kepala sekarang ini!
“Assalamualaikum.” Salam diberikan. Matanya melilau memandang ke sekeliling ruang tamu yang masih terang dengan cahaya lampu.
Senyap.
Khalisah mengerutkan dahi. Nampaknya tak ada sesiapa yang perasankan ketibaannya di rumah ini. Mungkin suami dan khalifah-khalifah comelnya sudah tidur.
Wanita itu mengeluh perlahan. Beg tangan yang digalas dibetulkan, lalu wanita yang nampak semakin keletihan itu berjalan menghampiri anak tangga.
Namun baru saja Khalisah nak memanjat anak tangga, matanya terperasankan pintu di dapur ternganga luas. Khalisah tidak jadi meneruskan niat. Dahinya bertambah-tambah berkerut. Pelik.
Kenapa pintu ni boleh terbukak pulak? Abang Faqih tak perasan ke?
Pelan-pelan, Khalisah memusing arah. Dapur ditujunya. Semakin lama, semakin berdebar. Dari jauh dia dapat melihat lampu di luar belakang rumah bernyala terang… ya Allah, jauhkanlah dari segala yang buruk!
“Ya Allah! Abang! Abang buat apa kat sini???” Khalisah terkejut beruk. Nak gugur jantungnya sebaik tiba di belakang rumah.
Lelaki yang lengkap berjubah putih dan berserban itu tersedak. Hampir saja ais krim jenama Tropicana yang sedang asyik dinikmati terlepas dari pegangan. Terkejut punya pasal.
“Astaghfirullahalazim… Sayang!” Faqih yang mencangkung terus berdiri.
Mata Khalisah membulat. “Apa abang buat ni, bang?”
Faqih meneguk liur. Ais krim yang masih separuh berbaki diperhatikan seketika. “Abang… abang makan ais krim. Nak?” Dihalakan ais krim itu kepada isterinya.
“Errr… tak apa, tak apa. Tapi kenapa abang makan kat belakang ni? Baru balik masjid ke? Fakhir dengan Lily dah tidur? Ha, ni kenapa tak tukar baju dulu? Nanti kena ais krim kotor!” Bertubi-tubi Khalisah ‘menyerang’ suaminya. Mana taknya, dia betul-betul pelik dengan kelakuan Faqih yang sungguh tak terjangka.
Faqih terkebil-kebil. Tersekat kejap mindanya ‘diserang’ bertubi-tubi oleh si isteri.
Nafas dalam dihela. “Ya, abang baru balik dari masjid. Abang pun tak tahu kenapa abang nak sangat makan ais krim kat belakang rumah ni. Hmmm… don’t’worry, abang dah tidurkan khalifah-khalifah comel kita. Abang mintak maaf ya kalau dah buat Laila terkejut.” Faqih lebih tenang menuturkan kata-kata. Ada senyuman nipis kelihatan di sudut bibirnya.
Bercantum kening Khalisah. Aik, kenapa pelik sangat bunyinya? Ya Allah… kenapalah laki aku ni? “Abang! Ais krim abang cair!”
Faqih tersentak. Baru perasan yang ais krim di tangannya sudah menitik sedikit demi sedikit ke tanah. Cepat-cepat dia menyua semula ais krim itu ke mulutnya. Tapak tangan sebelah kiri pula menadah titisan ais krim yang mencair.
“Haihhh…” Khalisah hanya mampu geleng kepala. Tadi dia penat. Tapi entah kenapa lepas menghadap suaminya dengan perangai yang tak terjangka begini rasa terhibur pula. Walau dia sendiri tak pasti kenapa Faqih bersikap pelik.
Akhirnya, Faqih berjaya juga menghabiskan ais krimnya. Setelah membersihkan tangan di paip air yang berada di belakang rumah, jejaka itu menghampiri si isteri yang dari tadi memerhati gelagatnya.
“Sedap?” Tanya Khalisah. Lengannya disilang ke dada.
Faqih mengangguk. “Sedap!”
“Ingat, bang. Esok dah puasa!” Khalisah mengangkat jari telunjuk, sebagai amaranlah kononnya.
“Kenapa pulak dengan puasa?” Kening Faqih bercantum.
“Yalah. Abang makan ais krim kat luar ni, tengah-tengah malam lagi. Laila takut abang demam ke atau selesema ke time puasa nanti.”
Faqih tetap relaks. “InsyaAllah, sayang. Tak ada apa-apalah.”
“Haih… macam-macamlah abang ni! Pelik Laila dibuatnya!”
“Pelik? Abang makan ais krim pelik?”
“Bukan pelik. Tapi…”
“Comel? Abang nampak comel bila makan ais krim kan?” Pintas Faqih.
Mata Khalisah yang bulat tertembung dengan mata suaminya. Di bibir kanan lelaki itu jelas ada senyuman nakal lagi mengusik tersungging.
“Ishhh! Perasan!” Khalisah menampar bahu Faqih. Haish, rasa seram sejuk pula melihat senyuman lelaki ini. Walau tak dinafikan… memang Faqih nampak sungguh comel ketika menikmati ais krim tadi. Gara-gara nak menikmati kecomelan itulah dia sanggup tunggu sehingga suaminya habis makan!
Amboi, bukan main lagi kau ye, Khalisah!
“Haaa.. tu, kenapa senyum-senyum tu? Betullah abang cakap kan?” Faqih makin galak mengusik. Telapak tangannya ditekap ke dinding. Wajah isterinya diamati dengan pandangan yang entah bermaksud apa.
Khalisah kaget. Dia buntu. Dia tahu dia sudah terperangkap. Di belakangnya sekarang adalah dinding dan dia tidak boleh berundur atau berbuat apa-apa! Mahu tak mahu, wajah Faqih hanya tiga inci daripada wajahnya ketika ini!
Ahhhh… parah!
“Jom…” Bisik Faqih.
Khalisah menelan liur. “Jom… jom apa?”
“Jomlah…” Wajah Faqih makin mendekat.
Khalisah memejam rapat matanya. Dia sudah rela dengan apa yang bakal berlaku!
“Jom naik atas. Kita tadarus sama-sama. Lepastu kita tidur. Abang tahu Laila letih. Abang pun dah letih.” Faqih menjauhkan kembali wajahnya. Seraya, telapak tangan si isteri diraih lalu digenggam kemas.
Khalisah melepaskan keluhan lega.
Fuhhh… bikin saspen saja!

“ABANG… bangunlah. Dah pukul sembilan ni.” Sayup-sayup suara itu masuk ke telinga. Serentak itu dapat dirasakan ada goncangan lembut pada bahunya.
Pelan-pelan Faqih membuka mata yang terasa sangat berat. Pandangannya samar-samar menampakkan wajah si isteri yang duduk di sisi. “Laila…”
“Bangunlah, bang. Abang kata abang kena pergi Ar-Raudhah hari ni.” Khalisah memujuk lembut. Wajah suaminya yang nampak keletihan benar diamati.
Faqih mengeluh panjang. Dahinya berkerut. Dengan lemah, selimut yang menutupi pinggangnya ditarik hingga ke paras dada.
“Abang… abang okey tak ni?” Khalisah gusar. Telapak tangannya ditekapkan ke dahi, lalu ke leher dan lengan Faqih. Terasa lain macam pula keadaan suaminya.
Khalisah tidak sedap hati. “Abang… abang tak sihat ke? Panas badan abang ni.”
“Hurmmm… abang okey.” Serak-serak suara Faqih membalas. Mata lelaki itu terpejam kembali.
“Kalau tak larat, abang rehatlah ya.”
“Tak… abang okey. Pukul sembilan setengah karang kejut abang eh? Abang nak tidur kejap je.” Faqih merengus keletihan. Selimutnya ditarik lagi tinggi hingga ke paras leher.
Khalisah meraut wajah bimbang. Tak sampai hati melihat suaminya berkeadaan sebegini semenjak bersahur pagi tadi. Namun, dia tak mampu berkata apa-apa memandangkan Faqih tetap berdegil.
Keluhan panjang dilepaskan. Khalisah memerhati seketika wajah suaminya sebelum punggungnya diangkat dari birai katil.
Namun, langkahnya tersekat. Ada genggaman erat pada tapak tangannya.
“Ahhh!” Khalisah terjerit, serentak itu tubuhnya tertarik ke belakang hingga dia terduduk semula ke atas katil. “Abang!” Nafasnya berderu rancak.
Faqih yang entah bila duduk, tersenyum ke bibir kiri. “Abang nak mintak sikit…” Bisiknya ke telinga si isteri.
Khalisah meneguk liur. Belakang badannya yang tersandar pada tubuh Faqih membuatkannya mati akal. “Errr… hah? Mintak… mintak apa?”
“Urmmmm… Janji, bagi eh?” Faqih tonjol muka merayu ala-ala comel.
Khalisah seram-sejuk. Kenapa laki aku ni? Tadi punyalah tak bermaya! Bagaimana dalam sekelip mata boleh jadi ‘lain macam’ ni? “Abang… kan tengah puasa ni.”
“Yalah. Memang tengah puasa. Kenapa?”
“Abang… nanti… kena kafarah…”
Faqih ketawa tiba-tiba. “Abang cuma nak mintak Laila belikan ais krim untuk berbuka nanti. Dah kenapa pulak kena kafarah?” Sindir lelaki itu bersama senyuman sinis.
Khalisah terkedu. Wajahnya diserbu darah merah. Belikan ais krim?
Arghhh… malunya! Mana nak letak muka ni???
Faqih masih meleretkan tawa sinisnya. Hidung isterinya dicuit. “Amboi, isteri abang ni. Bulan puasa pun nakal eaa? Hihi… banyak-banyak berzikir, sayang. Bulan puasa ni bulan kita tundukkan nafsu. Ingat pesan abang tu!”
Khalisah masih tunduk kaku. Tidak sanggup untuk menghadap wajah suaminya. Kan dah termalu! Itulah, lain kali otak tu jangan cepat melencong ke tempat lain!
Rengekan halus dari arah katil bayi bagai menyelamatkan keadaan. Tergesa-gesa Khalisah bangun dari birai katil, mendapatkan khalifah-khalfah kecilnya yang meminta perhatian. Akhirnya, dapat juga dia lari dari malu yang teramat ini!
Faqih masih bersisa dengan tawa kecil. Kepalanya digeleng perlahan.
Hai… Laila, Laila…
Setelah beristighfar seketika, lelaki itu merebahkan tubuhnya yang kembali dirasakan tidak bermaya.

SOSOK tubuh itu makin mendekat. Tiba saja di depan pintu cermin bangunan Ar-Raudhah Islamic Solution, lelaki itu tidak teragak-agak masuk ke dalam.
“Assalamualaikum, Faqih!”
“Waalaikumussalam, Taufiq.” Faqih yang sedang leka bermain-main dengan Muhammad Fakhir Ajwad dan Lily Khayla menyambut huluran salam tersebut. Segera dia mengangkat punggung dari sofa yang diduduki.
“Lama kau tunggu, Faqih? Eh, comel-comel kau pun ada sekali ya? Apa khabar, sayang? Ingat uncle lagi tak?” Taufiq mencangkung, perhatiannya terus beralih pada si kembar Fakhir dan Lily yang duduk di atas sofa. Terkekek-kekek si kembar itu ketawa sebaik Taufiq menggeletek pipi tembam mereka.
Faqih tersenyum nipis. “Aku ada hal nak bincang dengan Ustaz Syukri lepas ni. Kau tunggu boleh? Kejap aje. Lepastu kita pergi.”
Taufiq yang leka melayan telatah Fakhir dan Lily menoleh sedikit. “Tak kisah. Kau settlekanlah urusan kau dulu.”
Faqih mengangguk. Keluhan panjang dilepaskan.
“Kejap je masa berlalu, Faqih. Dah besar pun anak kau. Eh, umur diorang dah setahun lebih kan?” Getus Taufiq. Perhatiannya masih tak lepas tertumpu pada anak kembar sahabatnya itu. Tak tahulah kenapa… rasa tersentuh sangat hatinya. Rasa nak jadi ayah cepat-cepat!
Namun apakan daya… jodoh belum sampai lagi. Redha sajalah.
Senyap. Tiada respon.
Taufiq mengerutkan dahi. Kepalanya menoleh lagi ke arah Faqih. Kelihatan lelaki itu sedang memicit-micit dahi dengan wajah yang berkerut seribu. “Faqih, kau okey?”
Faqih tidak mampu menjawab. Dahinya dipicit-picit. Tiba-tiba saja kepalanya rasa berpusing. Tekaknya juga rasa semacam. Terpejam-pejam mata lelaki itu menahan perit.
“Faqih? Okey tak ni?” Taufiq berdiri semula.
Tanpa sempat menjawab, Faqih tiba-tiba membuka langkah tergesa-gesa ke suatu arah. Tidak peduli lagi keadaan sekeliling. Keperitan yang dirasakan sudah tak tertanggung lagi.

KEADAANNYA makin teruk. Matanya pun sudah berair kepedihan. Ya Allah… apalah yang sudah jadi ni?
Faqih terus memuntahkan isi perutnya. Tertunduk-tunduk badannya menghadap mangkuk sinki. Perit… sungguh perit. Kenapalah ini, ya Allah?
Daun pintu tandas terkuak dari luar. Seorang lelaki berusia awal tiga puluhan masuk. Namun langkahnya termati seketika sebaik menyedari keadaan di situ.
“Syeikh, enta okey?”
Bahunya terasa dipegang. Faqih yang baru selesai memuntahkan isi perutnya menoleh lemah. “Ustaz Imran…”
“Enta tak sihat, Ustaz Faqih? Ana nampak enta muntah teruk tadi.” Lelaki bergelar Ustaz Imran itu cuba menunjukkan keprihatinan.
Faqih menggeleng. Tubuhnya yang membongkok ditegakkan pelan-pelan. Telapak tangannya pula masih bertahan pada badan sinki. “Ana pun tak tahulah, syeikh. Salah makan agaknya.” Serta-merta fikirannya teringatkan hal malam tadi…
Mungkin benarlah kata isterinya. Tak sepatutnya dia makan ais krim tengah-tengah malam, di luar rumah lagi. Kan dah sakit. Tepat seperti jangkaan!
Namun apa kena-mengena pula dengan hal semasa bersahur tadi? Kononnya mahu menolong Khalisah menyiapkan makanan untuk bersahur. Namun, tak tahulah kenapa… makin lama duduk di dapur, dia jadi tak tahan dengan segala bau yang masuk ke hidung.
Namun nasib baiklah isterinya itu dah boleh memasak. Akhirnya, Khalisah memasak seorang. Manakala dia, terpaksa berehat di depan. Langsung tak boleh masuk dapur.
Apa kenalah dengan aku ni???
“Tak apalah. Ni yang dikatakan dugaan bulan ramadhan. Bawak bersabar, syeikh.” Ustaz Imran pun tak tahu nak ulas macam mana. Hanya itulah nasihat yang termampu diberikan. Bahu Faqih ditepuk-tepuknya.
Faqih hanya mengangguk. Senyuman tawarnya kelihatan menipis di sudut bibir. Sungguhlah dia merasakan badannya terlalu lemah ketika ini. Allahurabbi…
“Ustaz Syukri dah tunggu enta kat luar,” beritahu Ustaz Imran kemudian.

SATU per satu hidangan dibawa ke ruang makan rumah banglo keluarga Dato’ Farhan. Sambil-sambil itu, si mentua dan si menantu yang bersama-sama menyiapkan hidangan berbuka rancak berborak. Begitu terserlah kemesraan antara mereka.
“Eh, Faqih mana, Lisa? Dari tadi tak nampak-nampak dia.” Datin Salma yang sedang memotong timun, tiba-tiba teragak bertanyakan hal anak lelakinya.
“Abang ada kat dalam bilik. Dia tak berapa sihatlah, umi. Tadi lepas balik dari Ar-Raudhah, dia ikut Taufiq cari superbike, jadi penasihat kawan dia tu. Beria-ia Taufiq tu nak beraya dengan superbike,” terang Khalisah. Jag yang berisi jus oren dituangnya ke dalam setiap gelas yang bersusun di atas dulang.
“Tak berapa sihat? Demam ke?”
“Yalah, umi. Lisa rasa abang demam. Sampai-sampai aje tadi dia terus tidur, tak sedap badan kata dia. Lisa suruh pergi klinik, dia tak nak.” Khalisah bernada bimbang. Jag kaca diletakkan semula setelah gelas terakhir diisikan dengan jus oren.
Datin Salma ikut berwajah gusar. “Ya Allah… si Faqih ni pun. Hummmm…” Panjang keluhan wanita berusia lima puluhan itu.
“Insya-Allah, abang tak apa-apalah, umi.” Khalisah menyedapkan hati. Walau sedikit sebanyak, dia pun risau dengan keadaan kesihatan Faqih yang jadi serba tak kena sebaik ramadhan tiba.
Mungkin, ini yang dinamakan dugaan Ramadhan…
“Apa khabarlah agaknya mama, papa dengan abang Lisa kat sana kan? Lisa ada contact?” Datin Salma tiba-tiba teringatkan perihal keluarga besannya.
Khalisah tersenyum. “Alhamdulillah. Mama, papa dengan abang semua sihat, umi. Lisa baru call tadi.” Serta-merta wajah Tan Sri Kamarul, Puan Sri Lydia dan abangnya, Khalis terbayang di minda. Walaupun baru tiga hari mereka meninggalkan bumi Malaysia untuk menyambut ramadhan dan mengerjakan umrah di Mekah, kerinduan sudah pun terasa.
Kesayuan menjengah hatinya. Alah… mama, papa dan Abang Khalis cuma pergi beribadah. Tak perlu nak sedih sangat. Doakan sajalah ibadah mereka diterima Allah. Insya-Allah, pada hari raya kedua nanti pulanglah mereka.
Khalisah memujuk hati. Tipulah kalau sedikit pun hatinya tak sedih kerana tidak dapat menyambut ramadhan bersama-sama keluarganya ketika ini…
Mujur, keluarga mertuanya ada. Tidaklah rasa sedih sangat. Sekurang-kurangnya dia masih ada Datin Salma, tempat untuknya mengadu dan bercerita. Syukur, layanan Datin Salma dan abah mertuanya, Dato’ Farhan kepadanya dirasakan sudah terlalu baik selama ini.
“Wah, banyaknya. Ni mesti sedap-sedap!” Dato’ Farhan tiba-tiba muncul dari tingkat atas, lengkap berbaju Melayu dan berkain pelikat. Setiap satu hidangan di atas meja diperhatinya.
“Mestilah, bang. Kan menantu awak yang masak ni,” sahut Datin Salma.
“Eh, Lisa yang masak ya? Awak tak masak ke?”
“Sal tolong sikit-sikit je. Lisa ni yang beria-ia nak masak, special untuk kita kata dia.” Datin Salma memandang menantunya.
Khalisah hanya tersengih. Dalam masa yang sama, dadanya cukup berdebar. Berdebar memikirkan masakannya yang entah apalah rasa. Maklumlah, dia kan baru nak ‘up’ dalam masak-memasak ni. Mujurlah Faqih banyak memberi tunjuk ajar kepadanya. Daripada dulu, tak tahu apa-apa sehinggalah dah boleh diharapkan sedikit sekarang ini!
“Ada sepuluh minit lagi nak berbuka ni. Mana Faqih dengan cucu-cucu abah, Lisa?” Dato’ Farhan yang sudah melabuhkan punggung di kerusi, baru perasan ada ‘sesuatu’ yang kurang.
“Ada kat atas, abah. Lisa nak panggilkanlah ni.” Khalisah yang risau akan perihal suaminya membuka langkah.
“Laila nak pergi mana? Kan dah nak berbuka ni.” Kemunculan Faqih di anak tangga bersama-sama Fakhir dan Lily di dukungan lelaki itu membantutkan niat Khalisah.
Khalisah tercengang. Faqih yang segak berbaju Melayu dan berkain pelikat, nampak terurus dan lebih bermaya daripada keadaan lelaki itu sebelum ini. “Errr… tak adalah. Ingatkan nak panggil abang tadi. Rupa-rupanya abang dah turun dulu.”
“Abang turun lambat sangat eh? Tadi abang mandi. Kebetulan khalifah-khalifah comel kita ni dah bangun, abang mandilah sekali dengan comel-comel kita ni,” ujar Faqih. Sesekali dia mengucup pipi Fakhir dan Lily yang terserlah kesan disapu bedak. Rambut mereka juga tersisir rapi, jelas baru lepas mandi.
“Oh, dah mandi rupanya anak mama. Meh sini, mama nak kiss sikit.” Khalisah mengucup pipi Fakhir. Lalu Lily Khayla pula diambil dari dukungan si suami. “Wanginya anak-anak mama. Abi mandikan dia ya?” Wajah anak perempuannya itu pula menjadi sasaran kucupannya yang bertubi-tubi. Geram dengan kecomelan khalifah kecilnya itu.
“Tapi rugi jugak tadi…”
Khalisah berhenti mengucup anaknya. Suaminya dipandang. “Apa yang rugi, bang?”
“Rugilah… sebab tadi, khalifah-khalifah kecil kita aje yang temankan abang berendam dalam tub. Kalau mama ada sekali kan best.” Faqih mengenyit mata kepada isterinya. Beserta senyuman… nakal.
“Abang!” Bulat mata Khalisah. Naik merah mukanya tak pasal-pasal dengan usikan nakal lelaki itu. Haishhh… seram-sejuk rasanya dengan ‘fiil’ suaminya ini!
“A… abi!” Suara comel Fakhir kedengaran.
“Ya, sayang. Dia panggil abi ya?” Faqih mengusap-usap kepala Fakhir. Terserlah segala kasihnya tumpah buat zuriatnya itu.
Khalisah geleng kepala. Dadanya yang berdebar gara-gara usikan itu cuba ditenangkan. “Hurmmm… jomlah. Dah nak berbuka ni.” Tanpa menunggu lagi, wanita itu terus berlalu ke ruang makan semula bersama-sama Lily Khayla.
Faqih tertawa kecil. Langkah si isteri kemudian diekori.
“Ha, Faqih! Turun pun kamu. Macam mana badan? Dah okey?” Terjah Datin Salma sebaik mereka tiba di ruang makan.
“Alhamdulillah, umi. Lepas mandi rasa okey sikit,” balas Faqih. Fakhir diserahkan kepada Dato’ Farhan yang awal-awal lagi melapangkan lengan, meminta cucunya.
“Jaga kesihatan kamu tu, Faqih. Dahlah bulan puasa. Kamu tu pulak bulan puasa lagi sibuk ke sana ke mari umi tengok,” leter Datin Salma.
“Insya-Allah, umi. Alah, Faqih ke sana ke mari tu bukannya buat kerja sia-sia, umi. Faqih penuhi jemputan orang, sebarkan agama Allah,” hujah Faqih, mempertahankan dirinya.
Datin Salma tidak mampu membalas. Nak buat macam mana… dah anaknya itu seorang ustaz, seorang daie dan seorang pendakwah, memang itulah rutinnya.
Kesemua keluarga Dato’ Farhan sudah berkumpul di meja makan. Hanya Fahim, anak sulung Dato’ Farhan dan keluarganya saja yang tidak dapat menyertai acara berbuka puasa di situ kerana menghadiri jemputan berbuka di tempat lain.
“Errr… Laila,” panggil Faqih.
“Ya, bang?” Sahut Khalisah yang duduk di sebelah suaminya.
“Laila ada beli tak apa yang abang mintak pagi tadi?”
Khalisah terdiam seketika. Fikirannya cuba menyelongkar kembali apa yang dimaksudkan oleh suaminya. Puas memikir… akhirnya!
Ais krim! Ais krim, Lisa! Suami kau mintak ais krim! Macam mana kau boleh lupa, Laila Khalisah?
Ya Allah…
“Laila?” Panggil Faqih.
Khalisah terkedu. Wajah suaminya yang penuh dengan pengharapan itu dipandang dengan rasa bersalah. “Abang… Laila… mintak maaf. Laila… lupa…”
Wajah Faqih berubah. Sukar hendak dibaca. Tiada senyum, tidak juga masam.
Khalisah serba-salah. Tidak pasti apa yang ada di dalam fikiran suaminya. Marahkah dia? Ya Allah… apa yang kau dah buat, Lisa? Benda simple tu pun kau tak ingat?
“Hmmm… tak apalah. Abang pergi beli kejap.” Kerusi yang diduduki Faqih tiba-tiba terseret ke belakang. Lelaki itu bangun.
“Eh, Faqih! Kamu nak pergi mana?” Datin Salma bertanya pantas.
“Faqih nak beli ais krim kejap.” Faqih lantas bergerak, meninggalkan meja makan.
“Beli ais krim? Eh… dah nak berbuka ni! Kamu nak beli ais krim kat mana?” Dato’ Farhan pula bertanya kepelikan.
“Faqih keluar kejap. Assalamualaikum.” Tanpa bertangguh lagi, Faqih memulakan langkah ke luar rumah, pergi menghidupkan enjin superbike Ducati miliknya.
Lalu dengan  hanya ‘sut’ baju Melayu dan kain pelikat yang tak sempat ditukar, Faqih menunggang superbike Ducati Evo miliknya, meninggalkan kawasan banglo.
“Astaghfirullahalazim… apa kena dengan Faqih tu, bang? Kenapa beria-ia sangat nak ais krim sampai macam tu sekali? Ya Allah…” Datin Salma mengurut dada. Tidak percaya dengan apa yang anak lelakinya telah lakukan.
Dato’ Farhan yang tercengang hanya mampu terkebil-kebil.
Sementara Khalisah, sudah tepuk dahi. Ya Allah, apa yang kau dah buat ni, Lisa???
Hairan. Kenapa Faqih beria-ia hendakkan ais krim? Setahunya lelaki itu bukanlah seorang peminat ais krim, biasa-biasa saja. Namun, kenapa suaminya tiba-tiba berkelakuan sebegini? Apa yang dah jadi?
Allahurabbi…
Suara azan berkumandang menyentakkan lamunan mereka yang masih tinggal di meja makan. Dengan perasaan yang masih terkejut dan bercampur-baur, mereka berbuka.

MATA Khalisah memerhati susuk tubuh yang duduk di birai katil, membelakanginya itu. Sesekali kelihatan susuk tubuh itu bergerak-gerak ke belakang dan ke depan, seakan-akan menghayati apa yang sedang dibaca.
Khalisah yang duduk di kepala katil mengeluh pendek, lalu menyilang tangan ke dada. Semasa solat Isyak dan tarawih di Masjid As-Salam tadi, dia hanya pergi bersama umi, abah dan khalifah-khaliffah kecilnya saja memandangkan Faqih diundang ke masjid lain untuk menjadi imam dan memberi tazkirah. Sehingga masing-masing sudah pulang kini… mereka masih belum bertegur sapa.
Suaminya masih marahkah? Gara-gara dia lupa belikan ais krim?
Ya Allah… apa yang sedang berlaku ini?
Serba-salah Khalisah dibuatnya. Dalam rasa kesian kerana suaminya itu terpaksa membeli ais krim semasa waktu berbuka hampir tiba, dia juga pelik dengan sikap suaminya. Pelik… terlalu pelik!
Sadaqallahul ‘azim…” Lafaz itu meluncur di bibir. Selesai aktiviti wajibnya.
Faqih menutup mushaf Al-Quran yang digunakan, lalu dikucup penuh hormat lagi kasih terhadap kata-kata Allah itu.
Alhamdulillah. Satu juzuk selesai. Jika tiada halangan, insya-Allah kalam Tuhan ini akan dikhatamkan sebaik tiba penghujung ramadhan.
“Abang,” panggil suara itu.
Faqih yang sempat mengelamun sedikit tersentak. Pelan-pelan dia menoleh ke sebelah kiri. “Laila?”
Khalisah tunduk. Dengan teragak-agak, dia berjalan menghampiri suaminya. “Laila… Laila minta maaf, abang.” Tapak tangan suaminya disambar. Kucupan yang penuh dengan rasa bersalah singgah di tapak tangan lelaki itu.
“Masya-Allah… Laila, kenapa ni?” Faqih memegang bahu Khalisah yang melutut di depannya. Lantas Al-Quran di tangan kanannya diletakkan di atas meja bersebelahan kepala katil.
“Laila tahu abang marahkan Laila. Tapi jangan buat Laila macam ni, bang. Laila minta maaf sangat-sangat. Laila tahu Laila bersalah dengan abang. Maafkan Laila, bang,” rayu Khalisah, bersungguh-sungguh. Di hujung ayat, kedengaran wanita itu teresak-esak.
Faqih terkebil-kebil. “Abang marah Laila?”
Khalisah yang semakin kuat teresak-esak, masih mengucup tangan suaminya. “Laila tahu… abang marah sebab Laila lupa beli ais krim.”
Faqih terlongo seketika. Lelaki itu tercengang sesaat dua sebelum tawanya tiba-tiba meletus. “Lahhh… pasal ais krim ke?” Tapak tangannya yang masih dikucup oleh Khalisah ditarik, lalu wajah isterinya dipegang. Pelan-pelan wajah yang sudah basah dengan air mata itu diangkat hingga bertembung dengan pandangannya. “Abang tak marah pun. Kenapa Laila rasa abang marah?”
“Tak marah? Habis… habis kenapa abang tak cakap dengan Laila?”
“Eh, kan abang tengah cakap dengan Laila sekarang!”
“Tak… tadi abang tak cakap dengan Laila. Abang tadarus sorang-sorang, tak ajak Laila pun. Abang marahkan Laila kan?” Tersekat-sekat suara Khalisah. Tak ubah macam anak kecil.
Faqih tertawa lagi. “Sayang…” Lengan Khalisah dipegang, lalu ditarik hingga wanita itu bangun dan duduk di sebelahnya. “Tadi bukannya abang tak nak ajak Laila tadarus. Abang ingat Laila yang tak nak tadarus. Sebab masa abang dah pegang Al-Quran, Laila leka lagi main handphone. Lepastu bila abang dah start baca pun Laila buat tak tahu aje, so abang sangka Laila memang tak nak bacalah. Bila masa pulak abang marah sebab ais krim ni?”
Khalisah terkebil-kebil. “Tapi… tapi kenapa abang tak nak cakap dengan Laila?”
“Bila abang tak nak cakap dengan Laila?”
“Tadi! Lepas balik tarawih, abang tak tegur Laila pun!”
Faqih geleng kepala. “Ya Allah… Laila, lepas balik tarawih tadi abang terus masuk bilik air. Masa tu Laila belum balik lagi. Bila abang keluar dari bilik air, abang tengok Laila tengah main handphone atas katil, langsung tak pandang abang. Masa abang dah baca Al-Quran pun, Laila buat tak tahu aje. Ha, siapa yang tak nak cakap dengan siapa ni?”
Khalisah tercengang. Cerita suaminya membuatkan mindanya terhenti seketika.
Macam itukah ceritanya? Begitukah apa yang sedang berlaku? Apakah dia yang sebenarnya telah tersalah sangka?
Ceh! Tak guna kau, Khalisah! Buat malu aje!
“Jadi… abang tak marah Lisa sebab ais krimlah ya?” Khalisah yang sudah merasakan wajahnya panas meminta kepastian.
Faqih geleng. Senyuman sinisnya kelihatan. “Abang tak marahlah, yang. Langsung tak marah. Apatah lagi pasal ais krim… Haish! Merepek aje sayang ni!”
Khalisah hilang kata-kata. Okey, dia malu lagi. Arghhh, mana nak sorok muka?
Faqih geli hati memandang isterinya. Ada sisa ketawa yang masih kedengaran.
Khalisah makin kaku. Dia yang sudah termalu tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Namun, seketika kemudian dapat dirasakan jari-jemari suaminya menyeka lembut sisa air mata di pipinya.

SENYAP-SENYAP dia memerhati gerak-geri lelaki itu. Dengan bantal di atas muka, dia mungkin disangkakan sedang tidur oleh lelaki yang sedang khusyuk beribadah itu.
Jam menunjukkan angka tiga setengah pagi. Sepertinya tidak menjadi masalah buat lelaki itu meneruskan ibadahnya tatkala kebanyakan manusia lain mungkin sedang enak diulit mimpi. Malah, kemanisan menyerahkan jiwa kepada Allah terasa sangat kuat ketika ini.
Dengan hanya diterangi cahaya lampu dari meja kepala katil, Khalisah terus memerhati perlakuan Faqih. Setelah menunaikan solat-solat sunat, suaminya itu melagukan pula ayat-ayat Tuhan. Langsung tidak perasan kelakuannya sedang diperhatikan oleh si isteri.
Sedang asyik melafazkan kalimah-Nya, tiba di suatu ayat, bacaan lelaki itu tersekat. Seketika kemudian, ada esakan kedengaran.
Kesayuan menjengah hati. Khalisah tahu, Faqih sedang menangis. Cuma dia tidak pasti kenapa suaminya begitu.
Apa yang telah menyentuh hatimu, abang?
Samar-samar, dia melihat Faqih menekup wajah dengan bahu yang terinjut-injut. Agak lama juga lelaki itu beresakan sebelum bacaannya disambung semula. Tersekat-sekat suaranya.
Khalisah memejam rapat matanya. Tanpa sedar, kelopak matanya juga berair. Air mata itu lalu menitik ke bantal tempat kepalanya dialaskan.

“SYEIKH, ana baru dapat call dari pengurusan Ustaz Azhar Idris tadi. Katanya Ustaz Azhar Idris setuju dengan tarikh tu,” tegur Ustaz Syukri.
Faqih yang baru selesai mengendalikan kelas Tafsir di salah sebuah bilik pengajian tidak jadi meneruskan langkah. “Alhamdulillah. Maknanya bolehlah kita teruskan program Ihya’ Ramadhan pada tarikh tu nanti.”
“Insya-Allah. Kalau macam tu, kita kena mulakan persiapan dari sekarang, syeikh.”
“Ya. Kita kena mulakan persiapan dari sekarang. Tak apalah, nanti kita buat mesyuarat dengan pihak pengurusan Ar-Raudhah yang lain,” usul Faqih.
Ustaz Syukri mengangguk-angguk. “Yalah kalau macam tu. Hmmm… eh, tahniah, syeikh, atas kekuatan Jerman tibai Brazil tujuh-satu. Hahaha.”
Faqih ikut ketawa. Hai, dah masuk hal bola pula. Nak buat macam mana, tahun ini tahun pertarungan bola sepak piala dunia. Secara tak langsung, dia juga ‘terjebak’ untuk menyokong pasukan yang menjadi pilihan.
Yang pasti… Germany dulu, kini dan selamanya!
“Haha. Neymar tak ada kan…” Sinis Faqih.
“Tulah. Frust Ustaz Imran dibuatnya. Dahlah Spain pilihan dia hari tu pun teruk jugak kena belasah.”
Faqih yang masih bersisa tawa geleng kepala. Kopiah putih di kepalanya dibetul-betulkan. “Dah tu enta belah mana, syeikh?”
“Ana? Ana neutral, syeikh. Support mana yang menang. Hahaha…” Ustaz Syukri ketawa lebih besar.
Faqih tersenyum lebar. Bahu Ustaz Syukri ditepuk-tepuknya. “Baguslah, syeikh. Siapa menang, siapa kalah pun tak rasa apa-apa. Yang penting, jangan sampai lagha.”
Ustaz Syukri mengangguk. Lafaz istighfar di bibirnya kedengaran. Sedar yang dia sudah terlalu banyak mensia-siakan waktu. Terutama di bulan Ramadhan ini, sepatutnya setiap detik diisi dengan mengingati Allah Taala.
“Eh, ana gerak dululah, Ustaz Syukri. Ada undangan kuliah kat Damansara lepas ni.” Faqih lekas meminta diri, sebaik menyedari waktu sudah berlalu begitu pantas.

MUSHAF Al-Quran ditutup, lalu dikucup. Ketenangan yang memenuhi ruang hati tidak dapat disangkal lagi. Nikmat rasanya.
“Alhamdulillah. Dah sepuluh juzuk. Dapatlah kita khatamkan sebelum habis ramadhan ni kan, bang?” Getus Khalisah.
Faqih yang duduk bertentangan dengan isterinya di atas sejadah tersenyum. “Insya-Allah, Laila. Tapi bukan khatam yang kita kejar. Apa yang penting, kita faham apa yang Allah sampaikan. Selepas itu, beramal dengan kefahaman.”
“Yalah kan. Tapi tak apa, Laila ada ustaz yang boleh tolong fahamkan Laila. Heee…” Sengih Khalisah sambil tonjol muka manja ala-ala comel.
“Semuanya dari Allah, sayang.”
“Ya, bang. Semua dari Allah.” Khalisah mengiakan. Seperti biasa, Faqih tidak suka dipuji atau dianggap hebat. Matanya yang tepat merenung wajah suaminya seketika kemudian terperasankan sesuatu…
Ada kesan hitam di bawah kelopak mata lelaki itu. Kesan hitam yang mungkin terhasil kerana kurang tidur atau… banyak mengalirkan air mata.
“Kejapnya masa berlalu,” getus Faqih. Tidak perasan yang si isteri asyik merenung wajahnya, memandangkan dia leka merenung mushaf Al-Quran di atas rehal.
“Errr… abang, kalau Laila tanya sikit boleh?”
Baru Faqih mengangkat muka. “Ya, Laila?”
Khalisah menghela nafas panjang. “Urmmm… errr… abang tak penat ke dengan apa yang abang buat selama ni?”
“Penat? Maksud Laila?”
Khalisah mengetap bibir. Dia kebingungan bagaimana mahu menyusun ayat. Takut disalah erti oleh suaminya. “Laila sebenarnya kesian tengok abang. Abang selalu sibuk pergi merata tempat, buat kerja dakwah. Kadang-kadang sampai tak ada masa untuk fikirkan keadaan diri abang sendiri. Laila tahu, abang penat. Laila…”
“Laila,” pintas Faqih. Telapak tangannya mengusap-usap pipi Khalisah. Renungannya tepat ke anak mata wanita itu. “Jangan risaukan abang, Laila. Ini jalan yang abang pilih dan abang redha. Lagipun apalah sangat yang abang dah lakukan untuk ummah berbanding pejuang-pejuang Islam yang lain. Abang tak nak balik pada Allah nanti dalam keadaan abang tak menyumbang sesuatu untuk agama dan ummah.”
Khalisah terkedu. Renungan jernih anak mata suaminya yang meminta agar difahami isi hati lelaki itu mengelukan lidahnya.
“Jangan risau, sayang. Abang percaya selagi kita ikhlas buat kerja kerana Allah, Allah tak akan sia-siakan kita. Allah akan jaga kita selalu. Allah, sayang. Segala-galanya Allah.” Faqih menekan suaranya dalam kesayuan nada.
Khalisah menunduk. Dapat dirasakan kolam matanya pecah. Mungkin akan berderai sebentar lagi…
“Sayang, apa yang abang buat ni tak seberapa. Abang tak mampu nak menyumbang dengan mengangkat senjata macam pejuang-pejuang Palestin. Perjuangan mereka, antara menang atau syahid. Tapi mereka tenang, mereka tak risau, tak gentar… sebab mereka yakin pada janji-janji Allah. Jangan risaukan abang ya, sayang?” Faqih melanjutkan bicaranya, cuba memberikan keyakinan kepada isterinya.
Khalisah yang semakin terkedu, mengangguk. “Laila akan sentiasa doakan abang.”
“Terima kasih, sayang,” ucap Faqih. Tidak terkata keharuan yang dirasakan apabila isterinya merelakan tugasnya sebagai seorang daie.
“Hmmm… kesian orang Palestin kan, abang. Bulan-bulan puasa nilah Yahudi laknatullah tu nak serang.” Khalisah mengesat air matanya daripada mengalir. Fikirannya tiba-tiba terkenangkan berita yang amat meruntun hiba itu.
“Ya, sayang. Tapi, bagi abang Yahudi ni tak nak belajar daripada sejarah. Bulan ramadhan ni adalah masa jiwa-jiwa mukmin jadi lebih kuat. Syahid memang tujuan. Abang kagum dengan Briged Izzuddin Al-Qassam. Moga-moga Allah permudahkan perjuangan mereka.” Faqih memberi respon. Seketika kemudian, ada senyuman kecil di sudut bibirnya.
Khalisah mengangguk lagi. Akhirnya, air mata yang hampir mengalir berjaya ditahan. “Kita kat sini sibuk dengan bola, bola dan benda lagha. Orang kat Palestin setiap detik mereka cuma antara hidup dengan syahid. ”
“Hmmm…” Faqih mengangguk. Seketika kemudian, senyuman lelaki itu melebar kembali. “Jerman juara FIFA kali ni.”
Khalisah angkat kening. Seketika kemudian, dia mencebir. “Tak peduli. Spain jugak!”
“Spain? Hahaha. Awal-awal lagi dah out macam mana, sayang?” Ejek Faqih.
“Suka hatilah!”
Faqih geleng kepala. Seketika kemudian, ilai tawa pasangan suami isteri itu bergema di dalam kamar tidur mereka. Sekejap saja, keadaan sudah berubah ceria.
“Esok Ustaz Azhar Idris datang meriahkan program Ihya’ Ramadhan kat Ar-Raudhah. Lepas balik dari butik, Laila datanglah ya bawak khalifah-khalifah kecil kita.” Faqih mengingatkan isterinya. Sekilas, dia mengerling ke arah katilnya di mana zuriat kembarnya, Fakhir dan Lily sedang tidur. Nyenyak.
“Alah… tak jumpa Ustaz Azhar Idris pun tak apa. Sebab Laila dengan khalifah-khalifah kecil kita dah ada Ustaz Muhammad Faqih!” Balas Khalisah sebelum tubuhnya  tiba-tiba dicempung oleh Faqih. Terjerit-jerit wanita itu dibuatnya.
Rengekan khalifah-khalifah kecil mereka yang mungkin ‘terganggu’ dengan gurau senda suami isteri itu kedengaran tidak lama kemudian.

KEHADIRAN Ustaz Azhar Idris berjaya memeriahkan program Ihya’ Ramadhan anjuran Ar-Raudhah Islamic Solution pada selepas asar. Berpusu-pusu orang menghadirkan diri di dataran bersebelahan bangunan Ar-Raudhah. Makin lama, makin ramai.
Seperti yang telah dirancang, Khalisah menghadirkan juga diri, membawa khalifah-khalifah kecilnya untuk mendengar kuliah Ustaz Azhar Idris sekali menyertai acara iftar yang dianjurkan.
Come, sayang.” Khalisah yang baru keluar dari perut kereta memimpin tangan khalifah-khalifah kecilnya. Fakhir di sebelah kanan dan Lily Khayla di sebelah kiri. Terketik-ketik kanak-kanak yang baru ‘pandai’ berjalan itu mengikut tuntunan mama mereka.
Dari jauh lagi sudah dapat diagak betapa sesaknya keadaan di dataran itu. Masing-masing berebutkan tempat. Maklumlah, ustaz popular datang.
Khalisah merengus kecil. Kesemua wajah yang hadir di dataran itu terlalu asing baginya. Nak telefon Faqih, serasanya suaminya itu mesti sedang sibuk. Tak sampai hati pula nak ganggu.
Puas meninjau, akhirnya Khalisah menjumpai kerusi yang masih kosong. Tanpa bertangguh, terus wanita itu mengisi kekosongan bersama-sama anak kembarnya. Alhamdulillah... ada juga rezekinya dalam ramai-ramai manusia di sini.
“Eh, Puan Laila Khalisah ya? Isteri Ustaz Faqih?”
Khalisah yang sibuk membetulkan duduk anak kembarnya sedikit terkejut dengan teguran itu. Lekas dia menoleh ke kiri. “Eh… Puan Sharifah Mazrah kan? Isteri Ustaz Syed Nazli?”
Wanita itu mengangguk. Lantas salamnya dihulurkan. “Apa khabar? Lama tak jumpa kan?”
“Alhamdulillah, kak. Semuanya baik-baik. Tulah, tak sangka jumpa kat sini,” sambut Khalisah. Cuba beramah-ramah. Syukur… sekurang-kurangnya ada jugalah seorang yang dia kenal.
“Ustaz Syed jadi moderator untuk ceramah bersama Ustaz Azhar Idris ni. Dah terlanjur tu, akak datanglah sekali bawak budak-budak ni,” ujar Puan Sharifah Mazrah seraya menoleh ke arah anak kembarnya, Shariah Salma A’fiefa, Sharifah Salma A’fiefi serta anak lelakinya, Syed Muhammad Abu Bakr Zuhdi yang sedang bermain-main sesama mereka.
Khalisah mengangguk-angguk. “Ohhh… anak-anak akak pun ada sekali.” Wanita itu menoleh seketika kepada Fakhir yang duduk di sebelahnya, lalu memandang Lily Khayla yang duduk di atas ribanya. “Salam auntie, sayang.”
Fakhir dan Lily akur, mengerti arahan mama mereka. Tanpa susah-payah, si kecil yang sudah dibiasakan untuk bersalam dengan orang lebih tua itu menghulurkan tapak tangan comel mereka.
Kemunculan Ustaz Azhar Idris di atas pentas mengalihkan perhatian kesemua mereka yang berada di dataran itu. Sesi ceramah pun bermula dan berlangsung dengan suasana yang cukup santai. Sekali-sekala ilai tawa para pendengar kedengaran tiap kali si ustaz menghangatkan suasana dengan jenakanya.

“USTAZ Faqih, bilik makan penceramah kami dah siapkan. Ada apa-apa lagi?” Salah seorang AJK program menegur ketika Faqih baru selesai menguruskan hal lain.
Langkah Faqih terhenti. “Dah siap? Bagus, bagus. Ha, saya nak mintak tolong awak tengokkan bahagian makanan. Pastikan semuanya lancar ya.”
Lelaki muda yang mungkin berusia awal dua puluhan itu akur. Segera dia berlalu dari situ menuju ke suatu arah.
Faqih mengeluh perlahan. Jam tangannya dilihat, lalu tentatif program yang berada di tangannya disemak. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar.
“Subhanallah, syeikh. Memang luar jangkaan betul. Tak cukup dengan kerusi yang kita sediakan, ramai lagi yang duduk di tepi jalan. Adalah tempat kosong sikit, muat-muat untuk pasang khemah. Ana dah suruh budak-budak tu pasang,” luah Ustaz Imran yang tiba-tiba muncul di dalam bangunan Ar-Raudhah. Lelaki itu nampak bersungguh-sungguh. Kelihatan garis keletihan pada wajahnya.
“Alhamdulillah, Ustaz Imran. Nampaknya program kita berjaya. Kita expect lain, tapi yang jadinya lebih daripada yang kita jangka. Setakat mana yang kita termampu sajalah, syeikh,” ulas Faqih, turut merasai perasaan itu. Perasaan yang terlalu sukar diungkapkan.
Serta-merta, dia teringatkan Khalisah serta khalifah-khalifah kecilnya. Mindanya tertanya-tanya sendiri. Jika isteri dan anak kembarnya itu hadir, agak-agaknya di manalah mereka duduk?
Faqih mengeluh panjang. Lekas dia mencapai telefon pintarnya dari poket seluar. Tergerak hatinya untuk bertanyakan khabar isteri dan anak-anaknya itu.
“Syeikh, enta okey?” Ustaz Imran yang masih melepaskan lelah, bertanya gusar sebaik terperasankan keadaan tubuh Faqih seperti terhuyung-hayang.
Faqih tidak jadi meneruskan niat. Kepalanya yang tiba-tiba rasa mencucuk dipicit-picit. Matanya terpejam-pejam. Ya Allah… kenapa ini?
“Ustaz Faqih?” Bahu Faqih dipegang. Ustaz Imran tidak sedap hati.
Faqih tidak mampu mengeluarkan suara. Kepalanya makin terasa berpusing-pusing, sementelah tekaknya pula terasa lain macam. Mual.
Pandangannya berpinar-pinar. Telefon pintar di tangan terlepas ke lantai.
Faqih rebah.
“Syeikh!”
Dunianya gelap. Antara sedar dengan tidak, dapat dirasakan tubuhnya seperti cepat-cepat disambut oleh seseorang.

KHALISAH menekup wajah. Air mata yang mengalir diusahakan agar tidak deras membasahi pipi. Sesekali bila kegusaran itu sampai ke kemuncak, tubuh anak-anaknya menjadi sasaran untuk dipeluk dan dikucup bagi memujuk hati.
“Tekanan darah dia rendah,” kata Fahim sambil melepaskan alat pemeriksaan tekanan darah dari lengan Faqih. Lalu stetoskop yang digunakan dicabut perlahan dari cuping telinganya. Wajah adiknya yang masih lena itu diperhati dengan minda yang ligat berfikir.
“Dia tak apa-apa kan, Fahim?” Datin Salma yang sedari tadi memerhati keadaan anaknya bertanya. Sisa-sisa esakan wanita itu masih kedengaran.
Fahim menggeleng. Keluhan panjang dilepaskan. “Dia penat sangat ni, umi. Tapi tak apa, umi jangan risau. Insya-Allah okey nanti.”
“Umi risau, Fahim. Nasib baik dia okey masa tunggang superbike dia tadi. Kalau dia tak sedarkan diri masa atas jalan macam mana? Haih… takut umi, Fahim. Tak sanggup umi,” luah Datin Salma penuh kegelisahan. Sebaknya juga masih belum hilang.
“Sabar, Sal. Kan Fahim kata dia okey. Insya-Allah, tak apa-apa.” Dato’ Farhan memujuk isterinya, bahu wanita itu digosok-gosok. Sebagai abah, risau tu memanglah. Tapi dia juga tidak mahu kekalutan menyesakkan lagi keadaan.
“Hmmm… umi, abah, Khalisah, jangan risau ya. Cuma lepas ni, pantau-pantaulah sikit si Faqih ni. Pastikan makan minum dia teratur. Air kena cukup. Ha, pesan ke dia jangan paksa diri sangat.” Fahim tidak tahu berkata apa lagi. Setakat itu sajalah. Itu pun kalaulah si Faqih ni dengar, belum tentu adiknya itu setuju dengannya. Bukan dia tidak faham betapa ‘degil’ adik lelakinya yang seorang ini!
Khalisah yang duduk di sofa  bersama-sama anak kembarnya mengangkat punggung. Pelan-pelan, dia menghampiri katil di mana tubuh Faqih terbaring di dalam kamar tidur rumah banglo Dato’ Farhan.
“Semua salah Lisa. Lisa tak bersungguh-sungguh pantau keadaan abang.” Wanita itu mengogoi. Kekesalan memenuhi seluruh jiwanya. Rasa berdosa terhadap suaminya.
“Lisa, jangan cakap macam tu, nak. Tak ada siapa-siapa yang salah.” Datin Salma memujuk menantunya.
“Yalah, nak. Tak perlu salahkan diri. Kita sama-sama ambil berat pasal Faqih,” akur Dato’ Farhan menyebelahi isterinya.
Sepi. Keadaan di dalam kamar itu tiba-tiba dihuni kesunyian. Masing-masing melayan rasa terkilan dengan apa yang menimpa.
“Faqih dah sedar!” Fahim yang sedang bingung memikir separuh menjerit, perasan ada pergerakan pada wajah adiknya.
Pelan-pelan, Faqih membuka mata. Matanya yang masih mengecil sesekali terpejam, mungkin kepedihan menerima cahaya yang masuk.
Faqih terduduk.
“Faqih! Ya Allah… bangun pun kamu. Lisa, ambil air tu, nak. Bagi suami kamu minum dulu.” Datin Salma sedikit ‘kalut’. Tubuh anak lelakinya dipeluk lalu dicium wajah itu bersungguh-sungguh.
Khalisah juga kalut menuruti kata Datin Salma. Gelas yang berada di atas meja bersebelahan kepala katil diisi dengan air putih. Tergesa-gesa dia menghampiri suaminya setelah itu. “Abang, minum dulu.”
Faqih yang nampak kebingungan menyambut gelas tersebut. “Dah azan?”
Khalisah angguk. “Dah, bang. Baru tadi.”
Faqih mengerutkan dahi. Selepas menyebut basmalah, pelan-pelan gelas itu diteguk sehingga habis. Jelas yang dia kehausan.
“Umi, Laila…” panggil Faqih.
“Ya, Faqih. Umi kat sini,” sahut Datin Salma yang masih belum puas membelai-belai wajah anaknya.
Faqih tunduk. Nafas dalam dihela lalu dilepas pelan-pelan.
“Abang.” Khalisah melutut di tepi katil. Bahu suaminya dipegang.
“Abang nak ais krim…”
Khalisah berpandangan dengan Datin Salma. Begitu juga Fahim dengan Dato’ Farhan. Masing-masing terlongo kepelikan dengan permintaan lelaki itu. Ais krim? Mereka tak salah dengarkah?
“Abang…” Khalisah terkesima.
 “Abi… abi!” Suara girang Lily Khayla mencelah. Anak kecil itu yang sedari tadi duduk di sofa bersama-sama abangnya, Fakhir terkedek-kedek berjalan ke arah Faqih.
“Lily…” Faqih tersenyum nipis menyambut tubuh anaknya. Wajah zuriatnya itu lalu dicium, penuh kasih sebelum Muhammad Fakhir Ajwad pula datang ke arahnya, meminta dilakukan perkara yang sama.
Namun sedang asyik melepas kasih, Faqih tiba-tiba berwajah kelat.
“Kenapa, Faqih?” Tanya Fahim.
Faqih memicit tekaknya. “Rasa nak muntah…”

SEDAR tidak sedar, lima belas hari Ramadhan sudah berlalu. Semakin hampir ke penghujung ramadhan, semakin ramai yang menyibukkan diri melakukan persiapan untuk menyambut Aidil Fitri.
Mereka juga, tidak terkecuali.
“Abang ada nak beli apa-apa lagi?” Tanya Khalisah. Stroller di mana anaknya, Lily Khayla diletakkan terus ditolak dengan langkah sederhana.
Faqih mengangguk. “Abang nak masuk H&M kejap. Cari T-shirt,” balasnya. Sambil menolak stroller Fakhir yang sudah pun tertidur di dalamnya, mata lelaki itu meliar ke setiap butik dan kedai yang ada di tingkat dua bangunan Setia City Mall.
Kening Khalisah terjongket. “Tadi kan abang dah beli empat helai.”
Yup, but this one will be the last. Sayang pulak tak nak apa-apa lagi?”
“Errr… tak apalah, bang. Dah banyak sangat ni.” Khalisah memerhati setiap satu beg barangan beli-belahnya yang tersangkut di pemegang stroller.
Terlalu banyak. Dia sendiri sudah naik ‘muak’ nak membeli-belah lagi. Walhal dia memang seorang kaki shopping tegar. Kakinya juga sudah terasa lenguh-lenguh.
Menghairankan. Boleh dikatakan barang yang dibeli lelaki itu lebih banyak daripadanya. Sudahlah itu, suaminya juga nampak masih bersemangat untuk terus bershopping.
Tak cukup dengan itu, Khalisah juga tak habis fikir mengapa Faqih beria-ia benar nak bershopping di tempat ini. Mereka menetap di Kuala Lumpur, tetapi mengapalah suaminya sanggup datang jauh-jauh ke Setia City Mall yang terletak di Setia Alam ini?
Alahai… dah kenapalah ustaz aku ni? Mana pergi semua nasihat membazir amalan syaitan ni, cik abang oi???
“Yang, macam mana yang ni? Okey tak?” Sehelai jumper menarik perhatian Faqih. Lantas dipadan-padankan dengan tubuh sasanya.
“Eh, bukan tadi abang dah beli warna biru ke?”
“Yang tadi tu plain. Yang ni ada stripes.” Faqih terus mempertahankan keinginannya. Nampaknya jumper kelabu berbelang putih itu betul-betul menarik minat lelaki tersebut.
Khalisah tidak terkata apa. Sikap pelik suaminya yang menjadi-jadi membuatkan dia semakin bingung. Nak tak nak, dia akurkan saja.
Selesai membayar, pasangan suami isteri itu keluar bersama-sama anak kembar mereka yang masih tidur di dalam stroller. Perjalanan mereka diteruskan. Suasana di dalam Setia City Mall agak meriah dengan kehadiran pengunjung bertingkah dengan alunan muzik yang bergema di segenap ruang.
“Sayang, pergi sana jom,” usul Faqih, telunjuknya menghala ke suatu arah.
Khalisah yang sudah meraut wajah keletihan membulatkan mata. Allah… jujur dia sebenarnya sudah tidak larat. Namun melihatkan suaminya masih dalam mood ceria dan bahagia, dia jadi tak sampai hati.
Sekali lagi, Khalisah akur. Semuanya demi cinta, tahu!
“Subhanallah… cantiknya, bang! Cantik sangat!” Khalisah teruja. Kepenatan yang ditanggung lenyap serta-merta sebaik tiba di destinasi yang dimaksudkan oleh suaminya.
Para pengunjung berserakan di atas padang rumput, berhadapan dengan bangunan gah Setia City Mall. Kanvas langit berwarna biru kelihatan cantik sekali. Bayu petang yang dingin berhembus-hembus membelai pipi.
Sungguh, terlalu nyaman pemandangan di sini!
Keindahan itu dimeriahkan lagi dengan buih-buih sabun yang berterbangan. Ya, rata-rata mereka di situ sedang menikmati keseronokan bermain-main dengan buih sabun. Ilai tawa mereka bergema menongkah angkasa.
“Kan? I know you won’t regret,” getus Faqih. Senyuman bahagianya tidak dapat disorok lagi. Bahagia melihat insan yang dicintainya itu bergembira.
Khalisah memandang suaminya. Anak mata mereka bertemu. Bibir mereka saling bertukar-tukar senyuman. Bagai masing-masing hendak meluahkan sesuatu yang terlalu istimewa dari lubuk hati.
Namun, rengekan halus dari arah stroller mengalihkan perhatian. Segera pasangan suami isteri itu memberi tumpuan kepada Fakhir dan Lily yang sudah terjaga. Mungkin sorak tawa pengunjung di situ yang mengejutkan mereka untuk menikmati keindahan bersama-sama.
Those are bubbles, sayang. Say, bubble. Bubble!” Khalisah yang mendukung Fakhir menunjuk ke arah buih-buih yang berterbangan.
Anak kecil yang masih ‘mamai’ itu kaku buat beberapa ketika sebelum pelan-pelan, senyumannya menyeringai, menampakkan beberapa batang giginya yang tumbuh cantik. Kemeriahan buih-buih yang berterbangan berjaya menggeletek hatinya.
Bubbb… bleee! Hekhekkhek!” Fakhir mengajuk kata mamanya lalu ketawa mengekek. Tergawang-gawang tangan anak kecil itu ke angkasa, mungkin menunjuk ke arah buih-buih yang berterbangan.
Begitu juga halnya dengan Faqih. Lelaki itu tidak betah melayan keletah Lily Khayla yang beria-ia mahu bercakap. Cuma sayangnya, anak perempuannya itu masih belum boleh bercakap. Adakalanya meleleh-leleh air liur si kecil itu.
“Uuutawuatuuuwwuuuuuuu…” Berderu suara pelat Lily Khayla. Entah apalah agaknya yang anak kecil itu merepekkan.
“Ya, sayang. Nak cakap apa ni? Bubble? Ikut abi ya, sayang. Bubble!” Faqih mengelap air liur yang meleleh di kawasan luar mulut anaknya dengan tuala. Beria-ia si kecil itu hendak bercakap.
Ubbbubbleee!” Lily Khayla menepuk-nepuk bahu abinya, girang. Seketika kemudian, dia memeluk pula leher lelaki itu. Tak lama selepas itu, si kecil itu ketawa mengekek pula. Comel sungguh.
Macam-macm ragam. Namun, pasangan suami isteri itu tetap tenang melayan kerenah zuriat kembar mereka. Tidak dinafikan lagi, segala kasih mereka memang tumpah sepenuhnya untuk khalifah-khalifah kecil mereka.
Mereka yang berada di situ, terus menikmati kegembiraan. Ilai tawa terus bergema. Sehinggalah, awan mendung berarak memayungi padang itu. Menandakan rahmat Allah bakal turun membasahi.

“UMI nak tanya kamu sikit, boleh?” Datin Salma bernada saspen. Jari-jemarinya ligat menganyam daun kelapa.
Jari-jemari Faqih yang turut ligat menganyam daun kelapa jadi perlahan serta-merta. Wajah uminya dipandang. “Umi nak tanya apa?”
Datin Salma tidak terus bersuara. Sebaliknya dia menghabiskan dahulu anyamannya lalu dicampak sederhana ke dalam besen yang berisi sarung ketupat yang telah siap dianyam.
“Umi tengok kelakuan kamu lain macam sangat kebelakangan ni. Ada apa-apa yang kamu sorokkan dari umi ke, Faqih?”
Faqih mengerutkan dahi. “Lain macam? Mana ada, umi. Faqih biasa-biasa aje. Apa yang lain macam?”
Datin Salma tertawa sinis lalu menggeleng perlahan. Jelas dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima. “Ia ke ni, Faqih? Kamu memang tak sorokkan apa-apa?”
“Lailahaillallah, umi… kenapa umi rasa Faqih ada sorokkan apa-apa?”
“Hurmmm… susah umi nak cakap. Tapi umi perasan ada masa kelakuan kamu tu… lain macam. Itu yang umi tanya. Umi tak nak kamu berahsia dengan umi.” Keluhan panjang dilepaskan oleh Datin Salma. Ada raut keletihan di wajahnya. Mungkin letih berteka-teki dengan mindanya sendiri.
Faqih berwajah berat. Dia juga bingung. Bingung mengapa umi boleh jadi sangsi dengannya tidak pasal-pasal. Anyamannya diteruskan, namun tidak serancak tadi.
“Kamu sakit, Faqih?”
Andaian itu menyentakkannya. Bulat mata Faqih memandang Datin Salma. “Alhamdulillah, setakat ni Faqih sihat lagi. Kenapa, umi? Faqih nampak macam orang sakit ke?”
“Tak, Faqih. Umi cuma tanya.”
“Hmmm… umi, jangan risau ya? Alhamdulillah, Faqih okey setakat ni. Agaknya semenjak bulan puasa ni Faqih asyik tak sihat aje kot, tu yang buatkan umi fikir bukan-bukan?” Faqih pula berandaian.
Datin Salma tidak menjawab. Hanya keluhan wanita itu yang kedengaran.
Faqih tertawa kecil. “Faqih mengaku yang Faqih penat sangat. Bulan puasa ni jadual Faqih memang berganda-ganda padat. Kadang-kadang tak sedar yang badan ni tak cukup rehat. Hari ini cuti pun sebab Lisa yang beria-ia suruh,” terangnya. Harap-harap dapat melegakan hati uminya daripada terus berfikir yang bukan-bukan.
“Faqih…” Datin Salma berhenti menganyam, tapak tangan anaknya diraih. “Umi sayang Faqih. Umi selalu doakan supaya kamu diberikan kesihatan dan kekuatan oleh Allah. Umi tahu anak umi ni ada tugas untuk agama dan ummah. Umi tak halang jalan yang kamu pilih, nak. Memang dari kecik itulah impian umi dengan abah. Umi dengan abah bercita-cita nak jadikan anak umi ni anak yang berjasa pada agama. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa umi dengan abah. Umi… umi bersyukur. Umi bangga dengan kamu, nak.”
Faqih terpempan. Renungan jernih uminya masuk ke dalam hati. Luahan uminya juga menghadirkan kesayuan yang tiba-tiba menjengah. Allah…
“Terima kasih, umi.” Tapak tangan Datin Salma disambarnya. Lalu wajahnya didekatkan hinggalah tapak tangan uminya itu dikucup. Penuh syukur.
Seketika kemudian, ruang di dapur rumah banglo itu bertukar suasana. Kemesraan yang terjalin semula antara anak-beranak itu menceriakan keadaan.
“Wah, buat ketupat! Nak join sekali boleh?” Kemunculan Khalisah di dapur itu mengalihkan perhatian mereka. Ceria wajah wanita yang baru turun dari tingkat atas itu.
“Boleh, Lisa. Marilah. Eh, cucu-cucu umi mana?” Sahut Datin Salma.
“Fakhir dengan Lily dah tidur, umi. Lisa baru lepas menyusukan diorang. Hai, aktif sangat diorang tu. Melinjang aje dari tadi,” beritahu Khalisah lalu menarik kerusi di sebelah suaminya dan melabuhkan punggung. Ada helaan nafas kedengaran.
“Laila tahu tak anyam ketupat?” Tanya Faqih. Perasan yang wajah isterinya itu nampak terpinga-pinga.
Khalisah menggeleng laju. “Ajarlah!”
“Eiii, malu! Abang pun reti anyam tau!”
“Eleh. Poyo aje abang ni!” Khalisah mencebir.
“Haha. Yalah, yalah. Sorry, okay? Nah, ambil daun ni.” Faqih memilih-milih seketika daun kelapa yang bertimbun di atas meja. Setelah mencekut satu, dihulurkannya kepada si isteri.
“Lepastu nak buat apa?” Khalisah membelek-belek daun kelapa yang dhulurkan oleh suaminya. Mukanya bertambah kebingungan. Mungkin berfikir di mana logiknya daun sehelai itu boleh jadi sarung ketupat.
“Nah, ambik pisau ni. Kita buat ketupat sate.” Faqih turut mengambil sehelai daun.
Khalisah menerima pisau dari tangan Faqih. “Okey.”
“Ikut abang buat. Mula-mula, buang lidi kat tepi ni daun ni. Nanti dia jadi dua helai.” Faqih melorotkan pisau di tangannya ke lidi di tepi daun kelapa. Lalu daun kelapa tersebut terbahagi dua.
Khalisah yang tidak berkelip memerhati perlakuan suaminya mengangguk-angguk. Kini, giliran dia pula mempraktikkan tunjuk ajar lelaki itu. Pisau di tangannya dicucukkan ke hujung daun di bahagian lidi.
“Bismillahirrahmanirrahim…” Ucap Khalisah, seraya melorot mata pisau ke sepanjang daun kelapa.
“Ahhhh!” Jeritan Khalisah bergema. Pisau di tangannya terlepas ke meja.
“Ya Allah! Laila!” Faqih kaget.
Khalisah mengaduh kesakitan. Jari telunjuknya yang terluka gara-gara terkena mata pisau terasa berdenyut-denyut. Kelihatan cecair merah segar keluar dari luka itu.
“Lahaulawalaquwwata illa billah… Macam mana ni, Lisa? Kejap, kejap. Umi ambikkan minyak gamat.” Datin Salma kelam-kabut. Wanita itu menolak kerusinya lalu bangun dan berlari ke arah kabinet dapur.
Khalisah terus mengaduh kesakitan. “Ya Allah… macam mana ni, bang? Belum apa-apa dah luka.”
Senyap.
Khalisah mengerutkan dahi. Dengan muka yang berkerut-kerut menahan sakit, dia menoleh ke arah suaminya.
Wajah Faqih pucat lesi. Mata lelaki itu bulat memandang jari isterinya yang berdarah merah. Semacam ada sesuatu yang telah memeranjatkannya.
“Abang?”
Tubuh Faqih terhuyung-hayang. Mata hitam lelaki itu ke atas.
“Ya Allah! Abang!” Khalisah menjerit buat kesekian kali. Tubuh Faqih yang tiba-tiba hilang sokongan lantas disambut.
“Faqih! Kenapa ni? Ya Allah!” Datin Salma kelam-kabut ketika datang semula ke meja makan dengan sebotol minyak gamat. Kekalutan melihat keadaan Faqih yang kini matanya separa terbuka, bila-bila masa saja boleh tertutup.
“Abang nak pitam ni, umi. Umi bawak dia ke depan boleh? Biar Lisa bersihkan luka ni dulu,” pinta Khalisah. Kesakitan kerana jarinya luka hilang terus gara-gara Faqih yang tiba-tiba saja jadi begini.
“Ha, yalah, yalah. Faqih, Faqih bangun, nak. Kita pergi depan.” Datin Salma menyilangkan lengan Faqih ke bahunya. Pelan-pelan anak lelakinya dibangunkan dari kerusi. Lalu dengan sokongannya, lelaki yang masih separa sedar itu dibawa meninggalkan ruang dapur.
“Fahim! Fahim! Sini kejap, nak!” Laung Datin Salma di muka pintu rumah.
Fahim yang sedang melayan anak-anaknya bermain di halaman rumah tersentak. Lantas dia berlari menghampiri Datin Salma. “Kenapa, umi?”
“Adik kamu tu… nak pitam lagi. Kamu periksalah cepat!”
“Aik? Tadi elok aje. Ha, yalah, yalah.” Fahim tidak habis fikir. Bergegas dia masuk ke dalam rumah, menuju ke ruang tamu.
“Faqih, Faqih… nampak tak abang long?” Fahim menepuk-nepuk lembut pipi Faqih yang dibaringkan di sofa ruang tamu.
Faqih mengangguk lemah. Matanya masih separa terbuka memandang atas.
“Umi, tolong ambilkan air. Dia sedar ni.”
Datin Salma akur. Namun, belum sempat dia bergerak Khalisah pula muncul membawa segelas air. Tahu-tahu saja.
“Cuba bangun, Faqih. Slow-slow,” arah Fahim. Bahu Faqih dipegang.
Pelan-pelan, Faqih bangun. Belakang badannya disokong oleh Fahim. Sehinggalah akhirnya tubuhnya berjaya didudukkan di atas sofa itu.
“Khalisah, bagi air tu.”
Khalisah menurut. Dia yang masih terkilan menghulurkan gelas di tangan kepada abang iparnya.
“Faqih, kau larat nak teruskan puasa?”
Faqih angguk. Lemah.
“Hmmm… abang long sapukan air sikit kat muka kau eh?” Fahim membasahkan sedikit tapak tangannya. Lalu disapukan ke wajah si adik yang nampak lemah lagi kebingungan.
Fahim memerhati seketika perlakuan adiknya sebelum pelan-pelan dia menoleh kepada Datin Salma dan Khalisah. “Macam mana tiba-tiba boleh jadi macam ni?”
Datin Salma berpandangan dengan Khalisah.
“Tadi, tangan Lisa terluka. Berdarah. Entah macam mana, lepastu Abang Faqih tiba-tiba terhuyung-hayang,” terang Khalisah. Jarinya yang sudah berbalut ditunjukkan.
Fahim terangguk-angguk. Agak lama juga dia mendiamkan diri sebelum keluhannya kedengaran. “Mabuk darah ni…”
Mabuk darah? Berkerut dahi Khalisah.
Setahunya, Faqih tidak alah melihat darah. Malah dulu pun sewaktu lengannya luka dek terkena sedikit libasan pisau oleh peragut yang meragut beg tangannya, Faqih yang balutkan lukanya sebelum dibawa ke hospital. Masih segar di ingatannya bagaimana Faqih kelam-kabut membuka baju T yang dipakai, lalu dibalut ke tangannya yang berdarah-darah.
Dan lagi… semasa dia melahirkan khalifah-khalifah kecil mereka pun, Faqih ada di sisinya, cukup tenang sekali lelaki itu memberi kata-kata semangat kepadanya. Malah, sebaik saja anak kembar mereka lahir, dengan tubuh yang masih berdarah-darah itulah mereka diserahkan kepada Faqih untuk diazankan.
Tak ada pula suaminya itu pening-pening atau nak pitam.
Khalisah mengeluh panjang. Kenapalah ini? Masuk kali ini, bukan sekali dua Faqih bersikap ‘pelik’. Buntu dia memikir. Apalah yang dah jadi dengan suaminya?
“Laila… berbuka nanti belikan ais krim…” Suara lemah Faqih kedengaran.
Khalisah membulatkan mata.
Nah! Satu lagi hal yang menambahkan kepelikan dan keanehan!
Kenapa ais krim???

RAMADHAN masih berbaki sehari, satu lagi bukti betapa masa begitu pantas pergi. Bagi orang-orang yang merasai betapa nikmatnya Ramadhan, pasti kesedihan menjengah lubuk hati.
“Umur kita tak panjang. Umur kita tak macam umat dulu. Nabi dah bersabda yang umat Baginda hanya setakat enam puluhan ke tujuh puluh. Kalau lebih tu, kira bonus.
Disebabkan umur kita pendek, Allah berikan Ramadhan kepada kita. Ramadhanlah di mana segala amal baik kita diberikan pahala berganda-ganda. Yang paling istimewa, Allah kurniakan lailatul qadr kepada kita. Di mana pahala beribadah seperti kita beribadah seribu bulan. Tuan-tuan, rugilah… rugilah kalau kita keluar dari Ramadhan, kita tak dapat matlamat sebenar Ramadhan, iaitu Taqwa. Allah… rugi, tuan-tuan.” Si penceramah berhenti seketika. Sebak. Seakan-akan ada sesuatu yang telah menyentuh hatinya.
Para jemaah di ruang solat Masjid As-Salam tetap diam. Ada di antara mereka yang terkesan dengan ceramah yang disampaikan oleh imam masjid As-Salam, Ustaz Muhammad Faqih Al-Hafiz, berwajah sayu. Ada juga yang berwajah biasa-biasa.
Kelihatan imam muda itu mengesat air matanya dengan lengan jubah putih yang dipakai. Agak lama juga dia menahan sebak sebelum ceramahnya disambung semula.
“Insya-Allah, solat isyak dan tarawih kita selepas ni adalah yang terakhir dalam bulan ramadhan tahun ini. Mungkin juga yang terakhir dalam seumur hidup kita. Tahun depan, belum pasti. Solatlah dengan khusyuk, sepenuh jiwa dan merendah diri di hadapan Allah seakan-akan inilah ibadah yang terbaik kita lakukan sebelum dijemput Allah. Moga-moga kita berjumpa lagi dengan Ramadhan tahun depan, insya-Allah.” Ustaz Muhammad Faqih menahan sebak, penuh perasaan. Di hujung ayat, suaranya kedengaran tersekat-sekat kesayuan.
Setengah jam berlalu. Ceramah yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Faqih berakhir sebelum azan Isyak pula berkumandang. Para jemaah mula mendirikan solat sunat qabliyah Isyak setelah itu.
Jemaah mula meluruskan saf sebaik iqamat diperdengarkan. Tidak lama kemudian, berimamkan Ustaz Muhammad Faqih Al-Hafiz, takbiratul ihram untuk solat Isyak pun kedengaran. Bergema di dalam ruang solat Masjid As-Salam.

“ABANG,” tegur suara itu. Lembut menembusi pendengaran.
Faqih sedikit tersentak. Panjang benar lamunannya sehinggalah suara itu menegur bersama-sama sebuah sentuhan lembut di bahu.
Senyumannya diukir. “Laila.”
Khalisah mengherotkan bibir. “Termenung jauh abang. Fikirkan apa tu?”
“Hmmm…” Faqih menghela nafas panjang. Matanya dialihkan semula ke depan, memandang bintang-bintang yang bertaburan di langit malam Syawal. Terasa berbeza keindahannya.
“Abang… kalau sudi, kongsilah dengan Laila apa yang ada dalam fikiran abang,” pujuk Khalisah setelah soalannya masih belum berjawab. Lengannya disidaikan pada tembok di balkoni, tempat di mana suaminya ‘melayan perasaan’ semenjak tadi.
Faqih tunduk seketika. “Tak ada apa-apalah Laila. Abang cuma fikirkan tentang masa, cepat sangat berlalu. Hummm… macam-macam yang berlaku dalam Ramadhan tahun ini.”
“Kan, bang? Laila pun terfikir jugak. Rasa macam baru semalam hari pertama kita puasa. Hai… esok dah nak raya.” Khalisah mengiakan kata suaminya. “Tapi yalah. Ramadhan tahun ni macam-macam berlaku. Gaza kena serang lagi. Malaysia hari tu diuji, MH17 terhempas,” sambung Khalisah. Berita yang menggemparkan negara malah dunia ketika umat Islam masih di pertengahan bulan Ramadhan itu tiba-tiba terlintas di benak.
“Allah sedang uji kita. Hanya Dia yang tahu rahsia dan sebab kenapa semua ini berlaku,” ulas Faqih. Keluhan kecilnya kedengaran.
Jeda.
Pelan-pelan, Faqih menarik senyuman ke tepi bibir. Lalu wajahnya ditoleh memandang Khalisah. “Kita pun makin tua.”
“Erm. Yalah. Takkan makin muda pulak kan? Huhu… tapi kan, bang…”
“Tapi?”
“Abang tetap imam muda Laila. Imam mudaku dunia dan akhirat,” ucap Khalisah, penuh perasaan. Dengan lembut, lengannya merangkul lengan Faqih. Lalu pelan-pelan kepalanya dilentokkan ke bahu lelaki itu.
Faqih tertawa kecil. Lantas, jari-jemarinya membelai-belai rambut Khalisah lalu turun ke pipi mulus wanita itu. “Uhibbuki, sayang,” bisiknya ke telinga si isteri.
Khalisah menarik nafas dalam. Matanya terpejam seketika sebelum bibirnya pula mengoyak senyuman manis. “Love you too, my dear imam muda.”
“Maafkan kekurangan abang selama ni.”
“Abang, you are the greatest husband for me that anyone could ask for, greatest ‘abi’ for our ‘khalifah-khalifah kecil’ and greatest ‘imam’ for all of us, after Rasulullah SAW of course. I’m very proud to be at service as your wife. I’m very happy to carry and give birth to your children. I cherish every single moment of our marriage, abang. I’m very thankful to Allah for everything.” Anak mata Khalisah tepat menembusi renungan suaminya. Kata-kata ikhlas yang terbit dari hatinya menderu dibawa angin. Moga-moga sampai ke hati si suami.
Faqih terpempan. Agak lama dia merenung anak mata jernih Khalisah sebelum senyuman penuh keharuan tersulam di bibir. “Alhamdulillah.” Sebuah kucupan lembut singgah di pipi isterinya.
Khalisah ketawa manja. “Uhummm… feeling better, abang? Okay, now why don’t you join us? Kesian khalifah-khalifah kecil kita tu, main bunga api tapi abi diorang tak join sekali.”
“Oh! Haha… yalah. Jom!” Faqih merangkul pinggang isterinya. Setelah Khalisah menyarung semula tudung di kepala, pasangan suami isteri itu beriringan keluar dari kamar tidur mereka lalu menuju ke tingkat bawah. Gelak-tawa bahagia mereka kedengaran sekali-sekala.
Tiba di halaman rumah banglo Dato’ Farhan, cahaya daripada pelita yang dipasang sungguh cantik memancar. Dato’ Farhan dan Datin Salma, Fahim dan isterinya, Aisya serta anak-anak mereka, Firas dan Farhana serta… kembar Fakhir dan Lily berkumpul di situ.
Firas yang kini berusia enam tahun lebih bersama-sama Farhana yang berusia tiga tahun, melinjang-linjang bersama sepupu mereka, Fakhir dan Lily. Percikan bunga api yang dimainkan memeriahkan lagi suasana.
Faqih dan Khalisah menghampiri mereka semua. Suasana bertambah hangat dengan gelak-tawa bahagia mereka yang menikmati saat itu, bersaksikan bintang-bintang di langit syawal.

“SUBHANALLAH… hensemnya anak abi!” Puji Faqih. Songkok yang dipakaikan di kepala Fakhir dibetul-betulkan.
“Ennn…cemmm! Hehekkhekek!” Fakhir ketawa mengekek. Tergawang-gawang tangannya ke udara.
Faqih ikut ketawa. “Dah hensem dah hero abi ni. Lily, mari kat abi, sayang.” Tubuh kenit Fakhir yang segak berbaju Melayu biru beserta sampin dialihkan sedikit, lalu Lily Khayla yang melopong memerhati ditarik ke depannya.
“Pakai tudung ya, sayang? Baru macam princess.” Faqih menyarungkan tudung biru bercorak polka dot pink ke kepala Lily Khayla yang berbaju kurung biru. “Allah, solehahnya anak abi ni. Lawa sangat. Dah besar nanti tutup aurat ya, sayang? Baru comel. Comel macam mama ya?”
Lily Khayla mengetap-ngetap bibir. “Uuwwaaauuuuuu…” Lidah pelatnya berkata-kata. Tersembur-sembur bunyinya.
Faqih ketawa. Sungguh, telatah khalifah-khalifah kecilnya begitu menghiburkan hati.
“Ya Allah! Comelnya anak-anak mama!” Suara teruja Khalisah kedengaran dari muka pintu. Tanpa bertangguh, terus wanita yang sudah siap berbaju kurung biru dan bertudung pink itu masuk ke dalam kamar tidurnya.
“Tengoklah siapa yang siapkan.” Faqih bernada kerek.
“Ya Allah… terima kasih, abang! Mintak maaflah sebab Laila tak sempat siapkan anak-anak kita. Tolong umi, kak long dengan mak su siapkan hidangan kat bawah,” luah Khalisah. Wajah setiap seorang anaknya dibelai-belai.
“Eh, tak apalah, yang. Bukan susah pun siapkan anak-anak kita ni. Lagipun tadi kan Laila dah mandikan diorang.” Faqih memujuk isterinya.
Khalisah tersenyum. Seketika kemudian dia memandang penampilan suaminya yang nampak kacak berbaju Melayu warna biru. Cuma sampin dan songkok yang belum dikenakan lagi. “Butang baju, bang?”
Kening Faqih bercantum. Bahagian butang di dadanya dipandang. “A’ahlah. Allahurabbi… tak perasan butang baju tak ada. Haha.”
Khalisah ketawa kecil. “Laila simpankan. Kejap, Laila ambil.” Wanita itu bergerak ke meja solek lalu mengambil sesuatu dari dalam laci.
“Ini dia, bang. Biar Laila kenakan, ya?” Khalisah berdiri di hadapan suaminya. Bahagian butang di dada lelaki itu dipegang.
Faqih memerhati raut wajah isterinya. “Cantiknya isteri abang ni.”
Khalisah yang sedang mengenakan butang di dada suaminya mengetap bibir. Seketika kemudian, anak matanya menangkap senyuman manis lagi nakal tersungging di bibir Faqih.
Khalisah terkedu. Senyuman suaminya membuatkan mindanya kosong seketika.
Sungguh, Faqih terlalu kacak!
Tidak berkedip mata Khalisah memandang Faqih. Sudah terpesona dengan suaminya sendiri. Sehinggalah hidungnya tiba-tiba ditarik oleh lelaki itu.
“Auuuu!” Jerit Khalisah.
“Hahaha. Amboi, sayang! Nakalnya mata tu!”
Khalisah membulatkan mata. Bahu lelaki itu ditampar. “Abang!”
Faqih terus tertawa. Perasan yang isterinya itu tersipu-sipu.
“Urmmm… lawa janggut abang.” Khalisah yang sudah termalu pura-pura cover balik.
Tapi memang betul pun. Janggut sejemput suaminya itulah yang menyerlahkan lagi ketampanan lelaki itu. Nampak macho lagi soleh-soleh gitu. Cewah!
Sebelah bibir Faqih tertarik. “Selain ikut sunnah, untuk Laila jugak.’
“Iya? Auwww… terharunya.” Khalisah mengusap-usap janggut Faqih sambil tonjol muka manja ala-ala comel.
“Yalah. Pernah dengar tak pasal janggut lelaki ada hormon yang diperlukan wanita?”
Khalisah mengherotkan bibir. Agak lama juga dia tercengang. Namun, belum sempat hendak membalas wajahnya tiba-tiba berkerut. “Abang? Kenapa ni?”
Wajah Faqih berubah kelat. Tekaknya dipicit-picit.
“Abang?”
Tidak tertanggung lagi. Faqih membuka langkah seribu menuju ke bilik air.
“Ya Allah, abang! Kenapa ni, bang???” Khalisah menepuk-nepuk belakang badan suaminya yang berpaut pada badan sinki.
Faqih terus memuntahkan isi perutnya. Agak teruk keadaan lelaki itu. Terpejam-pejam matanya yang berair kepedihan.
Khalisah bertambah gusar. Tapak tangannya terus mengurut-urut belakang si suami yang masih teruwek-uwek di situ. “Abang... kenapa ni, bang?”
Faqih masih tidak mampu menjawab. Keadaannya memang teruk. Kerap kali dia cuba menegakkan tubuh, namun setiap kali itu semacam ada sesuatu yang menolak isi perutnya keluar semula. Terbongkok lagi tubuhnya tidak pasal-pasal, memuntahkan isi perut.
Faqih melepaskan lelah. Tubuhnya terasa lemah semacam. Terasa hilang daya.
Allah… kenapa dengan aku?

TAKBIR Aidil Fitri bergema ke angkasa. Alunan harmoni tersebut kedengaran begitu mendamaikan hati-hati mereka yang menyambut hari itu, hari kemenangan setelah Ramadhan berjaya diharungi selama sebulan.
Selesai solat sunat Aidil Fitri di masjid, keluarga Dato’ Farhan berkumpul semula di kediaman mereka. Menyambung detik-detik indah sambil menikmati juadah yang terhidang mewah di atas meja. Gelak-tawa mereka menghangatkan lagi suasana.
“Faqih, pak su dengaq hang pandai anyam ketupat sate?” Celah Encik Fauzi, adik kepada Dato’ Farhan yang turut beraya di rumah abangnya itu bersama-sama keluarganya.
Faqih yang sedang menyuap ketupat nasi ke mulut Fakhir di ribanya mengangkat muka. “Bolehlah sikit-sikit. Awatnya, paksu?”
“Takdak aih, saja tanya. Ketupat hat ni hang tau dak?” Encik Fauzi mencekut sebiji ketupat palas yang terhidang di atas meja. Ditunjukkan ketupat itu ke arah mereka semua yang sedang menikmati juadah.
Faqih menggumam bibir. Seketika kemudian, lelaki itu tertawa kecil. “Tak taulah, paksu. Saya belajaq anyam ketupat sate tu pun dari pak angkat saya. Dia tak ajaq saya buat ketupat palas ni.”
“Aih, rugi hang tak tau, Faqih! Hang kena belajaq dengan abah hang!”
“Belajar dengan abah?” Mata Faqih bulat. Pelan-pelan kepalanya ditoleh ke hujung meja makan. Dato’ Farhan yang sedang mengunyah potongan lemang bercicah rendang ayam kampung tersengih-sengih.
Bukan Faqih sorang. Kesemua ahli keluarga memandang lelaki berusia lima puluhan itu. Wajah mereka nampak macam terkejut. Termasuklah isterinya, Datin Salma.
“Aih, hangpa semua tak tau ka? Dato’ Farhan hangpa ni pernah juai ketupat palas dengan pak su masa kami dua beradik duk kampung kecik-kecik dulu. Siap buat kelas anyam ketupat lagi. Abah hangpa tu terror nuh dulu!” Habis Encik Fauzi ‘bongkar’ kisah lama. Berdegar-degar dia bercerita.
“Abang… abang tahu anyam ketupat? Kenapa Sal tak pernah tahu?” Datin Salma bertanya keanehan.
Dato’ Farhan terus tersengih. Seketika kemudian, dia mengangguk. “A’ah. Abang tau anyam. Tapi ketupat palas ajelah. Dah namanya pun orang Kedah, orang utara kan. Betoi dak Fauzi? Hahaha.”
“Ha. Betoi tu, bang! Bukan takat ketupat ja. Abah hangpa ni dulu serba-boleh. Kadang-kadang dia ambik upah menganyam tikaq mengkuang. Dah tu selalu ikut arwah tok wan hangpa turun ke laut, pi tangkap ikan. Maklumlah, kami dulu orang susah,” lanjut Encik Fauzi. Makin bersemangat dia bercerita.
“Oh, patutlah!” Sampuk Fahim yang tiba-tiba melagakan tapak tangannya. “Rupa-rupanya Faqih mewarisi ‘kehalusan’ tangan abah!”
“Tak tahu pulak abah pandai anyam ketupat. Tapi kenapa Faqih tak pernah nampak abah anyam eh?” Soal Faqih.
“Dah lama sangat tinggal, Faqih. Entah jadi ke tidak kalau buat. Dari sebelum kahwin dengan umi kamu lagi abah dah ‘bersara’ buat kerja-kerja tu,” balas Dato’ Farhan disusuli keluhan panjang. Mungkin kesal kerana telah mensia-siakan bakatnya selama ini.
Faqih mengangguk-angguk. Tu dia… baru hari ini dia tahu yang abahnya pandai menganyam ketupat palas. Berbeza dengan persepsi terhadap abahnya selama ini. Ingatkan abahnya tak reti apa-apa selain bisnes, bisnes dan bisnes!
Melampau pulak rasanya andaian itu.
Mujur, Pak Itam menurunkan ilmu menganyam ketupat beras kepadanya. Bertuah rasanya menjadi salah seorang yang masih memelihara warisan makanan tradisional itu.
Sebut Pak Itam, teringat pula bapa angkatnya itu. Sudah lama tidak ketemu. Semenjak bapa angkatnya mengusahakan tanah ladang di Terengganu dan menetap di situ tiga bulan lepas, dia masih belum berjumpa dengan lelaki itu. Begitu jugalah Syuhada, saudara susuannya. Kebetulan wanita itu juga bekerja di Terengganu sekarang ini. Tinggallah mereka dua beranak di sana.
Sungguh, kerinduan itu sangatlah terasa.
“Eh, lepas makan ni kita bergambar pulak tau! Fahim dah beli kamera baru,” ajak Fahim. Minatnya kepada kamera dan bidang fotografi memang tidak boleh dinafikan lagi. Cita-cita asalnya dulu pun mahu jadi photographer yang profesional.
Sudah ketentuan Tuhan dan memandangkan dia juga ‘bijak’ sangat, akhirnya dia bergelar seorang doktor perubatan. Namun itu tidak pernah menguburkan minat lelaki yang bergelar Dr. Fahim itu untuk terus mendalami ilmu fotografi yang digilainya semenjak dulu.
Mereka yang berada di situ terus menikmati juadah, penuh selera dan gembira. Sehinggalah perut masing-masing sudah penuh, barulah mereka berkumpul di ruang tamu untuk sesi bergambar kenangan pula.
Meriah suasana ketika itu terlalu sukar hendak diceritakan. Terlalu meriah!

“MAMA, abah dengan abang kamu kat sini baru habis sembahyang raya ni. Ni kami baru keluar dari masjid. Nak makan pulak. Lisa macam mana kat sana?” Suara di hujung talian itu memberikan khabar.
“Kat sini dah tengah hari, ma. Alhamdulillah, meriah sangat-sangat. Keluarga Abang Faqih semua berkumpul, ma. Tapi… sedih jugak tak dapat raya dengan mama, papa, abang,” luah Khalisah. Sayu bunyinya.
“Laaa… jangan sedih, sayang. Insya-Allah esok kami balik, kita raya sama-sama eh? Jangan sedih! Get used to them!” Pujuk Puan Sri Lydia. Suara dia juga kedengaran sebak walau sudah dibuat-buat tenang. Mana tidaknya… pertama kali beraya tanpa cukup bilangan ahli keluarga di sisi.
“Hummm… They are very nice, ma. Don’t worry. Cuma… I miss you. I miss papa and I miss Abang Khalis.
“Ya, Lisa. We miss you too, my dear. Esok kami balik, Insya-Allah. Doakan perjalanan kami. Ha, Lisa tengah buat apa tu?” Puan Sri Lydia beralih topik. Tidak mahu melaratkan kesayuan yang mula terasa.
“Hum. I’m nursing Fakhir, ma. Dalam bilik ni. Abang Faqih kat bawah, tengah berborak dengan sepupu-sepupu dia,” beritahu Khalisah. Lalu, rambut dan wajah Muhammad Fakhir Ajwad yang sedang menyusu di ribanya dibelai-belai.
“Oh. Apa khabar cucu-cucu mama? Sihat?”
“Alhamdulillah. Cucu-cucu mama semua sihat. Aktif sangat sekarang ni, ma,” adu Khalisah. Matanya masih belum lepas memandang Fakhir yang semakin lentok menyusu di ribanya. Sesekali bibirnya tersenyum memerhati kecomelan si kecil itu.
“Alhamdulillah. Suka mama dengar. Tak sabar nak jumpa cucu-cucu mama tu!” Puan Sri Lydia bernada teruja.
“Ma, you want to hear the good news?” Suara Khalisah tiba-tiba saspen.
Good news? Apa dia, Lisa?”
Khalisah mengoyak senyuman mengusik. “Nantilah. Kena balik Malaysia dulu baru boleh tahu!” Ketawanya nakalnya meletus.
“Haishhhh! Nak kena Lisa ni!”
Khalisah ketawa lagi. Seronok pula membuat mamanya berteka-teki.
Perbualan mereka berterusan. Sehinggalah akhirnya salam pun bertukar apabila Puan Sri Lydia memberitahu bahawa wanita itu sudah tiba di kedai untuk menjamu selera. Talian pun dimatikan.
Khalisah menghela nafas. Terlunas sudah sebahagian besar rindunya…
Khalisah yang duduk di birai katil bergerak ke tengah, membawa tubuh kenit Fakhir yang telah pun lena setelah disusukan. Anak lelakinya itu dibaringkan di sebelah Lily Khayla, yang juga sudah tertidur keletihan di atas katilnya.
Wajah bersih dan comel khalifah-khalifah kecilnya itu diperhatikan seketika. Senyuman bahagia lagi penuh kasih tersulam di bibir Khalisah. Lalu satu persatu wajah anaknya diberikan kucupan sayang.
Kedengaran pintu bilik ditolak kasar dari luar. Tiba-tiba.
Khalisah terperanjat. “Abang!”
Faqih tidak mempedulikan apa-apa lagi. Termasuk isterinya. Dengan langkah yang terburu-buru, lelaki itu masuk ke dalam bilik air.
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi orang sedang muntah-muntah.
Khalisah tidak bertangguh. Segera dia masuk ke bilik air. Tubuh suaminya yang terbongkok-bongkok menghadap mangkuk sinki ditepuk-tepuk dari belakang. “Abang…”
Lelaki itu terus muntah. Keadaannya teruk sama seperti pagi tadi. Semakin lama, dayanya semakin habis terasa. Allah…
“Dah, bang? Ya Allah… Laila sapukan minyak ya?” Khalisah yang berwajah gusar, menyokong tubuh Faqih sebaik suaminya itu berdiri tegak semula.
Faqih hanya mengangguk lemah. Tiada kekuatan lagi untuk berbicara.
Keluar saja dari bilik air, Khalisah terus mendudukkan suaminya di atas sofa yang terletak di dalam kamar tidur itu. Sebotol minyak angin dicapai.
Faqih yang tersandar lemah dihampiri. Butang baju Melayu suaminya itu dibuka bagi membenarkan dingin menyapa tubuh. Dengan cermat, Khalisah menyapukan minyak angin tersebut ke dada. Lalu disapu pula ke perut suaminya.
“Minum air ni, bang.” Segelas air putih disua ke bibir Faqih.
Faqih memegang gelas tersebut. Diteguknya air putih itu sehingga habis. “Allah… kenapa dengan abang ni, Laila?”
Khalisah mengeluh kesah. “Laila… tak pasti, bang. Abang tak nak pergi klinik?”
“Tak… tak apa. Abang okey,” dalih Faqih. Tubuhnya yang masih lemah ditegakkan juga di atas sofa itu. Duduknya dibetul-betulkan. “Abang peliklah. Kenapa tiba-tiba abang jadi macam ni?”
“Abang ada salah makan?”
“Entahlah, Laila. Tapi abang rasa abang jadi macam ni bukan sebab abang salah makan. Semenjak mula-mula puasa lagi abang rasa badan ni dah lain macam. Macam ada sebab lain… yang bukan dari abang.” Faqih menyatakan apa yang diduga. Mana mungkinlah dia tidak perasan segala ‘kepelikan’ yang berlaku kepada dirinya. Dia perasan, cuma malas hendak memanjang-manjang cerita.
Khalisah mengangkat kening. “Sebab lain? Yang bukan dari abang?”
Faqih menggeleng. “Tak apalah, sayang. Abang pun bingung dengan apa yang abang cakap!” Lelaki itu mula tertawa perlahan.
“Hum…” Khalisah mengangguk-angguk. “Sebenarnya, bang… Laila rasa Laila tahu kenapa.” Nada wanita itu kedengaran mendebarkan.
Faqih terduduk tegak. “Kenapa, Laila?” Bahu isterinya dipegang. Anak matanya juga terpancar sinar saspen menikam wajah isterinya.
Khalisah menarik nafas dalam. Tangannya terketar-ketar tiba-tiba. Mulutnya berat tidak pasal-pasal. Namun… dia perlu juga memberitahu akan hal itu!
“Laila… Laila… mengandung, bang.”
Terkedu. Terpempan. Lelaki itu bagaikan terkena kejutan elektrik. Bola matanya serta-merta jadi bulat memandang isterinya.
“Mengandung? Laila… biar betul sikit…” Tersekat-sekat suara Faqih. Bagai tidak percaya dengan apa yang baru didengari. Ya Allah, betulkah ini???
Khalisah mengangguk. “Ya, bang. Laila mengandung. Semenjak abang jadi pelik-pelik tu, Laila ada terfikir jugak. Cuma Laila buat tak tahu dulu. Tapi dah lama-lama, baru Laila tergerak nak periksa sendiri. Ini dia, bang.” Lantas, tangannya menyeluk poket baju kurung yang dipakai lalu membawa keluar sesuatu.
Bagai nak gugur jantung Faqih melihat alat ujian kehamilan di tangannya. Dua garis merah yang tertera di situ bagai telah membenarkan segala kata-kata isterinya.
Oh ya… patutlah! Patutlah Khalisah berpuasa penuh. Tidak perasan pula yang wanita itu langsung tidak didatangi haid pada Ramadhan yang lepas!
Terkelu seketika lelaki itu.
“Tapi… macam mana…”
“Syhhh… abang, ini rezeki Allah untuk kita. Macam mana pun kita merancang, kalau Allah nak berikan jugak nak buat macam mana kan? Macam yang abang selalu cakap, kita kena terima qada’ dan qadar Allah… kan?” Khalisah kembali ‘bertegas’ menuturkan kata-kata, mengingatkan si suami yang nampaknya masih susah hendak mempercayai kenyataan.
Faqih terkebil-kebil memandang isterinya. Lalu dia menoleh seketika ke arah katil, tempat khalifah-khalifah kecilnya sedang lena. Tak sangka… ada ‘khalifah baru’ yang sudah tersimpan di dalam rahim isterinya ketika anak kembarnya belum pun berusia dua tahun.
“Abang?”
Faqih menelan liur. Pelan-pelan, dia menoleh semula kepada si isteri.
Sebuah senyuman nipis terbentuk di bibir lelaki itu. “Alhamdulillah. Tepat, sayang. Semuanya rezeki Allah. Kita kena terima.”
Khalisah ikut tersenyum. “Bertambah ‘khalifah kecil’ kita lepas ni.”
“Allah… tak percaya abang dibuatnya. Cepat betul!” Faqih ketawa. Seketika kemudian, dahi lelaki itu berkerut pula. “Maknanya perangai-perangai pelik abang semua tu sebab pembawakan budaklah ya?”
“Hahahaha. Agaknyalah kot. Sebab Laila tak rasa apa-apa pun. Cuma letih-letih tu biasalah, dah memang Laila ni bekerja. Tu yang Laila pelik bila tengok abang asyik muntah-muntahlah, asyik pengsanlah, tak boleh masuk dapurlah, tiba-tiba suka shoppinglah… eh? Haha. Tapi kesian umi. Risau betul dengan abang sampai fikir yang bukan-bukan!” Hambur Khalisah. Ketawanya juga bergema selepas itu. Lucu mengenangkan segala kepelikan di minda yang serasanya sudah terjawab kini.
Faqih geleng kepala. Sisa tawanya juga masih kedengaran. “Abang pun pelik jugak dengan diri abang. Paling pelik bila abang tiba-tiba selalu mengidam nak makan ais krim.”
“Oh… ya! A’ah! Itu paling pelik. Asyik-asyik ais krim. Kalah budak-budak!” Ejek Khalisah. Sudah memang itulah kepelikan suaminya yang paling ketara!
Faqih menghela nafas. Sisa-sisa tawanya makin hilang. Pandangan matanya bertukar jernih. Bersama-sama senyuman manis di bibir, wajah isterinya dipandang. “Terima kasih, sayang.” Rambut isterinya dibelai-belai.
Khalisah memejam matanya seketika. Lalu mengangguk. Hembusan kasih lelaki itu terasa hangat ke seluruh urat nadinya.
“Abang harap, cita-cita kita masih sama macam dulu. Lahirkan khalifah-khalifah yang bakal diserahkan kepada agama Allah,” bisik Faqih.
Lagi sekali, Khalisah mengangguk. “Allahuma amin. Insya-Allah, abang.” Kelopak matanya terus terpejam. Menghayati doa serta pengharapan yang disulami hembusan kasih daripada si suami.
Seketika kemudian, dapat dirasakan bibir lelaki itu singgah, menghadiahkan sebuah kucupan lembut lagi penuh cinta ke pipinya.
Alhamdulillah.
Moga Allah redha.

TAMAT






















































                                                          

5 comments:

AinaaAzlan said...

hehe senyum jea baca edisi raya ni. suka dgn novelnya. suka jugk dgn cerpen ni. tahniah writer :)

mariam said...

assalamualaikum novel imam mudaku romantik dah keluar pasaran tak?..lama dah tggu novel tu..hehehe..:)

izzahaneefa said...

Waalaikumussalam. Dah keluar sejak 7 bulan lepas. Boleh dptkan di kedai kedai buku atau layari laman web karyaseni.my :)

Anonymous said...

Suka baca cerpen niy..best.. :)

siti zahrakis said...

Novel nie sangat best..dan lagi seronok kalau dapat dijadikan drama di tv hijrah ke kan sbb penuh dgn islamik version dan kepada izzah haneefah..thumbs up for your karya!!!